Lepak-lepak dekat rumah ni mengidam pula nak makan durian namun agak-agaknya ada berapa jenis durian yang boleh didapati terutamanya di Malaysia?
Durian atau lebih dikenali dengan raja buah merupakan buah yang sangat terkenal di negara kita tetapi sebenarnya penting untuk anda ketahui yang durian bukannya ada 2-3 jenis sahaja. Ianya lebih dari apa yang anda jangka.
Berikut Hamka senaraikan 12 jenis durian yang wajib anda ketahui. Alang-alang terliur tu, cuba sahajalah bila tiba musimnya nantikan.
1. D-99
Durian jenis D-99 ini agak mudah untuk didapati yang juga dikenali sebagai Durian Kancing Baju. Dari segi saiz buah, ianya selalunya bersaiz sederhana besar atau kecil dan bentuknya bulat. Durinya halus & tajam, manakala warnanya hijau gangsa.
Untuk isinya pula, ianya tidak terlampau manis dan baunya juga tidak sekuat bau jenis durian yang lain. Pendek kata, kalau anda tidak berapa suka bau durian yang kuat, bolehlah cuba jenis D-99 ini.
2. D-123
Durian D-123 ini lebih dikenali sebagai Durian Chanee. Bentuknya sedikit lonjong berbanding durian yang lain. Kulit durian berwarna hijau keperangan dan teksturnya lebih kasar.
Isinya berwarna kuning, tebal dan rasanya lemak-lemak manis. Baunya juga sederhana dan tidak terlampau kuat. Tahap kepejalannya juga boleh dikategorikan sebagai lembik.
3. D-158
Durian D-128 merupakan Durian Kan Yau. Durian yang berasal dari Thailand ini bersaiz sederhana besar dan beratnya selalu dalam purata 2- 3 kilogram.
Jenis durian ini sangat terkenal dengan tangkainya yang panjang, kira-kira 17 cm tau! Warna isinya selalunya kuning dan isinya sederhana besar dan tahap kepajalannya lembik. Saiz buah pula bujur dan sederhana besar.
4. D-168
Nama lain bagi durian D-168 ini agak menarik dan unik iaitu Durian Hajah Hasmah! Buahnya berbentuk bulat, bersaiz sederhana besar dan kulitnya berwarna hijau keperangan.
Kategori D-168 ini buahnya mudah dikopek berbanding kategori durian yang lain. Isinya berwarna jingga dan tahap kepejalannya tinggi. Ianya mempunyai rasa lemak manis namun sedikit pahit.
5. D-169
Durian D-169 ini nama lainnya ialah Durian Tok Litok. Buah kategori ini berbentuk bujur dan panjang, manakala warnanya hijau kekuningan. Durinya juga lebih panjang dan saiznya sederhana besar.
Kalau dimakan isinya manis namun sedikit pahit. Ketebalan isinya ialah sederhana dan warna isi ialah kuning. Berat buah ini juga agak ringan, sekitar 1.5 – 3 kilogram sahaja.
6. D-175
Durian Udang Merah ini merupakan antara durian yang agak famous berbanding jenis durian yang lain. Selain Musang King, Udang Merah merupakan antara durian yang terlaris.
Saiz buahnya ialah sederhana besar dan berbentuk bujur. Kulitnya berwarna hijau perang dan durinya pendek. Untuk isi, ianya tebal, lembik dan rasanya lemak-lemak manis.
7. D-145
Kategori D-145 pula duriannya dikenali dengan nama Durian Beserah atau Durian Tuan Mek Hijau yang selalunya hanya boleh didapati di Beserah, Kuantan sahaja. Buahnya bersaiz besar dan berbentuk bulat. Kulitnya berwarna hijau dan nipis.
Isinya sederhana tebal, teksturnya halus dan ianya berwarna kuning. Warna isinya kuning, kepejalan isi ialah lembik dan bila dimakan ianya tidak terlampau manis dan baunya juga agak sederhana.
8. D-13
Bagi yang baru berjinak-jinak untuk mencuba durian dan kurang menggemari aroma durian yang kuat, bolehlah korang cuba durian kategri D-13 ini. Pasti sesuai dengan citarasa korang!
Durian ini bersaiz sederhana dan isinya tidak tebal. Warna isinya pula jingga dan tahap kemanisannya ialah sederhana dan rasanya tidak terlampau kuat.
9. D-24
D-24 merupakan antara jenis durian yang senang didapati dan murah harganya berbanding durian lain. Senang citeer, memang menjadi buruan ramai setiap kali tiba musim durian.
Buahnya bersaiz sederhana besar, berbentuk bulat dan berwarna kehijauan. Isi durian berwarna kuning pucat, rasanya lemak namun sedikit pahit. Tahap kemanisan ialah biasa.
10. D-200
Durian selalunya berwarna hijau atau kuning kan, kali ini kami bawa satu keunikan untuk kategori D-200 ini – kulitnya berwarna hitam gaiss dan sebab itulah ianya dikenali dengan nama Durian Duri Hitam!
Durian ini bersaiz sederhana dan berbentuk bulat. Isinya tebal dan berwarna jingga. Rasanya memang manis berkrim , namun sedikit pahit, Tekstur buah ialah lembut dan tahap kepejalannya ialah biasa.
11. D-159
Durian kategori D-159 juga dikenali sebagai Durian Mon Thong dan dengar namanya sahaja pasti korang boleh teka yang durian ini berasal dari Thailand, kan? Untuk pengetahuan anda, Mon Thong ialah Raja Durian Thailand!
Buahnya bersaiz besar, berbentuk bujur dan hujung buahnya tajam. Kulitnya berwarna hijau keperangan dan tangkainya pendek. Isi durian jenis ini sedikit keras, rasanya manis dan tidak pahit.
12. D-197
Juara tetap juara! Inilah dia jenis durian yang korang nanti-nantikan iaitu Musang King atau Raja Kunyit! Jenis durian ini merupakan antara yang paling terkenal di negara kita. Kualitinya juga merupakan yang terbaik berbanding jenis yang lain.
Keunikan durian jenis ini terletak pada kualiti dan tekstur isinya yang lebih lembut berbanding durian biasa. Rasanya juga berlemak serta memiliki rasa berkrim dan pahit. Walaupun harganya agak mahal namun buat peminat durian tetap akan mencarinya setiap kali musim durian.
Bagaimana? Sudah mula kecur perut membayangkan kemanisan dan rasa berkrim durian? Jangan tunggu lama-lama, takut nanti menyesal pula bila jenis durian kegemaran habis terjual!
Kami juga ingin menasihati anda agar meneliti jenis durian yang anda beli. Sesetengah penjual boleh mengambil kesempatan terhadap pelanggan yang tidak tahu tentang jenis durian. Harap artikel ini membantu korang mengenali jenis durian ya!
Selain dimakan begitu sahaja, durian juga boleh dibuat tempoyak, serawa, durian crepe atau lebih menarik, aiskrim. Cuba sahaja mana-mana resepinya di rumah. Selamat menjamu selera!
Artikel berkaitan
Nampak Unik Namun 10 Makanan Tradisi Sabah Ini Wajib Anda Cuba!
Lepas PKP Wajib Pergi! 5 Port Food Court ‘Hipster’ di Kuantan Untuk Anda ‘Chill’ Dan Makan