S.T.O.P Back Pain! 4 Tips Untuk Hentikan Sakit Belakang!

Aduh sakitnya belakang! Kalau jadi pada yang berusia tu biasa tapi kalau muda-muda dah mengeluh sakit belakang, mungkin kita kena tengok balik postur kita. Keadaan leher yang sentiasa perlu membongkok ke depan ketika menggunakan telefon pintar atau tablet akibat ruang kerja yang tidak dirancang dengan betul dan pergerakan berulang seperti membongkok dan memusingkan pinggang sepanjang hari ketika menjaga anak-anak dan memastikan urusan rumah berjalan lancar adalah senario biasa dalam kehidupan seharian.

Malangnya, tabiat tersebut boleh menyebabkan pelbagai kesakitan dan kesengsaraan yang akhirnya menjadi bertambah buruk sehingga membawa kepada kesakitan muskuloskeletal kronik atau sakit belakang. Bersempena Hari Tulang Belakang Sedunia 2023 ini 4 tips berguna untuk menghentikan (S.T.O.P.) sakit belakang.

S = Sit Up Straight and Stretch! (Duduk tegak dan lakukan regangan!)

Faktor-faktor utama berkaitan isu ini adalah postur dan tabiat gaya hidup yang buruk. Kita selalu tidak menyedari akan postur badan dan cara kita melakukan tugas seharian seperti ketika menggunakan peranti digital sehinggalah kepada bagaimana kita mengangkat benda berat. Ditambah pula dengan situasi di mana berlakunya gangguan gaya hidup seperti bekerja atau belajar dari rumah boleh membuat sakit belakang lebih parah. Untuk mencegah kesakitan muskuloskeletal, mental kita perlu menyedari keadaan postur kita. Walaupun kedengaran mudah, duduk tegak dan melakukan regangan dengan kerap boleh membantu.

T = Take a break (Berehat)

Tema Hari Tulang Belakang Sedunia 2023 ialah ‘Gerakkan Tulang Belakang Anda’. Walaupun kebanyakan orang sudah memahami kepentingan untuk sentiasa bergerak, ia perlu diterjemahkan ke dalam tindakan. Oleh itu, tetapkan peringatan atau reminder berjadual untuk bangun dan menggerakkan tulang belakang.

O = Organise (Mengatur)

Atur ruang rumah dan kerja supaya anda mendapat postur badan yang lebih baik:

  • Laraskan ketinggian skrin komputer pada paras mata menggunakan buku atau kotak yang kukuh
  • Besarkan paparan dan cerahkan skrin supaya anda dapat melihat dan membaca tanpa perlu membongkok ke depan
  • Gunakan kerusi dengan sokongan belakang yang baik yang diletakkan pada ketinggian yang membolehkan tapak kaki anda merata di lantai dengan lutut dibengkokkan pada sudut 90 darjah
  • Gunakan bangku bagi mengelak daripada bercangkung semasa berkebun atau memandikan bayi 
  • Letakkan barang-barang keperluan di tempat yang mudah dicapai supaya tidak perlu selalu membongkok atau memusingkan pinggang. Contohnya, ibu bapa kepada bayi dan anak-anak kecil boleh duduk di atas katil semasa menukar lampin. Tidaklah perlu berdiri dan membongkokkan pinggang untuk melakukannya
  • Uruskan beban berat dengan tidak mengemas banyak pakaian ke dalam beg dan/atau menggunakan beg yang diperbuat daripada bahan yang lebih ringan
  • Agihkan berat sama rata. Secara umum, bawa beban kurang daripada 10 peratus berat badan kita dan diagihkan sama rata pada kedua-dua bahu. Apabila dipakai dengan betul, beg galas belakang membolehkan kedua-dua bahu menanggung beban tersebut. Apabila membawa beg tangan atau beg jinjing, keraplah bertukar tangan yang menjinjingnya 
  • Bawalah beban yang lebih kecil atau lebih ringan. Jika bebannya besar dan berat, agihkan dan angkatlah beberapa kali. 
  • Gunakan postur yang betul – angkat menggunakan lutut, letakkan benda yang selalu digunakan sehampir yang boleh dan tempatkan benda berat diaras yang lebih tinggi  
  • Belajar teknik kecergasan dan bersenam yang betul dengan bantuan jurulatih. Jika perlu, dapatkan nasihat mereka untuk mengubahsuai cara anda bersenam bagi mengelakkan ketegangan atau kecederaan

P = Professional Help (Bantuan Profesional)

Datang berjumpa ahli kiropraktor apabila anda mengalami masalah seperti skoliosis dan sakit belakang. Mereka akan membantu mengenal pasti masalah yang mungkin berlaku dan mengesyorkan cara-cara untuk meningkatkan kesihatan tulang belakang. Antaranya melakukan penjajaran tulang, membantu memperbaiki pergerakan, mengoptimum cara anda melakukan tugasan sehari-hari atau mengubah aturan ruang kerja anda bagi mengurangkan tekanan kepada badan secara keseluruhan dan mencegah kecederaan.

Cari penyelesaian yang cepat tetapi perlu difahami yang kebanyakan jenis kesakitan muskuloskeletal berlaku selepas satu tempoh masa yang panjang. Oleh itu, untuk menanganinya perlukan masa juga. Berita baiknya ialah perubahan-perubahan ini tidak semestinya drastik atau mahal. 

Perkara paling penting adalah untuk pesakit bercakap mengenai masalah, keperluan dan harapan mereka dalam rawatan. Sering kali pesakit enggan bercakap dan ini akan memberi kesan kepada hasil rawatan. Pastikan anda jelas dengan apa yang anda mahu dan jika anda tidak pasti, teruskan bertanya.

Raja Lepak

Read Previous

Daiso labur RM1 bilion bina pusat pengedaran global!

Read Next

Meraikan Hari Kesedaran Kesihatan Mental Sedunia Dengan Gabungan Inovasi Dan ‘Mindfulness’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *