Sedap Tak Terkata! 10 Makanan Tradisi Bugis Wajib Anda Cuba

Masyarakat Bugis ini sebenarnya berasal dari kepulauan Sulawesi di Indonesia namun disebabkan berlakunya penaklukan Belanda pada kurun ke-17 menyebabkan ramai yang berhijrah ke kawasan lain seperti Kalimantan, Sumatera, Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Suku kaum Bugis cukup dikenali sebagai pahlawan yang berani serta digeruni. Bukan sahaja terkenal dengan darah kepahlawanan, malah turut mahir dalam bidang masakan. Maka, tidak hairanlah pelbagai resepi telah diwarisi turun temurun oleh suku kaum Bugis.

Ia bukan sahaja terdiri dari pelbagai masakan, malah masakannya juga memiliki rasa, tekstur, warna serta persembahan hidangan yang begitu menarik. Jadi, hari ini, Hamka nak kongsi dengan pembaca semua antara jenis-jenis makanan tradisional kaum bugis.

1. Burasak

Kredit : Facebook Burasak
Kredit : Warna Warni Hidupku

Buras atau dikenali dengan burasak merupakan hidangan tradisi suku kaum Bugis. Ia merupakan nasi yang dikukus bersama santan dan dibaluti dengan daun pisang nipah.

Bentuk burasak ini adalah leper seperti lepat pisang namun ia agak lebar dan agak besar. Bungkusan burasak akan diikat menggunakan tali agar ia tidak terbuka semasa mengukusnya. Proses penyediaan burasak yang agak lama membolehkan burasak ini boleh disimpan lebih lama.

Makanan ini merupakan hidangan utama masyarakat Bugis menjelang hari raya Aidilfitri dan juga Aidiladha. Biasanya ia disajikan bersama ayam masak merah, ayam masak likku, asam pedas ikan parang dan sebagainya.

2. Sanggar Pappek

Kredit : kampungparis

Sanggar pappek antara hidangan pencuci mulut yang ringkas serta enak dimakan waktu minum petang atau pada bila-bila masa sahaja. Sanggar membawa maksud pisang manakala pappek pula adalah penyek atau lenyek atau ketuk atau juga penempek.

Hidangan ini juga turut dikenali dengan nama pisang janda gaiss kerana pisang tersebut perlu digoreng sebanyak dua kali. Ia enak dimakan bersama sambal tomato yang seakan sambal ayam penyet. Malah, ia juga boleh dimakan bersama sebarang sambal yang pedas dan mengikut citarasa masing-masing.

Bagi menyediakan hidangan ini, biasanya pisang abu muda akan digunakan. Selain pisang abu, pisang lain juga boleh dijadikan sanggar pappek ini asalkan ia masih muda.

3. Sanggar Belanda

Kredit : bravoiman
Kredit : cookpad

Sanggar Belanda pula merupakan pisang goreng ala Belanda. Ia merupakan hidangan suku kaum Bugis-Makassar yang berasal dari wilayah Sulawesi selatan.

Hidangan ini menggunakan marjerin serta keju yang dahulunya hanya digunakan oleh masyarakat Belanda. Maka sebab itu ia dikenali dengan nama sanggar Belanda.

Kebiasaannya sanggar Belanda ini disajikan semasa majlis-majlis keramaian serta yang berkaitan adat khas Bugis. Sanggar Belanda menggunakan pisang raja yang masak dan ranum sahaja. Pisang lain tidak boleh digunakan kerana rasa serta aromanya yang begitu berbeza. Pisang raja mempunyai kandungan gula yang tinggi, oleh sebab itu semasa menggoreng pisang raja, akan terjadilah proses karamelisasi yang akan menghasilkan aroma yang begitu mempesonakan.

Pisang raja akan diisi dengan kacang yang telah disangai serta dicincang, gula serta telur memberikan rasa yang begitu menyelerakan.

4. Kapurung

Kredit : abdulrauf2017
Kredit : resepkoki

Kapurung ini seakan-akan makanan tradisi masyarakat Sarawak serta Brunei iaitu ambuyat yang juga diperbuat daripada tepung sagu.

Cara menyediakan kapurung ini juga agak berbeza di mana ia dicampurkan bersama sayuran serta ikan dan dihidangkan terus dalam mangkuk atau ikan. Hidangan ini biasanya dijadikan sebagai hidangan minum petang atau ketika bersantai.

Biarpun kapurung ini merupakan makanan tradisional, namun ia semakin popular terutamanya di kalangan suku Bugis yang juga semakin memartabatkan makanan tradisi mereka kepada masyarakat luar.

5. Bajek Canggoreng

Kredit : kabarmakassar
Kredit : travelingyuk 

Bajek Canggoreng merupakan salah satu kuih tradisional suku kaum Bugis yang terdiri daripada gula merah serta kacang tanah. Cara penyediaannya juga cukup mudah serta menjimatkan masa.

Kacang tanah yang sudah dibuang kulit akan digoreng terlebih dahulu. Kemudiannya air dicampurkan bersama gula merah serta sedikit garam dan dipanaskan serta dimasak sehingga gula menjadi kental.

Setelah adunan ini pekat, kacang dimasukkan serta digaul perlahan sehingga sebati. Ia diletakkan di dalam bekas loyang dan dibiarkan sehingga mengeras dan boleh dijadikan sebagai hidangan minum petang.

6. Katirisala

Kredit : cookpad

Katirisala juga merupakan kuih tradisonal khas orang Bugis. Ia diperbuat daripada beras pulut hitam yang dikukus yang kemudiannya akan disirami dengan adunan gula merah yang telah dicampurkan dengan santan dan juga telur.

Kuih yang kelihatan seakan kuih tepung talam ini memiliki rasa yang sedikit berbeza terutama topping gula merah yang digunakan. Katirisala ini begitu popular di sekitar Tawau dan sering dijadikan hidangan sampingan semasa majlis perkahwinan dan sebagainya.

7. Barongko

Kredit : Sajian Sedap
Kredit : Merah Putih

Barongko merupakan kuih tradisional suku kaum Bugis yang menggunakan pisang nipah yang sudah masak yang akan dibungkus menggunakan daun pisang.

Biasanya ia disajikan sebagai hidangan penutup yang mewah untuk raja-raja seperti majlis perkahwinan dan sebagainya namun, kini barongko telah dijadikan hidangan pencuci mulut masyarakat Bugis.

Barongko boleh ditemui menjelang bulan Ramadhan dan ia begitu mendapat sambutan ramai. Keenakan kuih ini tiada tandingannya. Pisang yang merupakan bahan utama akan dikisar halus dan dicampurkan dengan gula, telur serta santan. Ia kemudiannya dibungkus dengan daun pisang dan dikukus sehingga masak.

Kuih ini juga boleh ditambahkan dengan hirisan buah nangka serta kelapa muda bagi memberi rasa yang lebih enak lagi.

8. Es pisang ijo

Kredit : Medium
Kredit : Indonesian Original Resepi

Es pisang ijo ini menggunakan pisang raja, pisang raja atau pisang kepok sebagai bahan utama. Ia disaluti dengan adunan tepung yang telah dicampurkan dengan santan serta air pandan sebagai pewarna hijau asli dan aroma yang lebih wangi.

Hidangan pencuci mulut ini disajikan bersama kuah bersantan atau bubur sum-sum, disirami dengan sirap merah, susu serta ketulan ais. Es pisang ijo ini sering menjadi permintaan menjelang bulan Ramadhan. Ia sangat ringkas namun memberi kenikmatan yang tiada tandingannya.

9. Ayam Masak Lengkuas  (Likku)

Kredit :  salamisimon1
Kredit :  salamisimon1

Ayam masak lengkuas atau likku ini sering dimakan bersama burasak. Ia antara makanan orang Bugis yang begitu terkenal.

Hidangan ini akan menjadi hidangan wajib bagi setiap masyarakat Bugis. Setiap kali tibanya hari raya Aidilfitri atau Aidiladha, hidangan ini pasti disediakan.

Ayam masak lengkuas ini mendapat nama kerana ia banyak menggunakan lengkuas di dalam masakan. Lengkuas dalam bahasa Bugis dikenali sebagai likku.

10. Coto Makassar

: Kredit : ResepKoki
Kredit : Selerasa

Coto Makassar terhasil daripada perut lembu yang direbus dalam tempoh yang lama. Rebusan perut serta daging lembu kemudiannya dihiris halus dan dicampurkan dengan bahan-bahan khusus.

Hidangan ini seakan-akan sup soto namun cara penyediaan serta bahan yang digunakan adalah begitu berbeza. Ia biasanya dimakan bersama ketupat atau burasak.

Ada yang teringin nak mencuba, memang sesuai time-time PKP ini untuk kita mencuba masakan baru, kan?

Artikel berkaitan
Masakan ‘Jawaworld’ memang terbaik! 8 masakan tradisi orang Jawa Malaysia
Cucur…Cucur…Cucur…Mana Satu Feberet Korang?

Raja Lepak

Read Previous

Hantu Raya Saka Turun-Temurun

Read Next

Terbaik di Asia! Genting Highlands Tawar Pengalaman Kembara Langkaui Imaginasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *