10 Makanan Malaysia Jadi Buruan Pelancong Luar Negara

Tiada siapa yang boleh nafikan bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang terkenal di dunia sebagai syurga makanan sama ada tradisional ataupun moden.

Abang Bob sebagai anak jati Malaysia memang bangga bila ada pelancong luar memuji makanan dari negara kita tidak kira sama ada makanan tradisional seperti kuih atau makanan berat.

So kali ni, Abang Bob nak kongsikan apakah dia 10 makanan kat Malaysia yang sering meniti di bibir pelancong asing setiap kali mereka melancong ke negara ini.

Roti canai

Yang pertama ialah roti canai. Roti canai ialah makanan tradisional untuk masyarakat India. Dikatakan bahawa, roti canai dibawa ke Malaysia melalui imigran Tamil Muslim yang telah lama menetap di negara ini. Makanan ini sesuai dinikmati bersama kuah dal, kari dan sambal tumis bergantung kepada selera masing-masing. Roti canai selalunya diambil sebagai sarapan pagi. Selain roti canai, ada beberapa variasi roti lain yang dibuat dengan cara sama seperti roti telur, roti bawang, roti sardin dan roti tisu.

Nasi lemak

Mat Salleh sendiri telah mengakui keenakan yang terdapat pada nasi lemak. Cita rasa unik pada nasi lemak membuatkan makanan ini digemari ramai selain mengenyangkan. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat nasi lemak ialah santan, halia, bawang merah dan daun pandan. Seterusnya, nasi lemak lebih enak apabila dihidangkan bersama sambal tumis, kacang tanah goreng, ikan bilis dan telur goreng. Walaupun begitu, terdapat sesetengah rakyat Malaysia yang suka menambah lauk pada nasi lemak mereka seperti sambal udang, rendang daging dan sambal sotong. Mabeles!

Rojak

Siapa antara korang yang gemar makan salad? Sekiranya salad ialah campuran sayur-sayuran, Malaysia pula mempunyai campuran buah-buahan tersendiri yang menjadi kegemaran ramai. Dikenali sebagai rojak, makanan ini mempunyai pelbagai nama lain seperti rojak buah, rojak Penang, rojak India dan rojak kangkung. Untuk pengetahuan korang, rojak buah ialah campuran buah mangga, nanas, sengkuang dan jambu batu. Selain itu, kuah rojak buah pula ialah kicap yang dicampur dengan belacan, air, gula dan kacang tanah yang telah dikisar ataupun ditumbuk. Rojak India ataupun lebih dikenali sebagai pasembor ialah makanan yang terkenal di Pulau Pinang. Pasembor ialah campuran kentang rebus, cucur goreng, tauge, sengkuang dan telur rebus dan makanan ini kebiasaannya dimakan pada waktu petang. Terliur?

Baca artikel ini: Bosan Makan Nasi? Cuba Try 7 Masakan Berasaskan Kentang Yang Simple Dan Sedap!

Asam laksa

Asam laksa ialah makanan yang berasal daripada keturunan Baba dan Nyonya. Mi laksa berwarna putih dan disajikan bersama kuah ikan pedas. Namun, makanan ini tidak akan lengkap tanpa hirisan bawang merah, cili, timun dan telur. Apa yang menarik, asam laksa telah diletakkan di posisi ke-7 daripada 50 makanan terbaik dunia oleh CNN International!

Apam balik

Apam balik ialah makanan warisan negara yang diisytiharkan oleh Jabatan Warisan Kebangsaan Malaysia. Untuk pengetahuan korang, bahan-bahan yang digunakan untuk membuat apam balik ialah adunan tepung, santan, gula, soda penaik dan telur. Ramai penjual apam balik membuat versi mereka tersendiri dengan menambah inti berisi coklat, strawberi dan keju. Memang sedap!

Sate

Sate lebih sedap dimakan bersama kuah kacang, nasi himpit, bawang dan timun. Setiap tempat mempunyai harga sate yang berbeza kerana cara pembuatan makanan itu sendiri sudah cukup rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Sate yang selalunya dijual dekat Malaysia ialah sate ayam, daging dan kambing. Tapi ada juga peniaga yang mempelbagaikan variasi sate seperti sate perut, sate tulang, sate arnab, sate rusa dan sate kijang.

Kuetiau

Kuetiau ialah makanan tradisional masyarakat Cina. Makanan ini kebiasaannya digoreng bersama kerang, udang, kicap cair, cili dan tauge. Kuetiau merupakan salah satu makanan kegemaran ramai untuk makan malam tetapi ia lebih sedap sekiranya dimakan ketika panas dengan hiasan telur separuh masak. 

Otak-otak

Otak-otak ialah isi ikan yang dicampur dengan rempah ratus dan cili untuk membangkitkan rasa kepedasan sebelum dibalut daun kelapa yang kemudiannya dibakar sehingga masak. Walaupun otak-otak dan sata mempunyai inti yang sama, tetapi kedua-dua makanan itu mempunyai bentuk yang berbeza. Bentuk otak-otak ialah memanjang manakala sata berbentuk piramid. Jangan keliru! 

Mi goreng mamak

Mi goreng mamak berbeza daripada yang lain kerana makanan ini dimasak sehingga kering tetapi masih sedap dimakan. Lagi sedap mi goreng mamak ni kalau ada rasa ‘kuali’ pada mi goreng tersebut. Fuhh!

Pisang goreng

Pisang goreng lebih enak dimakan pada waktu petang. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat makanan tersebut ialah pisang, telur dan tepung. Sama seperti makanan lain, pisang goreng juga boleh dimakan bersama keju dan coklat mengikut selera masing-masing. Tidak dapat disangkal bahawa ramai yang menggemari pisang goreng bersama keju, susu dan coklat sehingga menjadi tular di media sosial.

Korang sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana dapat menikmati pelbagai makanan daripada kaum lain tanpa perlu pergi ke luar negara pun. Cakap jer nak makan apa, semuanya ada kat Malaysia. Selalunya kalau ditanya pelancong luar tentang keunikan Malaysia, senarai makanan yang sedap-sedap mesti termasuk dalam list diaorang. So, korang teringin nak makan apa hari ini?

Baca artikel ini: Amboi… Nak Buang Sampah Kemain Glamour Lagi!

Raja Lepak

Read Previous

Toyol: Hantu Hasil Pemujaan Mayat Anak Sulung?

Read Next

Senarai 10 gaji tertinggi pemimpin dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *