7 Pantang Larang Orang Tua Yang Pelik Tapi Masuk Akal

Korang mesti dah biasa dengar beberapa pantang larang orang tua-tua yang korang rasa pelik sangat. Abang Bob masa kecik-kecik dulu selalu juga kena marah dengan nenek sebab buat beberapa perkara yang dikatakan melanggar pantang larang. 

Sebenarnya pantang larang itu salah satu kaedah untuk memberi nasihat oleh orang dulu-dulu. So kat sini Abang Bob nak senaraikan antara pantang larang orang dulu-dulu yang mungkin kedengaran pelik, tetapi masuk akal.

1.   Jangan potong kuku pada waktu malam nanti umur pendek

Abang Bob pernah ditegur supaya tidak memotong kuku pada waktu malam kerana dikhuatiri akan cepat meninggal dunia. Pantang larang ini mungkin kedengaran merapu kerana ajal dan maut sudah ditetapkan sendiri oleh Tuhan. Tetapi ia mempunyai logiknya yang tersendiri.

Kebanyakan masyarakat dahulu yang hidup di kampung tidak mempunyai lampu dan hanya menggunakan lilin untuk mendapatkan cahaya pada waktu malam. Oleh itu, mereka tidak digalakkan memotong kuku pada waktu malam untuk mengelakkan kecederaan pada jari. Tapi kasar betul orang dulu-dulu punya teguran yer. Hahahah!

2.   Anak dara jangan menyanyi di dapur nanti akan berkahwin dengan lelaki tua

Sesetengah anak gadis tanpa sedar suka menyanyi dan berangan di dapur ketika memasak. Bukan anak dara jer, anak teruna pun sama. Pantang larang yang mengatakan bahawa mereka akan berkahwin dengan orang tua jika menyanyi sebenarnya adalah untuk mengelakkan daripada kecuaian berlaku dan masakan menjadi hangus.

Bayangkan sekiranya ketika mereka menyanyi sambil memotong bawang atau sayur-sayuran, kecuaian atau kecederaan seperti terpotong jari sendiri mungkin akan terjadi. Itu bukan cuai, tu berangan namanya!

Baca artikel ini: 8 Makanan Biasa Jadi Luar Biasa Ketika Ramadhan

3.   Jangan duduk di atas bantal nanti terkena bisul

Orang Melayu begitu hormat akan sesuatu yang melibatkan anggota kepala seperti tidak boleh melangkah kepala, jangan mengetuk kepala menggunakan tangan dan jangan duduk beralaskan bantal yang digunakan untuk kepala. Pantang larang jangan duduk di atas bantal kerana nanti akan terkena bisul ini adalah untuk menghormati anggota kepala dan tiada kaitan langsung dengan bisul.  Bukankah tak elok bantal yang digunakan di kepala diletakkan pada punggung.

4.   Jangan banyak berubah tempat makan nanti akan berkahwin ramai

Orang lelaki suka laa mendengar pantang larang ini. Tetapi hakikatnya, ia lebih berkait dengan kebersihan daripada perkahwinan. Bagi mengelakkan mangkuk yang berisi kuah terjatuh atau cawan yang berisi air tertumpah ke lantai, para ibu kebiasaannya menggunakan pantang larang ini kepada anak mereka supaya tidak berubah tempat makan. Kalau budak-budak kecil yer laa kot akan berasa takut. Tapi kalau orang dewasa lagi dia suka agaknya dengan pantang larang ini. 

5.   Jangan meniarap sambil menaikkan kaki ke atas takut ayah dan ibu meninggal dunia

Semasa sedang menonton televisyen, sesetengah individu gemar berbaring secara meniarap. Perbuatan menaikkan kaki ke atas ketika meniarap ini membawa maksud ibu bapa akan meninggal dunia bagi orang-orang tua. 

Tapi sebenarnya pantang larang ini terjadi kerana orang dahulu kala khususnya anak gadis lebih gemar memakai kain batik dan lelaki suka memakai kain sarung. Jika mereka meniarap sambil melipatkan kaki ke atas, pasti kain yang mereka pakai itu akan menampakkan separuh daripada anggota kaki yang dianggap tidak sopan. Orang-orang tua menggunakan pantang larang ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini dan memalukan daripada berlaku.

6.   Ibu mengandung tidak dibenarkan melalui bawah ampaian kerana anak yang dilahirkan bakal menjadi gagap

Secara logiknya, pantang larang ini mungkin kedengaran sangat tidak masuk akal. Pantang larang yang direka ini sebenarnya adalah atas dasar keselamatan kepada ibu yang mengandung. Sebelum wujudnya mesin basuh, baju yang dicuci menggunakan tangan akan disidai di ampaian dan jemuran itu akan menghasilkan air yang mengalir menyebabkan jalan licin. Pantang larang ini adalah untuk mengelakkan ibu mengandung daripada tergelincir dan mengalami keguguran.

7.   Jangan biar pinggan kering selepas makan kerana rezeki akan lewat masuk

Pantang larang ini wujud kerana majoriti manusia akan berbual-bual semasa sedang makan. Walaupun makanan di pinggan sudah habis, perbualan tetap rancak berlaku. Malah, ada sesetengah yang terus bermain telefon bimbit. 

Pantang larang yang disebut-sebut oleh orang dahulu ini sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat di mana mereka tidak mahu pembuangan masa berlaku selepas makan dan harus segera bersiap untuk mencari rezeki. Di samping itu, pinggan yang kering juga akan melambatkan proses untuk kita mencucinya.

Itulah antara pantang larang yang sering didengari oleh masyarakat Melayu. Walaupun pantang-larang ini kedengaran pelik, tetapi ia merupakan pengajaran buat anak muda. Sebab itu anak-anak muda sekarang pun masih diingatkan dengan pantang larang ini supaya kelakuan mereka terjaga.

Baca artikel ini: 7 Kaedah Untuk Kekal Aktif Semasa Berpuasa

Raja Lepak

Read Previous

Aktiviti ‘Memukau Mata’ Anda Boleh Lakukan di Tasik Kenyir

Read Next

8 kuih yang menjadi buruan semasa bulan puasa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *