Masakan ‘Jawaworld’ memang terbaik! 8 masakan tradisi orang Jawa Malaysia

Indonesia sememangnya terkenal dengan hidangan yang kaya dengan rempah ratusnya. Penghijrahan masyarakat Indonesia ke tanahair kita telah membawa pelbagai jenis budaya dan salah satunya adalah budaya masyarakat Jawa.

Terdapat ramai masyarakat Jawa yang sudah menetap serta bermastautin di Malaysia, malah ada yang menjadi warganegara di sini. Maka, tidak hairanlah makanan Jawa begitu terkenal dan mendapat sambutan. Namun, pada hari ini terdapat makanan Jawa yang sudah tidak dikenali lagi.

Biarpun terdapat makanan yang agak popular, namun ada juga yang sudah tidak diteruskan lagi oleh generasi masa kini. Bagi mengelakkan ini terjadi, lebih baik kita melihat senarai nama makanan Jawa yang semakin dilupakan.

Makanan tradisi ni merupakan lambang sesuatu budaya, memandangkan Hamka berketurunan jawa Selangor kali ni saya nak berkongsi jenis-jenis makan tradisional masyarakat jawa di Malaysia.

Dengan adanya artikel ini, anak-anak Jawa mungkin boleh meneruskan semula legasi makanan Jawa di masa hadapan.

1. Nasi Ambeng

Nasi ambeng merupakan hidangan istimewa masyarakat jawa. Ia merupakan nasi putih yang dihidangkan dan diletakkan di atas dulang bersama lauk-pauk yang mengelilingi nasi putih tersebut.

Antara lauk-pauk yang disajikan bersama adalah sambal goreng, bergedil, ikan goreng telur rebus, tempe goreng, bihun goreng, urap, serunding kelapa dan opor ayam. Biasanya nasi ambeng disajikan di majllis-majlis kenduri sebagai tanda kesyukuran.

Nasi bersama pelbagai lauk ini akan dijamu menggunakan dulang atau talam dan sebab itu ia dipanggil nasi ambeng, namun jika dibungkus dan dibawa pulang oleh tetamu ia akan dinamakan ‘berkat’.

Biasanya hidangan ini untuk satu talam akan dimakan beramai-ramai antara empat hingga lima orang dewasa. Bagi menikmati hidangan ini, nasi dimakan menggunakan tangan sahaja tanpa menggunakan sudu mahupun garfu. Ini dilakukan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain

Nasi ambeng ini turut membawa pengertian agar setiap orang atau semua pihak dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Di Malaysia, nasi ambeng ini semakin popular dan diminati ramai terutama dari kalangan yang berketurunan jawa.

2. Pecal

Pecal ini antara makanan favourite Hamka kerana merupakan hidangan beraneka sayuran yang dimakan bersama sambal pecal atau sambal kacang. Bahan yang dimakan bersama sambal ini terdiri dari tauhu, taugeh, kacang panjang, timun, kangkung dan tempe.

Kesemua bahan ini akan dicampurkan bersama sambal kacang dan digaul mesra dan percayalah cakap Dang memang terbaik rasanya..Mantul gitu!! Makanan ini juga memang sinonim dengan selera orang malaysia. Ini betul, selalu sepinggan tak cukup ni.

3. Tempe

Haa.. yang ni tempe.. wajib ada disetiap dapur orang jawa. Tempe ni berasal dari kacang soya yang yang telah melalui proses penapaian. Banyak masakan yang boleh dibuat dengan tempe ni tapi paling Hamka suka tempe goreng, lepastu cicah dengan sampal kicap atau sambal merah, kalau letak KFC kat sebelah tak pandang KFC tu.

Tapi tahukah anda pada zaman penjajahan Jepun di tanah melayu dulu selain ubi kayu, tempe adalah makanan masyarakat kita ketika itu dan ketika itu tempe dihasilkan daripada biji getah. Yang ini Dang tak boleh hadap kerana biji getah ni sesuai untuk dimasak buat asam rom tapi takpe nanti Dang cuba buat kajian mengenai tempe biji getah.

4. Sambal Goreng Jawa

Sambal goreng atau macam family Hamka panggil ‘Jangan lombok’ sememangnya sedap, tambahan pula ia dimakan bersama nasi putih pastinya menggetarkan jiwa. Ia juga boleh dimakan begitu sahaja dan keenakannya tetap terpelihara.

Sambal goreng ni rasanya pedas-pedas manis gitu yang membuatkan korang akan terkenangkan sampai hari ni. Biasanya hidangan ni selalu jumpa time raya atau majlis-majlis tertentu apabila berkunjung kerumah saudara mara atau balik kampung. Jadi, kalau siapa nak rasa karang, singgah rumah Hamka, Hamka bagi korang rasa.

Hidangan ini begitu popular di kalangan masyarakat Jawa malah sering dijadikan lauk hidangan semasa majlis-majlis kenduri masyarakat Jawa.

5. Ungkep

Mungkin ada yang tidak mengetahui tentang masakan ungkep ini namun ini merupakan antara hidangan tradisional masyarakat Jawa yang begitu popular.

Aromanya yang begitu memukau cukup menyelerakan. Rasanya pula korang Dang cakap sukar untuk digambarkan dengan kehadiran rasa lemak, manis, pedas serta wangi serai cukup menarik hati. Ia boleh dimakan begitu sahaja.

Ungkep ini menggunakan ayam samada ayam kampung mahupun ayam biasa. Namun, jika menggunakan ayam kampung,  isinya lebih manis dan teksturnya juga berbeza. Ayam ini dimasak menggunakan rempah ratus yang begitu istimewa dan meresap ke dalam ayam

Kalau korang nak tahu, ungkep membawa maksud tutup di mana, ketika memasak ayam, ianya perlu ditutup ketika mendidih. Hidangan ini juga sering dijadikan salah satu menu wanita yang sedang berpantang. Pelbagai bahan campuran seperti halia, kunyit serta ketumbar memberikan rasa hangat kepada tubuh badan wanita yang berpantang.

Ayam ungkep ini adalah kering dan boleh disimpan beberapa hari tanpa mudah basi kerana dimasak dalam tempoh yang agak lama.

6. Getuk Ubi

A close up of food

Description automatically generated

Getuk ubi antara makanan ringan atau makan minum petang buat masyarakat Jawa. Ia dihasilkan menggunakan ubi kayu yang direbus sehingga lembut. Ubi ini kemudiannya akan ditumbuk atau digiling sehingga halus.

Ubi yang telah siap ditumbuk akan menjadi halus yang akan dihidangkan bersama kelapa parut yang dicampur dengan sedikit gula dan garam. Masyarakat kini telah mengolah makanan ini dengan menggorengnya setelah dicelup tepung.

Hamka lihat kini tradisi ini sudah menjadi makanan kegemaran ramai rakyat Malaysia biarpun bukan dari keturunan Jawa.

7. Punten Nasi Bersama Sambal Bilis

Walaupun Jawa ini terkenal di Johor namun Punten ini begitu terkenal di sekitar daerah Sabak Bernam Selangor. Ia merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa di daerah tersebut.

Punten ini seakan akan nasi impit cuma bezanya punten ini ia mengandungi santan dan juga garam dan ada sesetengahnya mencampurkan daun pandan semasa merebus beras bagi membangkitkan aroma.

Setelah beras siap dimasak, ia akan ditumbuk sehingga halus menggunakan lesung. Kemudian, ia akan ditekan di dalam bekas Loyang sehingga padar sebelum dipotong menjadi empar segi.

Punten biasanya dimakan bersama sambal cili padi dan bawang, sambal bilis dan enak dimakan pada waktu pagi dan petang. Memang tak tipu sedap guys, one of my favorite masakan jawa

8. Jenang Kudus

Jika rakyat Malaysia begitu terkenal dengan dodol, masyarakat Jawa juga mempunyai makanan seakan dodol yang dikenali dengan nama jenang kudus. Ia diperbuat daripada tepung beras pulut, santan serta gula Jawa dan merupakan makanan ringan dari Kudus, Jawa Tengah.

Semasa proses menghasilkan jenang kudus ini, tepung beras pulut akan digaul rata bersama air secukupnya. Ia kemudiannya dicampurkan dengan gula pasir, gula merah dan juga bijan. Adunan ini kemudiannya dimasak hingga sebati dan kental.

Setelah ianya siap dimasak, jenang kudus akan disejukkan terlebih dahulu sebelum dibungkus dengan plastik. Proses  memasak jenang kudus ini mengambil masa selama empat jam menggunakan kayu seakan dayung sampai untuk memasak kuih ini.

Tekstur jenang kudus lebih lembut berbanding dodol serta memiliki rasa yang istimewa. Selari dengan perubahan zaman, jenang kudus ini mempunyai rasa baru seperti perisa durian, susu, halia, strawberi dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, warna aslinya masih dikekalkan iaitu warna coklat kerana ia diperbuat daripada gula jawa.

Artikel berkaitan:
Memang Terangkat Habis! 7 Masakan Istimewa Orang Jawi Peranakan Penang!
Indahnya! 6 Percutian Wajib Pergi Dekat Asia

Raja Lepak

Read Previous

Kenduri kahwin sediakan ‘hand sanitizer’ buat tetamu demi elak koronavirus

Read Next

Korang Suka Yang Mana? Apa beza Asam Pedas Johor dan Asam Pedas Melaka?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *