Sama ada korang pernah dengar atau tak, memang di Sungai Lembing terdapat satu tarikan semulajadi yang cukup cantik dan mempesonakan. Mendapat nama daripada fenomena pelangi yang memang melatari air terjun ini, sebaik sampai memang korang akan terpegun dengan sebuah pemandangan persis hasil edit Photoshop atau sebuah filem di dunia fantasi!
Dalam trip sempena Tahun Melawat Pahang pada tahun lalu, Damak akhirnya dapat menjejakkan kaki ke sini atas ajakan rakan media. Walaupun cuaca waktu itu tak menentu, dan sehari sebelumnya aku dimaklumkan musim hujan di sini sudah masuk ke fasa kedua, memang bertawakal dan berdoa jelah supaya dapatlah sampai jugak.
Dan keesokannya pulak, dengan cuaca yang suram, pemandu pelancong kami nekad meneruskan ekspedisi, lewat sedikit daripada jadual asal kerana hujan. Itupun dia tak dapat ‘menjanjikan’ pelangi sebaik sampai nanti.
Dari penginapan kami di T-Box, Sungai Lembing, kami bergerak dengan menaiki pacuan empat roda. Perjalanan sejauh 18 kilometer dari pintu masuk meredah Hutan Simpan Kekal Remen Cemih ini memakan masa lebih kurang 45 minit. Memang jalannya cukup sukar, berbatu dan tidak rata selain berlecak akibat hujan yang masih juga turun renyai-renyai.
Dan di sepanjang perjalanan tu, kami meredah tiga anak sungai iaitu Sungai Jin, Sungai Hillview dan Sungai Bunga atau dikenali Sungai Cuci Kaki. Nama timangan ini diberi dek kerana kalau cuaca buruk, pacuan empat roda sekali pun tak mampu melepasinya, maka terpaksa turun, cuci kaki dan berpatah baliklah. Haha.
Syukur nasib kami baik kerana perjalanan kami diteruskan sampai ke Ulu Sungai Kuantan yang mana kami perlu turun dari pacuan empat roda dan mendengar taklimat ringkas. Sungai berketinggian paras dada yang bakal kami redah ni berdekatan dengan Lubuk Beruk, yang kedalamannya boleh menjangkau lapan meter. Sebab tu kami diingatkan untuk memaut tangan dengan kejap pada tali supaya tak terhanyut.
Lepas tu, kami memulakan langkah kaki meredah sungai sebelum mendaki bukit terus ke destinasi yang dituju, Air Terjun Pelangi. Pendakian sejauh 1.5 kilometer memang mencabar sebab kerana cuaca yang masih lembap menjadikan batuan yang kami lalui cukup licin sekali gus berbahaya.
Sebab tu, sejak awal lagi kami diingatkan memakai pakaian yang sesuai, tambah-tambah dalam keadaan cuaca yang sukar diramal. Penanda arah yang disediakan pun cukup membantu. Hampir di sepanjang perjalanan, kami memang cuma mendaki di lereng anak sungai sehinggalah lebih kurang 200 meter sebelum tiba, pemandangan air terjun sudah mula kelihatan.
Dari sinilah semua dah jadi teruja dan lebih bersemangat selepas menempuh perjalanan yang nyata bukan mudah. Air Terjun Pelangi nyata memukau kami dengan ketinggiannya yang mencecah 150 meter. 30 pertama terdapat satu lekukan yang menjadikan air yang turun persis hujan.
Awalnya, aku sendiri kecewa sebab tak nampak pun pelangi tapi aku faham, awan melindungi cahaya matahari sekali gus menghalang biasan cahaya menghasilkan pelangi namun beberapa lama menanti, kami teruja saat pemandu pelancong kami terperasan pelangi yang terbentuk.
Lensa kamera aku dan media lain semua berpusu menangkap fenomena yang dinantikan tu. Sekalipun pembentukannya kecil akibat kami terpaksa tiba lewat, tapi itu sudah cukup membuatkan kitorang terkagum. Yang kecil ini je pun dah menakjubkan, apalah rupanya kalau kami tiba sedikit awal!
Kemudian, kami semua apa lagi tak lepas peluang berendam di kaki air terjun. Memang cukup seronok sebab tak terlalu dalam, kira-kira paras dada. Dengan angin lembap, masing-masing seronok berenang, bergambar dan berendam sekali gus. Iyalah, bukan selalu dan bukan semua orang pernah sampai ke sini!
Harus aku katakan, memang pengalaman ini cukup bernilai untuk aku. Melihat sendiri salah satu keajaiban ciptaan Tuhan ni cukup membuatkan kita terasa nikmatNya. Air Terjun Pelangi tanpa syak lagi memang satu tarikan yang wajar korang teroka sendiri. Pemandangannya cukup menakjubkan dan pengalamannya pastinya cukup berharga.
Andai diberi peluang, aku memang akan datang ke sini lagi untuk melihat pelangi yang lebih besar dan menakjubkan. Sekali pun aku dah sampai sini, aku tetap mahu letakkan Air Terjun Pelangi dalam wishlist aku!
Untuk korang yang mahu ke Air Terjun Pelangi, berikut sedikit tips yang aku boleh kongsikan.
Tips Mendaki Air Terjun Pelangi
- Pastikan pemandu pelancong ialah yang berdaftar, bertauliah dan profesional
- Patuh dan pastikan jelas pada setiap arahan pemandu pelancong
- Pastikan memakai pakaian sukan, terutama kasut yang sesuai (di Pekan Sungai Lembing terdapat kedai menjual kasut yang sesuai)
- Bawa beg kalis air yang tahan lasak untuk simpanan barang elektronik dan lain-lain
- Elakkan membawa barang yang tidak perlu
- Bawa bekal makanan (sekiranya perlu) dan setidak-tidaknya sebotol air mineral
- Dan di mana-mana sekali pun, jagalah tingkah laku dan bicara
- Untuk dapatkan pemandangan pelangi yang lebih besar dan menakjubkan, pastikan anda tiba pada jam lebih kurang 9 dan 10 pagi.
Artikel berkaitan:
Aktiviti ‘Memukau Mata’ Anda Boleh Lakukan di Tasik Kenyir
Hutan Awan Mossy Forest Tersangat Cantik & Memukau