Tidak lengkap jika sesebuah majlis perkahwinan tanpa dihadiri oleh tetamu. Namun, lain pula yang terjadi apabila tetamu majlis perkahwinan terperangkap di rumah pengantin setelah India mengenakan perintah penguncian bagi mencegah wabak COVID-19.
Majlis resepsi perkahwinan di Bihar terganggu setelah perintah penguncian dikuatkuasakan dan telah memaksa semua perkhidmatan pengangkutan dihentikan.
Pada awalnya, ayah pengantin, Anwarul Miyan berasa gembira dengan kehadiran lebih 30 orang tetamu yang tiba bagi meraikan majlis perkahwinan tersebut.
Namun, perintah penguncian telah dikenakan oleh Perdana Menteri Narendra Modi pada hari ketika mana tetamu hendak pulang ke rumah.
Menurut laporan Gulf News, pernikahan itu diadakan di desa Mathia di daerah Champaran Timur, Bihar pada 20 Mac untuk merayakan perkahwinan pasangan Salma dan Abid.
Semua jenis perkhidmatan pengangkutan awam dari kereta api ke bas telah dihentikan, seterusnya menyebabkan para tetamu tiada jalan lain selain tinggal di rumah pengantin.
Pasangan pengantin tersebut berharap bahawa perintah penguncian akan berakhir pada 14 April tetapi ia dilanjutkan sehingga 3 Mei.
Miyan turut mengakui dirinya kini menghadapi krisis kekurangan makanan. Sebelum ini, ketua kampung dan jiran telah banyak membantunya namun sekarang mereka tidak lagi dapat memberikannya bantuan seperti biasa.
Tambahnya, dia kini menghadapi situasi kritikal yang hanya dapat menyajikan makanan kepada tetamu sekali sehari sahaja berbanding sebelum ini yang dibantu jiran-jiran dan penduduk kampung.
Pihak berkuasa tempatan di Bihar tegas melaksanakan perintah penguncian kerana jumlah kes COVID-19 yang meningkat dengan cepat di sana.
Bimbang dengan keadaan tersebut, India telah memerintahkan tinjauan dari rumah ke rumah bagi setiap kampung di 38 daerah di seluruh negeri semasa penguncian.
Artikel berkaitan:
Di Sebalik Senyuman Terukir Penderitaan
Meriah! 6 Tradisi Berbeza Masyarakat Dunia Sambut Bulan Ramadhan