Kat Malaysia Jer! 10 Tempat Honeymoon Terbaik Untuk Pasangan Pengantin Baru (Part 1)

Lepas kahwin nanti korang ada plan tak nak honeymoon kat mana? Biasanya pasangan pengantin mengimpikan lokasi untuk honeymoon kat tempat yang romantik, yang indah dan istimewa untuk mereka kenang sampai bila-bila. Tapi kena tengok budget juga yer. Kalau yang mampu tu, dapat laa jugak merasa honeymoon kat luar negara. Tapi untuk yang kurang mampu tu, honeymoon kat dalam Malaysia pun dah kira beruntung. Honeymoon ni bukan wajib pun, sekadar dah jadi trend semua pengantin baru teringin nak berbulan madu. So kali ni Abang Bob  nak senaraikan 10 lokasi bulan madu paling popular yang ada kat Malaysia untuk rujukan pengantin baru nanti. Sila baca yer!

  • Pulau Langkawi, Kedah

Jika inginkan detik-detik romantis dan istimewa bersama yang tercinta, anda boleh menaiki Stardust Cruise yang menjanjikan pengalaman yang unik dilengkapi beberapa pakej menarik seperti makan malam romantik di atas kapal layar sambil menerokai panorama keindahan tropikal Pulau Langkawi dan pemandangan indah sewaktu matahari tenggelam. Tempat honeymoon di Malaysia ini pasti cantik dan mempunyai memori yang boleh anda pahatkan bersama yang tersayang. Jika anda dan pasangan bertuah, anda mungkin juga boleh menyaksikan ikan lumba-lumba. Terdapat resort yang romantik seperti The Andaman Resort yang boleh anda pilih sebagai penginapan bulan madu. Keindahan pantainya yang jernih dan pasir seputih mutiara menjadikan ia salah satu resort tumpuan ramai. Di sini, anda juga dapat memanjakan diri dengan spa yang tersedia, urutan badan dan mandian bunga.

  • Pulau Pangkor, Perak

Tersenarai antara pulau tercantik di Malaysia, Pulau Pangkor merupakan destinasi percutian yang sangat sesuai untuk pasangan pengantin berbulan madu. Apa yang membuat pulau ini unik adalah kerana kecantikan batu karangnya dan ikan-ikan yang berwarna-warni. Kepada pasangan dua sejoli yang gemarkan sukan air, terdapat pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan bersama seperti menaiki banana boat, jetski, parasailing dan banyak lagi. Korang juga berpeluang untuk memberi makan kepada burung Hornbill di sekitar pulau. Nak lagi best dan feeling-feeling romantic, korang boleh juga bersiar-siar kat sekitar pulau bersama pasangan dengan menaiki motosikal mengelilingi Pulau Pangkor.

  • Cameron Highlands, Pahang

Cuaca yang sejuk dengan ekosistem yang menghijau kat Cameron Highlands membuatkan ia menjadi salah satu tempat sempurna untuk berbulan madu. Kat sini pasti akan membuatkan ‘buah-buah’ cinta korang makin segar macam buah strawberi yang tumbuh ranum kat Cameron Highlands. Kat sana nanti korang boleh melawat ladang teh dan merasai sendiri pengalaman memetik buah strawberi selain boleh berfoto mesra sebagai kenangan yang boleh dipahatkan bersama pasangan.

  • Pulau Mabul, Sabah

Pulau ini diiktiraf sebagai salah satu destinasi terbaik untuk menyelam di dunia sebab kejernihan airnya. Pulau Mabul ini sangat sesuai dijadikan destinasi bulan madu buat pasangan yang menggemari aktiviti snorkelling dan menyelam. Terdapat resort yang dinamakan Mabul Water Bungalows yang terapung di atas air sebagai daya tarikan pelancongan kat sini. Selain ia unik sebagai tempat honeymoon di Malaysia, korang juga boleh melihat panorama ketika matahari terbenam selain resort kat situ turut menyediakan rawatan spa untuk merehatkan diri.

  • Kinabatangan, Sabah

Untuk menikmati keindahan alam yang sedikit berbeza bersama pasangan, korang mungkin boleh melawat ke River Safari kat Kinabatangan yang merupakan tempat honeymoon di Malaysia yang menarik. Bagi pencinta alam, aktiviti ini sangat sesuai dilakukan bersama. Menyusuri tasik Kinabatangan ini dengan menaiki bot pasti memberikan satu pengalaman yang menakjubkan kerana korang dapat melihat hidupan liar dengan lebih dekat. Haiwan unik yang boleh dijumpai di sepanjang sungai ini termasuklah Orang Utan, Red Leaf Monkey dan Badak Sumbu Sumatra.

  • Casabrina Vacation Villas, Raub, Pahang

Jika korang tercari-cari tempat honeymoon yang suasananya agak mewah tetapi mempunyai keindahan alam semulajadi, Casabrina Vacation Villas adalah tempat honeymoon di Malaysia yang tepat.  Lokasinya kira-kira sejam dari kesibukan kota. Korang akan dapat menemukan sebuah resort yang tersergam indah dan mewah di tengah-tengah kehijauan hutan Pahang. Resort ini sangat sesuai untuk pasangan yang inginkan lebih privasi sambil menikmati percutian bulan madu.

  • Bandar Hilir, Melaka

Bandar yang kaya dengan sejarah ini sangat sesuai sebagai destinasi bulan madu buat pasangan yang gemar mendalami budaya dan tradisi masyarakat tempatan. Tarikan utama di sini adalah anda boleh bersiar-siar di sekitar Bandar dengan menaiki beca yang berwarna-warni dan dihias cantik. Banyak hasil kraftangan penduduk tempatan yang anda boleh bawa pulang sebagai cenderamata atau kenangan. Kat sini juga banyak terdapat hotel-hotel dengan pelbagai konsep yang unik.

  • Kundasang, Sabah

Pengantin baru yang berasal dari Semenanjung harus datang bercuti ke Kundasang. Pelbagai tempat menarik yang wajib dilawati di Kundasang ini. Tempat pertama yang harus dilawati apabila ke Kundasang ini adalah Desa Cattle Dairy Farm yang juga terkenal dengan nama “Little New Zealand”. Ia sesuai untuk bergambar dengan pasangan tercinta seakan-akan korang berada di New Zealand.  Selepas mini New Zealand ini, korang juga boleh melawat Kinabalu Park yang juga merupakan Tapak Warisan Dunia Pertama di Malaysia. Tempat menarik lain di Kundasang adalah seperti Kundasang War Memorial, Mini Strawberry Farm, Vegetable Market Farm, Poring Hotspring, Taman Arnab dan banyak lagi. Paling best kat sana korang boleh tengok pemandangan Gunung Kinabalu dengan jelas!

  • Frasers Hill, Pahang

Bukit Fraser adalah tempat yang sangat menarik untuk dilawati terutamanya untuk pengantin baru. Ia dikategorikan sebagai tempat honeymoon di Malaysia juga. Suhunya yang sejuk sekitar 17 hingga 24°C menjadikan ia menarik sebagai salah satu tempat percutian yang romantis. Banyak aktiviti menarik di sini yang boleh korang lakukan berdua seperti bersampan, makan ikan di Allen’s Water dan melihat burung-burung. Korang juga boleh melakukan aktiviti lain pula seperti menunggang kuda dan memanah kat  The Paddock.

  • Genting Highlands, Pahang

Tahukah anda, Genting Highlands ini juga dikenali sebagai kota keriangan kerana selain  cuacanya yang sejuk dan berkabus, kat sini turut dilengkapi dengan taman tema indoor dan outdoor.  Tarikan lain di sini adalah Genting Premium Outlet iaitu syurga membeli-belah barangan mewah pada harga yang murah. Pengantin perempuan pasti tersenyum bahagia jika dapat ke sini kerana pelbagai jenama terkenal seperti Butik Coach, Michael Korrs, Louis Vuitton, dan Victoria Secret boleh dijumpai di sini.

Raja Lepak

Read Previous

Telinga Masuk Air? Begini Cara Mudah Keluarkannya

Read Next

Misteri Terowong Casablanca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *