Raya Dahulu vs Raya Sekarang

Raya dulu dan raya sekarang memang jauh berbeza daripada segi suasana, adab, makanan dan pakaian. Korang yang lahir sekitar tahun 80an, 90an dan awal 2000 mesti terasa perbezaan antara raya dulu dengan sekarang kan? Abang Bob sendiri memang rasa kelainan besar terutama daripada segi kemeriahan. Kat sini Abang Bob nak bandingkan perbezaan antara raya dahulu dengan sekarang.

1.   Ucapan Raya: Kad Raya vs WhatsApp

Pastinya korang yang dah berumur dah beranak-pinak sekarang mesti pernah lalui zaman kiriman kad raya. Menjelang nak raya masing-masing tidak sabar menanti abang posmen datang bertandang menghantar utusan Hari Raya. Yang ramai kawan tu, berpuluh-puluh kad ucapan raya akan dapat, lepastu gantung kat dinding rumah. Lama kelamaan, teknologi semakin canggih dan ia digantikan dengan SMS dan MMS. Kini, ucapan Hari Raya dikirimkan menerusi ketukan papan kekunci telefon pintar di aplikasi WhatsApp jer.

2.   Baju Raya: Baju Raya Biasa vs Baju Raya Hipster

Orang dulu-dulu kalau raya, baju mesti mak yang akan jahit. Kalau tak pun hantar kat rumah mak cik Semah, mak cik Leha, mak cik Hasnah yang ada buat perkhidmatan menjahit kat rumah. Dulu-dulu setiap kampung mesti ada yang berkebolehan untuk membuat pakaian. Kini, ia digantikan dengan busana hispter. Ada Baju Melayu yang ketat sendat, ada yang tidak berlengan. Kadang-kadang pakaian hipster ini agak keterlaluan sehingga menghilangkan identiti busana tradisional.

3.   Duit Raya: Duit Syiling vs Minimum RM5

Budak-budak dedulu tak kisahlah berapa jumlah duit raya yang diberikan oleh tuan rumah, pastinya kanak-kanak yang datang beraya sudah gembira. Ada yang memberikan duit syiling 50 sen dan RM1. Itu pun rasa dah cukup mewah. Katakan satu rumah dapat RM1. Kalau 10 buah rumah? 20 buah? Budak-budak dulu rajin jalan beraya kat rumah orang-orang kampung, sampai kampung sebelah pun serbu. Kenal tak kenal belakang cerita, janji dapat duit raya. Happy sungguh rasanya. Kini, ia berbeza. Terkejut juga kadang-kadang bila ada kanak-kanak yang merungut bila dihulurkan wang kertas RM1. Paling minimum, RM5. Malah, ada juga yang tak peduli dengan duit raya. Datang menziarah, password Wi-Fi yang dimintanya!

Baca artikel ini: Penjara Ini Dicat Warna ‘Pink’ Untuk Jadikan Banduan Lebih Tenang

4.   Ganjaran Puasa Penuh: RM30 vs Gajet

Mak ayah dulu pula akan memberikan ganjaran kepada anak-anak mereka jika berpuasa penuh. Selalu yang dijanjikan, kalau sehari berpuasa penuh boleh mendapat upah RM1 dan pada Hari Raya nanti, anak-anak menuntut RM30 sebagai ganjaran berpuasa penuh selama sebulan. Kini, ada anak-anak yang mahukan gajet terbaru sebagai upah jika berpuasa penuh! Wah, bukan main lagi ya!

 5.   Buat Kuih Raya Atau Beli Saja

Dulu-dulu, bila nampak ibu beli Planta, tepung, ceri merah dan hijau, dan beberapa bahan lagi, kita dah teruja sebab itu tandanya ibu kita nak buat kuih raya.  Bau kuih raya yang dibakar yang semerbak seisi rumah, dan kita tertunggu-tunggu kalau ibu berikan kita kuih yang agak rentung untuk kita makan.  Kuih yang dah dibuat akan disusun dalam balang cantik untuk di hidangkan kepada tetamu di pagi raya. Pernah kan ada pengalaman macam ni?

Tapi sekarang dah lain, bila masuk awal Ramadhan, semua pakat tunjuk katalog dan bagi sample kuih raya, kemudian masing-masing pakat-pakat order sahaja. 

6.   Anyam Ketupat Atau Ketupat Segera

Lagi seminggu nak raya, ayah dah intai-intai pucuk kelapa mana yang boleh diambil untuk dianyam jadikan kelongsong ketupat, daun palas mana yang boleh diambil untuk dijadikan sarung ketupat palas dan buluh untuk di buat lemang. Ibu pun dah bagi checklist lengkap kepada ayah. Berapa kilo santan yang diperlukan, beras pulut, beras ketupat dan macam-macam lagi. Sebaik sahaja pengumuman tarikh raya disiarkan, barulah kita tak tidur malam nak memasak ketupat dan lemang. Penat tapi menyeronokkan. Sekarang, beli saja ketupat segera yang ada di pasar raya. Lemang segera pun ada.  Atau, tempah saja dari orang lain. Yang kita tahu, malam raya semuanya dah ada. Keletihan dan keseronokan menyediakan ketupat dan lemang dah tak ada, tapi lebih ringkas dan tak penat.

Hurm, itulah antara perbezaan antara raya dahulu dengan sekarang. Walaupun budak-budak dulu tak semoden dengan budak-budak sekarang, tapi diaorang tetap membesar dengan pelbagai kenangan manis dan menyeronokan. Selamat Hari Raya Aidilfitri semua!

Baca artikel ini: 7 Hotel Rare Yang Wujud Kat Dunia

Raja Lepak

Read Previous

7 Hotel Rare Yang Wujud Kat Dunia

Read Next

Separuh Singa Dan Separuh Naga, Remaja Ini Terkejut Tangkap Ikan Makhluk Asing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *