Kisah Legenda Dang Isah Tandang Sari

Kalau cucu nak tahu, Atok dulu pernah laa tinggal kat Sarawak selama tiga bulan. Itu pun sebab ikut anak Atok yang bongsu tu berpindah sebab kena mengajar kat sana. Saja temankan dia. Lagi pun Atok masa tu baru jer kematian isteri akibat sakit tua.

Maka, sepanjang tiga bulan kat Sarawak tu, Atok sempat laa mendalami budaya dan adat resam masyarakat kat sana. Kat Sarawak Atok tinggal kat bahagian Kapit. Memang sangat jauh dengan pusat bandar lagi-lagi nak ke Kuching. Kena naik bot yang perjalanannya memakan masa berjam-jam. Rasa menyesal pulak ikut anak ke sana waktu tu. Hahaha!

Kat Sarawak pun tak kurang hebatnya dengan cerita-cerita legenda dan juga kepercayaan yang aneh-aneh. Antaranya seperti kisah legenda Puteri Santubong dan juga Puteri Sejinjang yang merupakan penjaga gunung di Sarawak.

Tapi dalam banyak-banyak cerita, Atok ingat lagi satu kisah yang diceritakan oleh penduduk kat sana waktu kami berbual-bual tentang budaya dan masyarakat di Semenanjung.

Kisahnya ialah tentang Dang Isah Tandang Sari yang telah menjadi mangsa kecantikannya sendiri. Kisah legenda Sarawak ni memang ramai yang tak tahu.

Baca juga artikel ini: Hias Tengkorak? Festival Menyeramkan Dekat Bolivia

Dang Isah Tandang Sari mungkin tak sepopular cerita rakyat Sarawak seperti ‘Puteri Santubong, Puteri Sejinjang’. Kisah Dang Isah Tandang Sari seakan-akan dipandang sepi biarpun sebenarnya ia sehebat cerita legenda Mahsuri yang dibanggakan masyarakat Langkawi.

Kalau cucu nak tahu, kisah ini secara tidak langsung turut mengetengahkan kegemilangan kerajaan Saribas dan daerah Tandang Sari yang pernah wujud di Sarawak lebih 300 tahun lalu.

Baca juga artikel ini: Suku Asli Indonesia dengan Sihir Paling Kuat

Menyorot kisah yang berlaku di zaman pemerintahan kerajaan Saribas sewaktu diteraju oleh Datu Temenggong Kadir yang tinggal di Tandang Sari, pemimpin berjiwa rakyat ini mempunyai seorang isteri bernama Dayang Hajar. Sayangnya, mereka tidak dikurniakan cahaya mata biarpun telah tujuh tahun bergelar suami isteri. Sewaktu bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong di muara Batang Saribas, Datu Temenggong yang keletihan telah tidur beralaskan sebatang buluh.

Apabila terjaga, buluh tersebut dikatakan bertukar menjadi telur dan akhirnya menetaskan seorang bayi perempuan, yang kemudian dinamakan Dang lsah. Dang Isah membesar sebagai gadis yang sangat cantik dan disayangi ramai, namun hatinya telah dicuri oleh Awang Bunut.

Terdapat bahagian rambut Dang Isah yang ditumbuhi tujuh warna rambut dan apabila dewasa, Datu Temenggong telah bermimpi agar meletakkan hantaran 10 kati emas untuk mengahwinkan anaknya iaitu Dang lsah. Perkara tersebut amat mendukacitakan Awang Bunut dan demi mengahwini Dang Isah, dia telah merantau untuk mencari emas sebanyak itu.

Sepeninggalan Awang Bunut, seorang nakhoda Bugis bernama Nakhoda Khar telah datang untuk mengahwini Dang lsah. Dengan hantaran 10 kati emas, mereka pun berkahwin.

Sebulan selepas perkahwinannya, Nakhoda Khar meneruskan aktiviti pelayarannya. Dia telah berlayar kembali ke Brunei. Sewaktu Nakhoda Khar berlayar, Awang Bunut kembali ke Tandang Sari dengan membawa 10 kati emas untuk mengahwini Dang lsah.

Namun, segalanya telah terlambat. Pertemuan terakhir Awang Bunut dan Dang Isah itu telah disalahertikan oleh Nakhoda Khar yang berpatah balik kerana kerisnya tertinggal. Nakhoda Khar membunuh Awang Bunut kerana cemburunya.

Dang Isah cuba membunuh diri dengan keris Nakhoda Khar yang menikam Awang Bunut tetapi keris tersebut tidak dapat menembusi perut Dang lsah.

Melihat kejadian itu, Datu Temenggong kemudian membunuh Nakhoda Khar dan kisah tragis ini berakhir dengan kematian Dang Isah yang dibelit dengan rambut tujuh warnanya sendiri, oleh ayahnya, Datu Temenggong.

Kisah legenda Dang Isah Tandang Sari juga adalah benar-benar wujud, dan ini dibuktikan dengan terdapat makamnya di Sarikei, cuma ramai orang Sarawak tidak mengetahuinya.

Memang sedih betul bila mengenangkan semula kisah Dang Isah Tandang Sari ni. Moga kisah yang Atok ceritakan ini boleh diambil ikhtibar semua supaya jangan bertindak melulu dan mengikut perasaan, kelak badan yang akan binasa.

Raja Lepak

Read Previous

Saloma Link tempat baru ‘OOTD’ terbaik di Kuala Lumpur

Read Next

Jangan pergi cuti sebarangan! 10 negara selamat melancong 2020

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *