Legenda merupakan salah satu genre kisah rakyat yang membabitkan kepercayaan sesetengah manusia dan dipercayai berlaku dalam sejarah. Kisah legenda ni boleh dikatakan ada di setiap negara di seluruh dunia. Contohnya kalau kat sini kita ada legenda tentang nenek kebayan dan Puteri Gunung Ledang. Kadangkala bertujuan untuk memberi nasihat. Terdapat juga legenda-legenda seram dan aneh yang mampu menakutkan seluruh penduduk bandar. Kat sini Atok nak ceritakan lima legenda seram yang masih lagi dipercayai sesetengah manusia di dunia
1. Maria / La Llorona
Kisah rakyat yang berasal dari Mexico ini berkisarkan seorang ibu bernama Maria yang bertindak melemaskan anak-anaknya di sungai selepas mengetahui tentang berita kecurangan suaminya. Walau bagaimanapun, Maria segera menyesali tindakannya itu namun sudah terlambat. Menurut legenda, Maria meninggal dunia di sungai yang sama akibat tidak makan dan minum buat masa yang terlalu lama kerana mencari anak-anaknya. Apabila malam menjelma, penduduk di sekitar kawasan itu mendakwa mereka akan terdengar suara Maria menangis dan terlihat kelibatnya yang memakai gaun berwarna putih di sungai berkenaan. Gelaran La Llorona yang membawa maksud Wanita Menangis kemudiannya diberikan kepada Maria oleh masyarakat setempat.
2. Bloody Mary
Jika cucu mahu melihat hantu Bloody Mary, apa yang perlu cucu lakukan adalah berdiri di dalam bilik air yang gelap sambil bertemankan lilin yang bernyala. Kemudian, cucu harus memandang ke cermin dan menyebut nama Bloody Mary sebanyak tiga kali. Menurut legenda, sekiranya cucu melakukan segala langkah di atas, Bloody Mary akan muncul kadangkala bersama seorang bayi yang sudah meninggal dunia. Dikenali dalam kehidupan sebagai Ratu Mary I, ratu pertama England, raja legenda yang kini dikenali sebagai Bloody Mary dilahirkan pada 18 Februari 1516 di Greenwich, England di Istana Placentia.
Ada juga yang mengatakan, jika cucu pergi ke bilik mandi dan melihat cermin dengan lampu dan bilik itu benar-benar ditutup, dan kemudian memanggil ‘Bloody Mary’ tiga belas kali, seorang wanita akan muncul dan mencakar wajah cucu. Namun, jika cucu memanggil “Hell Mary” tujuh kali di depan cermin di dalam bilik gelap, cucu akan melihat imej syaitan di dalam cermin.
3. Chupacabra
Chupacabra adalah sebuah cryptid legend yang bermaksud haiwan yang kita tidak dapat membuktikan kewujudannya. Haiwan berbulu pelik ini dikatakan meminum darah kambing dan ternakan yang tidak bernasib baik. Chupacabra juga dikatakan telah melakukan kegiatannya itu sejak ’90an, ketika itu lapan biri-biri yang kekeringan darah ditemukan di Puerto Rico. Beberapa bulan kemudian, seluruh haiwan dalam ladang terbunuh. Selepas itu orang di seluruh dunia mula memetik laporan tentang ternakan mereka yang mempunyai dua luka seperti bekas gigitan dan bangkai yang kekeringan darah.
Baca artikel ini: 4 Hospital Paling Berhantu Di Dunia
4. The Goatman of Maryland
Raksasa hibrid separuh manusia dan separuh kambing ini dikatakan wujud di sekitar kawasan Maryland, Amerika Syarikat. Meskipun tiada siapa yang dapat mengesahkan asal usul legenda ini, penduduk tempatan percaya terdapat seorang saintis yang bekerja di Pusat Penyelidikan Pertanian Beltsville. Dia sedang mengusahakan eksperimen dengan menggunakan kambing. Satu hari percubaannya berjaya dan dia telah bermutasi menjadi makhluk setengah kambing.
5. Mothman
Mothman dipercayai merupakan seorang lelaki yang juga separuh kupu-kupu. Tinggal di West Virginia, Amerika Syarikat, orang ramai pertama kali melaporkan penampakkannya pada sekitar tahun 60an. Kadangkala kelihatan seperti seekor burung yang besar berterbangan di langit, ada juga saksi yang mengatakan Mothman adalah seekor makhluk bermata merah yang melompat dari pokok ke pokok.
Sehingga kini kisah legenda makhluk-makhluk yang Atok ceritakan di atas tu masih wujud dan dipercayai oleh masyarakat di negara-negara tersebut. Malah ada penduduk yang mendakwa pernah terserempak dengan makhluk menakutkan itu sedang mencari mangsanya.
Baca artikel ini: Ummu Sibyan, Jin Pengganggu Bayi Baru Lahir