Antibodi Boleh Menyerang Tubuh Kita Sendiri?

Asian women with mental illness, anxiety, hallucinations, mental falls

Bayangkan sebuah penyakit neurologi yang termanifestasi seperti  penyakit mental dan menjadikan kita seperti seseorang yang telah hilang kewarasan. Hari ini kita sibuk menyiapkan projek di pejabat, namun keesokan harinya, kita mula mengalami halusinasi dan berkhayal.

Dalam kepelbagaian jenis penyakit yang sering di salah diagnos, “Autoimmune Encephalitis (AE) adalah antaranya. AE boleh didefinisikan sebagai sebuah kumpulan penyakit di mana sistem pertahanan tubuh (antibodi) menyerang otak dan menyebabkan simptom progresif atau bertambah teruk, dan boleh berlaku di dalam pelbagai sub-jenis. 

Jika dibiarkan tidak dirawat, penyakit ini boleh menyebabkan kecederaan otak kekal dan dalam kes yang lebih teruk, boleh menyebabkan kematian. 

Menurut Dr Ellie Kok Huey Tean, Pakar Perunding Neurologi dan Pakar Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), AE merupakan sebuah spektrum penyakit yang boleh menjejaskan fungsi kognitif individu dan seterusnya menyebabkan gangguan pertimbangan atau hilang kewarasan pesakit tersebut. 

Dr Ellie Kok Huey Tean

Lebih-lebih lagi, diagnosis AE sering diabaikan atau diberitahu lewat kerana simptom klinikalnya yang seperti penyakit mental. 

AE berlaku disebabkan oleh antibodi badan dan boleh dialami oleh pesakit dari pelbagai lapisan umur tanpa menunjukkan sebarang kaitan dengan sejarah keluarga. Simptom manifestasi AE juga merangkumi pelbagai gejala lain termasuk sakit kepala, perubahan personaliti dan tingkah laku, gangguan fungsi kognitif, sawan, gangguan pergerakan, dan halusinasi atau berkhayal.

Punca AE adalah pelbagai, daripada terdedah kepada jangkitan virus tertentu seperti virus herpes simplex atau apabila pesakit mengalami kanser. Kajian menunjukkan bahawa AE kebanyakannya memberi kesan kepada individu dari seusia awal remaja hingga umur 50 tahun, dengan wanita lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding lelaki. 

Autoimmune Encephalitis di pelbagai peringkat umur

Dr Ellie turut menekankan bahawa walaupun AE boleh terjadi di kalangan individu daripada pelbagai peringkat umur, dan terdapat jenis-jenis AE spesifik yang mungkin menunjukkan kelaziman yang lebih tinggi untuk berlaku dalam kumpulan umur atau jantina tertentu. Sebagai contoh, N-methyl-D-aspartate receptor (NMDAR) encephalitis lebih cenderung dialami oleh golongan remaja dan dewasa. 

Selain itu, bagi NMDAR encephalitis, terdapat kecenderungan bagi penyakit ini berlaku di kalangan wanita muda, terutamanya bagi individu yang mempunyai tumor khususnya ‘Teratoma Gonodal’ yang merupakan tumor yang terletak di dalam organ pembiakan. Sebagai contoh, teratoma ovari adalah sebuah tumor serius yang boleh menjejaskan sel-sel otak dan berkemungkinan membawa kematian kepada wanita muda. 

Bagi populasi warga tua pula, terdapat jenis AE yang berbeza dan dikenali sebagai “paraneoplastic encephalitis” yang selalunya terjadi apabila seseorang warga emas itu menghidap kanser tersembunyi (kanser yang sebelum ni tidak diketahui pesakit). Sel kanser yang tidak normal ini boleh menyebabkan sistem imuniti tubuh menghasilkan antibodi khusus yang menyerang otak, lalu menyebabkan simptom AE berlaku sebelum simptom kanser dapat dilihat dengan ketara.

“Apabila gejala neuropsikiatri berlaku kepada pesakit tua, pakar neurologi boleh mengenal pasti tumor kanser melalui ujian pengimejan. Selalunya, tumor ini berasal dari paru-paru, manakala untuk pesakit wanita, ia boleh berpunca daripada ovari atau payudara. Oleh itu, pengesanan dan rawatan awal dapat meningkatkan peluang pesakit untuk sembuh sepenuhnya,” hurai Dr Ellie. 

Tambahan pula, Dr Ellie menasihatkan bahawa ahli keluarga atau penjaga warga emas untuk berwaspada terhadap simptom AE, terutamanya memandangkan orang tua mudah terdedah kepada sebarang jangkitan yang juga merupakan punca utama bagaimana AE boleh berlaku. Penting juga bagi ahli keluarga atau penjaga warga emas untuk memantau simptom AE seperti kemerosotan ingatan, perubahan tingkah laku, sawan, dan masalah pergerakan seperti hilang keseimbangan semasa berjalan.

Ujian Diagnostik dan Proses Pemulihan

Penilaian AE merangkumi menilai jika pesakit mengalami kehilangan ingatan jangka pendek (short-term memory loss) dan gejala pesakit mental yang lain dalam tempoh masa tiga bulan. Penilaian tambahan termasuk menilai jika pesakit ada mengalami gangguan pergerakan atau sawan. Untuk membantu pakar neurologi mendiagnosis penyakit ini, terdapat ujian khusus yang perlu dijalankan ke atas pesakit seperti ujian electroencephalogram (EEG), analisia cecair serebrospina serta MRI otak.

Dr Ellie turut menegaskan bahawa orang ramai perlu mendapatkan pendapat nasihat pakar neurologi jika mereka atau orang di sekeliling mereka mengalami gejala pesakit mental secara akut (secara tiba-tiba). Dengan rawatan imunoterapi yang sesuai, kebanyakan pesakit boleh sembuh daripada AE. Rawatan untuk AE juga disasarkan untuk menghapuskan antibodi auto yang dikesan dalam badan, dan rawatan imunoterapi ini akan diberikan melalui cecair IVIG, pertukaran plasma atau agen imunosupresi.

Walaubagaimanapun, AE mungkin boleh berulang kembali dalam tempoh lima tahun bagi sebilangan pesakit. Oleh itu, amatlah penting untuk pesakit menjalani rawatan susulan untuk mencegah atau mengesan sebarang kemungkinan untuk AE berlaku semula di dalam badan. 

Kesimpulannya, orang ramai perlu mengutamakan kesihatan mereka dan segera dapatkan nasihat perubatan jika mengalami sebarang gejala penyakit. Sama ada AE atau sebarang penyakit neurologi yang lain, pengesanan awal kekal menjadi asas kepada rawatan yang berkesan. 

Raja Lepak

Read Previous

KLFA 2023: Mengiktiraf Nama-Nama Besar Industri Fesyen Malaysia

Read Next

Anothersole Berlabuh Malaysia!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *