Citrawarna 2026 Kembali Di Dataran Merdeka Dengan Kepelbagaian Budaya Malaysia

Citrawarna 2026 sekali lagi membuktikan bahawa kepelbagaian budaya Malaysia masih menjadi antara tarikan paling unik untuk diraikan. Bersempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Dataran Merdeka bertukar menjadi pentas utama yang menghimpunkan ribuan peserta, persembahan kebudayaan dan pelbagai aktiviti menarik sepanjang penganjurannya.


Malam kemuncak Citrawarna 2026 menyaksikan acara Citra Perarakan (Colours of Parade) yang menampilkan seramai 3,500 penari mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, selain penyertaan masyarakat pelbagai kaum yang mencerminkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, sekali gus memperlihatkan kepentingan Citrawarna sebagai antara acara utama dalam kalendar pelancongan negara sempena VM2026.


Sepanjang perarakan berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai persembahan termasuk busana tradisional, tarian, muzik dan demonstrasi kebudayaan daripada setiap negeri. Setiap kontinjen membawa identiti tersendiri melalui elemen warisan, cerita rakyat dan tradisi yang diwarisi sejak sekian lama.

Bukan sekadar acara perarakan, Citrawarna 2026 turut menawarkan pengalaman lebih menyeluruh menerusi empat komponen utama iaitu Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Arts).


Pengunjung juga boleh menikmati lebih daripada 70 gerai makanan dan minuman, 20 reruai aktiviti kebudayaan, serta 10 reruai seni dan kraf tangan. Selain itu, terdapat demonstrasi warisan, permainan tradisional dan pelbagai aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai mengenali budaya tempatan dengan lebih dekat.

Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Wani Kayrie, Bulan Asyraff, Dr Soo Wincci, Santesh Kumar, Ernie Zakri, Aina Abdul serta Kumpulan Balle-Balle, yang menggabungkan elemen moden dan tradisional dalam persembahan mereka.


Dalam pada masa yang sama, Tourism Malaysia turut membawa peserta Mega Fam Tourism Malaysia yang terdiri daripada media antarabangsa, wakil industri pelancongan serta pencipta kandungan bagi merasai sendiri pengalaman kebudayaan Malaysia. Inisiatif ini dilihat sebagai antara usaha memperkukuhkan promosi Kempen Melawat Malaysia 2026 di peringkat global.

Citrawarna 2026 yang telah berlangsung dari 24 Julai sehingga 26 Julai 2026 di Dataran Merdeka mempersembahkan pelbagai pengisian merangkumi persembahan kebudayaan, pengalaman kulinari, demonstrasi seni dan kraf tangan serta aktiviti warisan yang boleh disertai oleh pengunjung dari dalam dan luar negara.

Raja Lepak

Read Previous

Dari Belanja Harian Ke Stadium Piala Dunia, Eco-Shop Tunaikan Impian Pemenang Kempen Kita Punya Impian

Read Next

Selepas 9 Tahun, Formula 1 Akhirnya Kembali Ke Litar Sepang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *