Selepas hampir sedekad, peminat sukan permotoran di Malaysia akhirnya menerima berita yang dinanti-nantikan. Formula 1 secara rasmi mengumumkan bahawa Sepang International Circuit akan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.

Menariknya, perlumbaan ini bukanlah pengganti baharu dalam kalendar Formula 1, sebaliknya merupakan Bahrain Grand Prix yang dipindahkan ke Malaysia selepas perlumbaan asal di Bahrain dibatalkan susulan konflik serantau yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Perjanjian ini dicapai antara Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia bagi memastikan satu pusingan Formula 1 tidak perlu dibatalkan sepenuhnya. Walaupun lokasi berubah, perlumbaan tersebut masih akan menggunakan nama Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix, dengan keseluruhan kalendar Formula 1 musim 2026 kekal dan tidak berubah.

Bagi peminat tempatan, pengumuman ini pastinya membawa keterujaan tersendiri. Kali terakhir Malaysia menjadi hos Formula 1 adalah pada 2017, sebelum perlumbaan dihentikan selepas hampir dua dekad menjadi sebahagian daripada kalendar F1 sejak kemunculan sulung Litar Sepang pada tahun 1999.
Sepanjang menjadi venue Formula 1, Litar Sepang dikenali sebagai antara litar yang paling mencabar di dunia dengan kombinasi selekoh berkelajuan tinggi, laluan lurus yang panjang serta cuaca tropika yang sering menjadi faktor utama dalam menentukan strategi pasukan. Tidak hairanlah ramai pelumba menganggap Sepang sebagai salah satu litar paling ikonik dalam kalendar Formula 1.