Bila duduk rumah bertingkat macam kondo dan apartment, ruang balkoni antara ruang yang menjadi pilihan untuk penghuni rumah menyidai baju kan? Iyalah, bukannya macam rumah landed yang ada kawasan khas, balkoni sahajalah tempat paling sesuai untuk mengeringkan pakaian yang sudah dicuci.
Tapi menurut seorang perunding hartanah, perbuatan menyidai baju di balkoni sebenarnya telah melanggar Akta Pengurusan Strata 2013. Dalam satu tweet, beliau menjelaskan bahawa tindakan tersebut boleh mencacatkan pemandangan malah boleh merendahkan nilai pasaran kediaman!
Tambah beliau, akta tersebut juga melarang pemilik untuk mengubah suai rumah sesuka hati. Malah ada juga yang berkongsi, penghuni boleh didenda antara RM100 – RM200 bergantung kepada kesalahan yang mereka lakukan.
Pastinya ramai yang tidak setuju dengan akta ini kerana ia dilihat lebih menguntungkan pemaju daripada penghuni kan? Betullah, mana lagi tempat nak dapatkan pengudaraan dan pencahayaan melainkan di balkoni kan?
Tapi ada juga yang setuju dengan melihat bahawa ia dilakukan dengan memikirkan faktor keuntungan sekiranya mahu menjual semula rumah.
Apa-apa pun, dalam buku garis panduan penyidaian kain oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan pun memang ada larangan sidaian di tingkap, balkoni atau koridor yang menghadap kepada pandangan awam. Tetapi kebenaran diberikan jika ia menggunakan ruangan yang terlinding daripada pandangan awam.