Hutan Awan Mossy Forest Tersangat Cantik & Memukau

Memang nampak menyeramkan kalau sekali pandang. Namun, apabila anda mengambil masa sedikit menghayati suasana kabus tebal dengan cuaca sejuk hingga mencengkam tulang rusuk, nescaya, korang pula yang tak mahu meninggalkan Mossy Forest, Gunung Brinchang di Cameron Highlands.

Tidak keterlaluan untuk Damak rumuskan bahawa masih ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan hutan lumut ini. Justeru, singgahan ke sana pada awal Februari lalu memberi peluang kepada Damak menceritakan serba sedikit tentang anugerah alam terhebat ini kepada anda semua.

Damak berpeluang meneroka Mossy Forest bersama dengan kawan-kawan Damak diiringi jurupandu yang bernama Ali yang amat berpengalaman di kawasan ini.

Kredit: Klook

Kami menaiki pacuan empat roda ke pintu masuk yang jaraknya cuma enam kilometer dari jalan utama namun mengambil masa lebih 20 minit melalui Ladang Teh Boh Sungai Palas. Laluannya sempit, berliku, berlubang dan bersimpang-siur. Beberapa kali jugalah kami terpaksa berhenti ketika bertembung dengan kenderaan lain. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. 

Apa yang Damak dapat kongsikan, pemandangan sepanjang perjalanan melalui ladang teh memang cukup memukau. Memang tidak puas rasanya melirik kabus dan menjamu mata dengan kehijauan ladang. Cantiknya, Subhanallah sangat memukau mata!

Setibanya di pintu masuk Mossy Forest, suhu ketika itu sekitar 18 hingga 16 darjah celsius. Kesejukannya semakin lama dapat dirasakan seperti ‘terperangkap’ dalam peti sejuk beku.

Kredit: jomjalan

Masakan tidak, menurut Ali, suhu pada waktu siang antara 28 hingga 16 darjah celsius. Manakala pada waktu malam boleh mencecah 4 darjah celsius. Jadi, jika nak mendaki ke sini jangan lupa memakai pakaian yang bersesuaian.

Ini merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan. Damak bersama rakan-rakan lain boleh melihat kedudukan awan pada paras yang begitu rendah di Mossy Forest. Awan itu bergerak laju lantaran ditiup angin. 

Apabila melihat gerakan awan pada celah-celah pokok-pokok di situ, Damak dapat rasakan aura yang cukup luar biasa. Kini, Damak mengerti mengapa Mossy Forest turut dikenali sebagai hutan awan. Jadi, tidak hairanlah juga penggambaran filem Puteri Gunung Ledang dilakukan di lokasi yang cukup indah ini.

Sebenarnya, untuk ke Mossy Forest, pihak Jabatan Hutan Cameron Highlands menyediakan laluan pelantar kayu. Bagaimanapun, nasihat penulis kepada para pengembara semua, anda perlu berhati-hati kerana permukaan tanah sangat licin.

Setahu kami, laluan itu bukan sahaja dibina bagi menjaga alam sekitar. Namun, pada masa yang sama, membenarkan pengunjung menikmati pemandangan tanpa perlu memijak lumut yang tumbuh melitupi tanah.

Malangnya, ketika kami sampai, pelantar tersebut masih ditutup susulan musim hujan dan kerja baik pulih sedang dijalankan namun, untuk tidak menghampakan kami, Ali membawa kami ke sebelah kiri hutan menuju ke arah puncak Gunung Brinchang. Suasana ini pun dah cukup cantik, sampaikan kami semua tidak mahu balik.

Kredit: Klook

Menariknya, ketika tiba di kawasan puncak (yang terdapat menara), Ali berkata: “Kalau awak semua toleh ke kiri, awak akan nampak negeri Pahang dan kalau toleh ke kanan pula, nampak negeri Perak. Kamu semua boleh saksikan pemandangan hutan dua negeri sekali gus. Wah, hebat bukan?

Oh! ya, kalau anda mahu mendaki Gunung Irau, anda boleh melalui platform tersebut sehingga ke penghujung dan teruskan perjalanan sekitar tiga atau empat jam sebelum tiba di puncak gunung berketinggian 2,112 meter dari paras laut itu. Jangan lupa mohon permit terlebih dahulu.

Sebenarnya, sebelum kembara kami bermula, Ali dah berpesan pada kami: “Tangan jangan gatal dan jangan pijak lumut kerana tumbuhan ini mengambil masa yang lama untuk tumbuh semula.” Jadi, kepada bakal pengembara, ingatlah nasihat ini.

Kredit: flickr

Ada yang teruja ke tu. Kini percutian bersama keluarga tercinta dan sahabat di Cameron Highlands bukan lagi sekadar ladang strawberi atau di pasar malam sahaja. Jadikan Mossy Forest dalam senarai destinasi anda!

Tip ke Mossy Forest:

1.   Anda boleh datang sendiri namun digalakkan datang dengan pemandu pelancong yang lebih arif.

2.   Laluan sempit dan berlubang jadi kebanyakan pemandu akan berpatah balik di separuh jalan.

3.   Pakai pakaian sesuai untuk suhu rendah dan aktiviti dalam hutan.

Kredit: KL100

4.   Pastikan anda simpan dan bawa keluar sampah masing-masing serta patuhi segala papan tanda amaran.

5.   Waktu sesuai untuk ke sini pada waktu pagi kerana kebiasaannya tidak hujan. Kalau hujan, cuaca lebih sejuk dan licin. Semak ramalan kaji cuaca sebelum memulakan perjalanan.

Artikel berkaitan:
Cabaran Redah Dua Gunung di Bukit Fraser Yang Amat Sukar & Mencanak
Pelbagai Spesis Lipas Menanti Anda di Gua Gomantong

Raja Lepak

Read Previous

Meriah! 6 Tradisi Berbeza Masyarakat Dunia Sambut Bulan Ramadhan

Read Next

10 Port Makan ‘Bukan Kaleng-Kaleng’ Di Kuantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *