Bila bercerita tentang filem seram Malaysia, ada beberapa tajuk yang akan diingati sehingga sekarang. Antaranya Pontianak Harum Sundal Malam dan Jangan Pandang Belakang.
Tapi pernah dengar tak filem seram terbitan Aziz M. Osman yang diadaptasi daripada kisah benar yang mana ia diceritakan semula kepada pengarah lejen ini?
Mungkin ada yang tak tahu, pada tahun 2015, Aziz M. Osman ada terbitkan malah bertindak sebagai penulis cerita dan skrip filem bertajuk ‘Jengka’ yang mana selepas 8 tahun, ia menjadi topik viral di media sosial beberapa hari ini.
Mengisahkan tentang pasangan suami isteri, Basir dan Nini yang bakal menimang cahaya mata. Namun keadaan yang tidak mengizinkan menyebabkan Nini ingin pulang dan bersalin di kampung halamannya di Jengka, Pahang.
Akan tetapi, mak bidan yang dijemput datang ke majlis berkenaan menasihatkan Nini supaya tidak tertekan kerana ia akan menyebabkan Nini bakal diganggu ‘semangat yang tidak baik’.
Malangnya, pada hari berlangsungnya majlis kenduri, Nini mendapat tahu bahawa suaminya curang. Kecewa dengan keadaan itu, Nini lari dari rumah dan masuk ke kawasan ladang kelapa sawit yang didakwa orang kampung sebagai berpenunggu.
Hilang secara tiba-tiba dalam kawasan ladang tersebut, orang kampung dan Basir hanya mampu mendengar jeritan Nini dan tangisan bayinya.
Dilakonkan oleh Riezman Khuzaimi, Ramona Zamzam, Raja Azrey, Sahiddin Sabari, Afida Es, Eyka Farhana dan Jobot Maheran, filem ini mendapat pujian kerana konsep penemuan rakaman dan inspirasinya kelihatan sama seperti Paranormal Activity.
Korang pernah tengok tak filem ni? Amacam, memang seram ke weh?