Bayangkan anda dipenjarakan kerana didakwa membunuh anak sendiri, sedangkan anda tidak melakukan perkara tersebut dan anda dapat mengetahui bahawa anak anda sebenarnya masih hidup disebabkan oleh sekeping gambar. Itulah permulaan yang membuatkan siri I Will Find You di Netflix terus mencuri perhatian sejak episod pertama.

Siri ini dibintangi oleh Sam Worthington sebagai David Burroughs, seorang bapa yang sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan atas tuduhan membunuh anak lelakinya (Matthew Burroughs) menggunakan kayu besbol ketika anaknya sedang tidur. Walaupun semua bukti seolah-olah menunjukkan dia bersalah, David tidak pernah berhenti mempercayai bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kes tersebut.
Namun, segalanya berubah apabila adik iparnya, Rachel Mills yang dilakonkan oleh Britt Lower, datang melawatnya di penjara dengan membawa sekeping gambar. Dalam gambar itu kelihatan seorang kanak-kanak yang mempunyai tanda lahir yang sama di pipi kanan seperti anak David. Gambar tersebut diambil semasa festival di Six Flags, Springfield dan dimuat turun oleh kawan kolej Rachel Mills.

Penemuan itu menjadi titik perubahan yang mengejutkan. Jika kanak-kanak dalam gambar itu benar-benar anaknya, bermaksud anak yang selama ini dipercayai telah meninggal dunia sebenarnya masih hidup. Persoalan besar mula timbul adalah apakah yang terjadi kepada anaknya? Adakah David telah dipenjarakan atas tuduhan yang salah, atau adakah semua ini telah dirancang untuk menghumban David Burroughs ke dalam penjara?
Setiap watak-watak dalam siri ini mempunyai rahsia, motif dan sisi yang sukar dijangka, membuatkan penonton sentiasa tertanya-tanya siapa yang boleh dipercayai. Ada kalanya sesuatu watak kelihatan seperti mangsa, namun beberapa episod kemudian persepsi itu berubah sama sekali. Unsur ini berjaya mengelirukan penonton dengan pelbagai petunjuk dan plot twist yang membuatkan setiap episod terasa mendebarkan, sambil mendorong penonton untuk terus mencari jawapan sebenar di sebalik misteri kehilangan anak David Burroughs.

Bermula dari penemuan gambar tersebut, I Will Find You membawa penonton menyelami sebuah thriller misteri yang dipenuhi konspirasi, rahsia dan plot twist yang sukar dijangka. Setiap episod bukan sahaja mengupas sedikit demi sedikit kebenaran, malah turut menimbulkan lebih banyak persoalan, sehingga membuatkan penonton tidak sabar untuk mengetahui nasib sebenar anak David dan dalang di sebalik semua yang berlaku.