8 kuih yang menjadi buruan semasa bulan puasa

Selain mengisi bulan Ramadhan dengan penuh amalan mulia, tipulah kalau korang tidak mengisi perut yang kosong dengan pelbagai juadah berbuka puasa yang sedap-sedapkan, betul tak?  Setiap tahun, pasti ada makanan baru yang viral akan dibawa ke bazar Ramadhan dan buat ramai orang tercari-cari. 

Contohnya macam feberet Abang Bob iaitu ‘bomboloni’ atau kuih donat gebu ala pastri Itali yang berinti pelbagai perisa. Selain kuih-mueh moden, kuih tradisional pun orang dok buru juga semasa bulan puasa. Jom Abang Bob nak belanja korang 8 kuih yang jadi buruan ramai pada bulan puasa.

1.   Samosa

Berasal daripada bahasa Parsi “sanbosag” yang bermaksud ‘segi tiga cantik’, samosa memang sesuai dijadikan snek untuk minum petang (semasa bukan bulan puasa). Samosa ni juga antara kuih kegemaran di sekitar Asia dan Timur Tengah. Tetapi lain tempat, lain laa cara masakannya.

Kat Malaysia, samosa digoreng rangup dan berinti ubi kentang, daging, ayam, atau sayur-sayuran, dan lebih enak dicicah dengan sos pedas manis. Jika kat India pula, samosa berinti sayur-sayuran akan dihidang dengan sos pudina atau chutney. Kuih kegemaran Maharaja Mughal pada zaman dahulu ini juga pernah disebut dalam puisi oleh Ishaq ibn Ibrahim al-Mausili dari abad ke-9, di mana beliau memuji keenakan samosa.

2.   Cara berlauk

Boleh dikatakan selalu dilihat, cara berlauk tersedia pada waktu sarapan, di pasar tani, ataupun dihidangkan di kenduri. Dengan hirisan cili merah, rempah dan daging cincang yang ditaburkan di atas, kuih tradisional yang enak ini sesuai dijadikan pembuka selera sebelum korang menikmati makanan berat.

Cara berlauk biasa dimasak dalam acuan berbentuk separa bujur, tetapi ada juga yang membuatnya dalam acuan berbentuk bunga. Selain itu juga terdapat kuih cara manis — berwarna hijau dengan isian air gula di tengah yang lebih sesuai sebagai pencuci mulut.

3.   Popiah basah

Korang yang  mengutamakan pemakanan sihat atau mencari peluang untuk diet sambil berpuasa tu, popiah basah adalah cadangan hidangan yang baik. Lain dengan popiah goreng atau spring roll, popiah basah sebenarnya susah untuk dimasak dan dihidang dengan cantik kerana kulitnya yang nipis dan inti yang berat. Seseorang itu memerlukan kemahiran memasak untuk membuatnya!

Asal-usul kuih popiah secara umum pernah menjadi kontroversi beberapa tahun lalu. Sebenarnya, nama “poh piah” diambil daripada dialek Teochew yang bermaksud ‘penkek nipis’ dan ia berasal dari Fujian, China.

4.   Akok

Ada di antara korang yang belum pernah merasa kuih akok? Tidak dinafikan, kuih tradisional Melayu yang berasal dari Pantai Timur ini ialah pilihan pencuci mulut yang menyelerakan setelah berbuka puasa. Dengan rasa berlemak manis telur, ia sesuai dihidangkan kepada tetamu kerana sesiapa saja pasti menyukainya.

Terdapat pelbagai variasi masakan kuih akok, seperti akok kemboja, akok pisang, akok pandan, dan akok nisan. Untuk pengetahuan korang, akok nisan diberi nama kerana bahan masakannya yang menggunakan nisan, iaitu sejenis manisan yang terhasil daripada mayang pokok kelapa. Di kawasan utara, manisan ini dikenali sebagai nira.

Baca artikel ini: Patut Orang Jepun Suka Sangat Ratah Snek Edamame

5.   Lopes

Nama kuih ini sama sekali tiada kena-mengena dengan selebriti antarabangsa terkenal yang korang selalu samakan iaitu Jeniffer Lopez.

Kuih tradisi Melayu ini terkenal di negeri Kedah dan Johor. Ia diperbuat daripada beras pulut, disadur dengan kelapa parut kering, dan dimakan dengan kuah gula melaka yang lebih enak jika disejukkan. Berbanding zaman dulu-dulu, sekarang ini agak sukar untuk mencari kuih lopes asli yang dibalut dalam bekas daun pisang.

6.   Agar-agar santan

Selepas berbuka puasa dengan makanan berat, pencuci mulut ringkas seperti potongan agar-agar sejuk sangat melegakan tekak! Boleh didapati dalam pelbagai perisa, inti, warna, dan bentuk, mesti buatkan korang terliur.

Yang menjadi kegemaran semasa bulan Ramadhan ialah agar-agar santan pandan. Diperbuat daripada lapisan agar-agar dan campuran pandan dengan santan, agar-agar ini sememangnya sesuai untuk menyejukkan badan.

7.   Kuih bakar

Turut dikenali sebagai bahulu kemboja, kuih tradisional berbentuk bunga ini pun agak mudah dicari lebih-lebih lagi pada bulan puasa kerana ia merupakan hidangan pencuci mulut yang asas. Aroma kuih bakar yang harum juga membuatkannya lebih menyelerakan.

Dengan taburan bijan di atas, padat berisi bahan-bahan seperti tepung gandum dan pandan, kuih ini berasa manis, lembut dan berlemak. Acuan khas digunakan untuk memasak kuih ini dan ia dibakar menggunakan dapur arang.

8.   Tepung pelita

Kuih tepung pelita memang cukup sinonim dengan bulan Ramadhan. Dihidang dalam bekas daun pandan, kuih ini ada dua lapisan. Bahagian atas atau dipanggil ‘kepala’ diperbuat daripada santan putih dan bawahnya pula berasa pandan. Manis berlemak, lembut dan cair dalam mulut, tepung pelita lebih lazat jika dinikmati semasa ia sejuk.

Di negeri Perak, ada versi kuih ini yang tersendiri tetapi lain sedikit rasanya. Dipanggil kuih limas, rasanya lebih padat dan pekat. Bezanya, kuih tepung pelita diperbuat daripada tepung beras manakala limas pula menggunakan tepung gandum.

Mesti korang teringin nak makan kuih-muih yang Abang Bob senaraikan diatas itukan? Memandangkan tahun ini tak ada Bazar Ramadhan, apa kata kalau korang buat jer sendiri kuih tu. Kalau tak tahu cara nak buat, korang cari jer kat Google. Mana tahu lagi sedap korang buat.

Baca artikel ini: Bagaimana Nak Elak Makan Berlebihan Semasa Berbuka Puasa?

Raja Lepak

Read Previous

7 Pantang Larang Orang Tua Yang Pelik Tapi Masuk Akal

Read Next

4 Hospital Paling Berhantu Di Dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *