Pernah dengar tentang sebuah pulau kat Itali yang dahulunya pernah menjadi tempat buangan kepada ribuan mangsa wabak The Black Death?
Pulau Poveglia. Pulau ni juga dikenali sebagai salah satu kawasan paling haram untuk dilawati. Kedudukan pulau ni terletak di luar pantai utara Itali dekat dengan Venice.
Apa yang menariknya, Pulau Poveglia dianggap sebagai tempat paling berhantu di Itali. Kali ni Atok nak bercerita tentang tujuh fakta menyeramkan tentang Pulau Poveglia.
Menjadi tuan rumah kepada mangsa wabak The Black Death
Kisah ni dah berlaku lama dahulu, iaitu semasa zaman pemerintahan Empayar Rom. Pulau Poveglia berfungsi sebagai rumah buat mangsa-mangsa wabak The Black Death. Pemerintah pada zaman itu memaksa mangsa yang dijangkiti wabak untuk tinggal di Pulau Poveglia dan mati keseorangan. Apabila wabak berbahaya terbabit kembali menyerang, pulau berkenaan sekali lagi digunakan untuk menempatkan mereka yang sakit dijangkiti.
Lama-kelamaan, mayat mangsa wabak The Black Death mula memenuhi Pulau Poveglia sehingga ribuan daripadanya terpaksa dibakar.
Penularan wabak yang membunuh hampir dua per tiga populasi Eropah pada waktu itu telah menyebabkan beberapa warga Itali menjadi paranoid.
Akibatnya, mana-mana individu yang disyaki dijangkiti wabak The Black Death turut dihantar ke Pulau Poveglia. Kebanyakan daripada mangsa yang dihantar itu sebenarnya tidak dijangkiti wabak berkenaan.
Namun, disebabkan ketakutan yang memuncak, mereka diheret ke Pulau Poveglia dan dibuang bersama-sama mayat mangsa wabak yang sudah mereput.
50 peratus tanah di Poveglia adalah abu mayat manusia
Menurut anggaran, 50 peratus daripada jumlah tanah di Poveglia adalah daripada debu manusia yang dihantar ke pulau itu ratusan tahun yang lalu untuk mati.
Tapi yang peliknya, pada hari ini, Pulau Poveglia telah menjadi lokasi ladang anggur berjaya di negara itu. Sebabnya, buah anggur dikatakan mampu hidup dengan subur di kawasan tanah berdebu.
Apa yang pasti, debu-debu itu adalah tulang-tulang mayat yang telah dibakar suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, hanya peladang yang berani sahaja yang akan ke Pulau Poveglia untuk memungut hasil anggur apabila tiba musim menuai.
Sebuah hospital psikiatri pernah dibina di Pulau Poveglia
Pada tahun 1922, sebuah hospital psikiatri telah dibina di atas pulau berkenaan. Disebabkan Poveglia sudah mempunyai reputasi hitam, tidak ada sesiapa yang mahu melawat pesakit-pesakit mental yang dihantar ke sana.
Privasi tinggi yang diterima juga menyebabkan para saintis dan doktor melakukan pelbagai penderaan dan ujian kejam ke atas penghuni hospital. Menurut kisah, terdapat seorang doktor yang suka melakukan ujikaji pada pesakit.
Salah satu eksperimen paling popular yang pernah dilakukannya adalah lobotomi. Ujian yang kejam lagi menyakitkan itu dijalankan dengan menggerudi kepala mangsanya tanpa menggunakan bius.
Walau bagaimanapun, aktiviti kejam doktor berkenaan mula terbantut selepas beliau dikatakan diganggu oleh roh-roh mangsanya yang meninggal dunia. Mengikut masyarakat tempatan, terdapat pelbagai versi pengakhiran bagi doktor itu.
Baca artikel ini: Nak Jumpa Hantu? Pergi Kat 5 Tempat Menyeramkan Ini
Ada yang berpendapat beliau mengambil nyawanya sendiri dengan terjun daripada menara loceng.
Sesetengahnya pula mendakwa, beliau ditolak jatuh oleh roh mangsanya atau salah seorang pesakit yang mengamuk. Hospital psikiatri di Pulau Poveglia dilaporkan menamatkan operasinya pada tahun 1968.
Tulang manusia masih terdampar di Pulau Poveglia
Dianggarkan sekitar 100,000 mangsa wabak The Black Death dan pesakit hospital mental yang telah meninggal dunia ditanam di Pulau Poveglia.
Maka tidak hairanlah bagaimana tulang-tulang manusia kadangkala muncul di pesisiran pantai.
Menurut laporan, nelayan-nelayan tempatan mengelak daripada melalui kawasan perairan berdekatan Poveglia kerana risau tulang manusia tersangkut pada jaring mereka.
Versi lain kisah doktor kejam
Terdapat versi lain yang mengatakan doktor kejam itu sebenarnya tidak ditolak jatuh dari menara loceng.
Tapi doktor itu dikatakan menemui ajalnya selepas beberapa pesakit yang pernah menjadi mangsa ujikajinya menanam beliau hidup-hidup di balik dinding batu menara loceng berkenaan.
Wajah anak kepada pemilik baharu Pulau Poveglia hampir dirobek roh penghuni yang marah
Setelah beberapa tahun hospital mental di Pulau Poveglia menamatkan operasinya, sebuah keluarga dilaporkan telah membeli pulau berkenaan untuk membina sebuah rumah percutian kat situ.
Walau bagaimanapun, hajat keluarga berkenaan terbantut apabila wajah anak kepada pasangan berkenaan hampir dirobek oleh satu entiti yang tidak dapat dijelaskan.
Menurut laporan, keluarga berkenaan segera berpindah keluar daripada pulau itu pada malam pertama dan tidak lagi kembali selepas itu.
Suara ghaib mengarahkan pelawat untuk tinggalkan pulau
Meskipun telah diwartakan sebagai kawasan larangan, Pulau Poveglia masih dikunjungi mereka yang sukakan cabaran. Menurut kisah pelancong-pelancong yang pernah menjejakkan kaki ke pulau berhantu itu melaporkan terdapat perasaan yang berat menyelubungi diri sebelum satu suara yang garau menghalau mereka keluar dari situ.
Kalau diberi peluang secara percuma, cucu berani tak nak menjejakkan kaki ke Pulau Poveglia? Mungkin cucu akan dapat pengalaman ‘berharga’ kalau ke sana. Hehehe.
Baca artikel ini: Janda Kaya Bunuh 650 Orang Wanita Untuk Cantik