Hari ini tidak ramai yang dapat merasai keenakan makanan tradisi negeri Perak berikutan ia semakin dilupakan. Perak memiliki pelbagai makanan tradisi yang boleh anda nikmati hingga hari ini.
Jika berkunjung ke beberapa daerah sekitar negeri Perak, korang sebenarnya masih akan dapat menikmati pelbagai hidangan tradisi masyarakat setempat. Hari ini Hamka senaraikan antara makanan tradisi Perak yang ada di antara korang mesti tak pernah dengar pun.
1. Nasi Lemuni
Nasi Lemuni ini berwarna hitam dan dimasak menggunakan daun lemuni yang semakin sukar didapati masa kini. Hidangan ini biasanya menjadi menu hidangan wanita selepas bersalin dan semasa dalam pantang kerana ramuannya yang turut menggunakan lada hitam sangat bersesuaian.
Nasi Lemuni ini boleh ditemui di sekitar Kuala Kangsar dan juga Lenggong terutamanya ketika bulan Ramadhan. Ia dimasak menggunakan air serta daun lemuni yang dikisar. Rasanya sedikit pedas dan dimakan bersama serunding kelapa.
Ia enak dimakan bersama ikan masin yang digoreng panas. Ia juga sering dijadikan hidangan bagi wanita yang berpantang selepas bersalin.
2. Gulai Kemahang
Kemahang ini merupakan tumbuhan yang berasal dari keluarga keladi. Ia adalah pokok keladi liar yang boleh memberi rasa gatal jika korang tidak prosesnya dengan betul. Kulit tangkai keladi atau batangnya perlu dibuang terlebih dahulu sebelum dipotong sepanjang tiga inci.
Keladi kemahang ini perlu direbus terlebih dahulu, atau direndam dengan air garam, kemudian ditoskan sebelum memasak bagi mengurangkan rasa gatal. Kemahang berbunga tidak boleh diambil kerana biasanya kemahang ini adalah gatal.
Hidangan gulai kemahang ini pernah menjadi santapan salah seorang Sultan Perak yang telah mencemar duli semasa melawat salah sebuah perkampungan di Lenggong.
3. Ikan Pindang Daun Seniar
Menu ini merupakan isi ikan yang diperap bersama ramuan, rempah ratus dan dibungkus dengan daun seniar. Ia kemudiannya direbus selama 12 jam sehingga kering. Ini bertujuan melembutkan tulang ikan.
Penggunaan daun seniar ini mampu memberikan rasa yang sangat berbeza dan enak dimakan bersama ikan. Proses pembuatannya yang agak rumit serta mengambil masa yang lama membuatkan tidak ramai yang mahu membuatnya.
Hasil pembuatan ikan pindang daun seniar ini ternyata cukup memuaskan hati kerana rasa ikannya yang begitu enak, malah tulang ikannya yang begitu lembut boleh dimakan begitu sahaja.
4. Pais Ikan Keramat
Pais Ikan Keramat (ikan bersaiz halus) ini antara hidangan popular masyarakat melayu Lenggong yang menetap berhampiran kawasan Sungai Perak. Hidangan ini biasanya disediakan oleh para nelayan semasa berada di sungai mahupun laut suatu ketika dahulu.
Namun, kini hidangan pais Ikan Keramat ini telah menjadi lauk harian semasa sarapan pagi mahupun makan tengahari. Ia sering menjadi pilihan kerana pais ikan ini tahan lama.
Selain ikan, menu ini turut menggunakan belimbing buluh sebagai salah satu bahan masakan yang menjadikan ianya bertambah sedap. Masyarakat Lenggong juga turut menjadikan hidangan ini sebagai salah satu hidangan istimewa ketika majlis kenduri kecil-kecilan.
5. Dadar Telur Ikan Loma
Dadar Telur Ikan Loma ini biasanya menjadi bekalan makanan para nelayan dan para petani. Ia menggunakan telur ikan sungai iaitu ikan loma yang sememangnya semakin sukar didapati pada masa kini. Hidangan ini boleh disimpan lama sehingga berminggu-minggu tau!
Oleh sebab itu ia sangat digemari oleh para nelayan dan petani kerana tidak perlu memasaknya setiap hari. Hidangan ini juga hanya boleh ditemui di kawasan Lenggong sahaja kerana hanya masyarakat di sini yang masih menghasilkan hidangan ini.
Bahan-bahan yang digunakan juga begitu ringkas seperti telur ikan, bawang merah, kunyit hidup, cili padi, daun kesum, asam jawa dan juga garam.
6. Kebebe
Kebebe ini memiliki rasa masam, manis, pedas, masin dan juga kelat. Ia juga terasa seperti rojak buah kerana campuran rasa yang berbagai. Kebebe ini juga yang sesuai sebagai pembuka selera merupakan makanan tradisi masyarakat keturunan Patani yang berada di Lenggong, Perak.
Bahan-bahan untuk menghasilkan kebebe ini juga begitu mudah kerana bahan-bahannya boleh didapati dari sekitar kawasan rumah sahaja. Antaranya adalah kulit putik nangka, jantung pisang, nanas, putik jambu batu, cermai, belimbing buluh, buah kelempung, buah cedung, memban kelapa (isi kelapa yang masih lembut), cili padi, gula, garam dan belacan sebagai penambah perisa.
Ia akan ditumbuk sehingga separuh lumat sahaja menggunakan lesung kayu. Kebebe ini juga turut dikenali dengan nama ‘bicuk’ sering menjadi kudapan semasa majlis gotong-royong kenduri kendara.
Bagi menghilangkan bau kelapa goreng dan kesan minyak, pelbagai putik buah hutan akan dimasukkan ke dalam lesung kayu yang melekat dengan sisa kerisik tersebut. Sambil menumbuk, bersembang dan membebel, terhasil lah kebebe. Setelah selesai, ia akan dimakan beramai-ramai.
7. Laksa Kuala
Laksa Kuala kelihatan seperti laksa Kedah atau laksa Penang, namun ia memiliki perbezaan serta keistimewaannya yang tersendiri. Mee laksanya diperbuat daripada tepung gandum sepenuhnya dan tidak dicampurkan dengan tepung beras.
Oleh sebab itu, warnanya sedikit kekuningan berbanding laksa lain. Kuah laksanya pula sedikit cair berbanding kuah laksa lain.
Biarpun kuahnya berbeza, namun kemanisan isi ikan dalam kuahnya tetap dirasai. Hidangan laksa Kuala ini dimakan bersama hirisan bawang merah, timun, salad, cili merah dan cili padi bagi yang gemarkan pedas.
8. Ikan Masak Belotak
Ikan Masak Belotak antara masakan popular di kalangan para pesawah. Ia menggunakan sumber ikan darat yang diperoleh di sawah padi seperti ikan keli, haruan dan puyu. Hidangan ini terhasil dari cetusan idea masyarakat terdahulu bagi mengelakkan ikan yang telah separa rosak atau medak dibuang begitu sahaja.
Ikan-ikan ini akan dibasuh menggunakan daun bebuas atau daun kunyi bagi menghilangkan bau hanyir. Setelah itu, ia direbus dan diambil isinya sahaja. Bahan-bahan campuran lain seperti serai, bawang merah dan cili padi ditumbuk halus, santan kelapa, asam gelugur, hirisan daun kunyit dan garam dicampur bersama.
Kemudian ia dimasak dengan api sederhana sehingga ia masak sepenuhnya. Maka, terhasillah ikan masak belotak ini.
9. Penjan Ubi Kayu
Penjan ubi kedengarannya agak pelik namun buat pengetahuan pembaca Hamka, hidangan ini antara makanan tradisi Perak yang semakin dilupakan. Dahulunya, hidangan ini sering dimakan pada waktu petang. Sangat sedap dimakan bersama secawan kopi pekat.
Penjan Ubi Kayu ini sangat mudah disediakan. Menggunakan ubi kayu, gula merah, tepung jagung, daun pandan dan air pastinya cukup menaikkan rasa hidangan ini. Ubi kayu direbus terlebih dahulu sebelum dicampur bersama bahan-bahan lain.
10. Kuih Kandas
Kuih Kandas ini bentuknya kelihatan seperti cakoi. Ia antara kuih warisan yang terkenal di negeri Perak, namun kuih ini semakin jarang ditemui. Kuih Kandas ini sering menjadi hidangan sarapan pagi berbanding kuih cakoi yang dimakan pada waktu pagi dan petang.
Penyediaan kuih ini juga agak berbeza di mana cakoi dicampurkan dengan telur atau marjerin, tetapi tidak kuih kandas. Biasanya cakoi dimakan bersama sekaya, namun kuih kandas ini dimakan bersama kuah kacang. Kuih kandas ini boleh didapati sekitar kawasan Karai, Padang Rengas, Kuala Kangsar serta daerah berhampiran.
11. Kelamai
Kelamai merupakan makanan tradisi masyarakat Rawa dan merupakan warisan turun temurun. Kuih ini boleh didapati di daerah Batang Padang Gopeng Perak yang kebanyakan masyarakat tempatannya merupakan masyarakat Rawa.
Kelamai ini kelihatan seperti dodol di mana ia menggunakan bahan-bahan seperti tepung pulut, gula merah, santan, kerisik, tahi minyak serta gula putih. Kaedah pembuatannya pula seakan-akan lemang kerana ia juga dimasak dalam buluh dan kemudiannya dibakar.
Proses penyediaannya mengambil masa sehingga 3 hari kerana bahan-bahan tersebut perlu dibiarkan serap terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam buluh untuk dibakar. Pemilihan buluh yang bersesuaian juga sangat penting bagi menghasilkan kelamai yang betul-betul sedap.
Kulit buluh akan dibuang terlebih dahulu bagi membezakan buluh kelamai dan juga buluh lemang.
Bagaimana korang, ternyata negeri Perak mempunyai pelbagai makanan tradisi yang semakin jarang ditemui. Namun, makanan-makanan ini masih diteruskan oleh generasi lama pada hari ini supaya ia tidak luput ditelan zaman.
Sekurang-kurangnya generasi sekarang dapat menikmati keenakan serta keunikan makanan tradisi tersebut.
Artikel berkaitan
Nampak Unik Namun 10 Makanan Tradisi Sabah Ini Wajib Anda Cuba!
4 Jenis Makanan Terengganu Paling Feberet!