Bukit Fraser Hill bukan saja menawarkan panorama indah setanding kebanyakan lokasi percutian tanah tinggi di serata dunia, malah struktur muka buminya mempunyai gunung atau bukit boleh didaki.
Apatah lagi destinasi ini bersempadan antara Pahang dan Selangor turut popular dengan Banjaran Titiwangsa. Ia menjadi pilihan kebanyakan pendaki gunung melakukan latihan pendakian di lokasi berkenaan sebagai persediaan menghadapi gunung yang lebih mencabar.
‘Spot’ pendakian yang menarik boleh diteroka peminat sukan lasak di destinasi itu semestinya Gunung Gap dan Gunung Semangkuk. Pendakian kedua-dua gunung boleh dilaksanakan dalam satu ekspedisi yang berterusan kerana terdapat laluan menghubungkan kedua-duanya.
Jadi, hari ini Damak akan menceritakan pengalaman pendakian bersama pengamal media dan pelatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (Wilayah Tengah) mengadakan aktiviti pendakian Gunung Gap yang seterusnya pendakian ke Gunung Ulu Semangkuk pada ketinggian 1394 meter.
Dalam misi berkenaan semua pendaki yang mengambil bahagian berkumpul di Akademi Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Tengah seawal jam 7 pagi.
Seperti biasa, untuk pendakian di lokasi ini persiapan peserta termasuk mengalas perut sesuatu kemestian. Oleh itu, peserta hanya bertolak ke kawasan rehat Gap, Fraser Hill yang mengambil masa perjalanan kira-kira 45 minit selepas bersarapan.
Meskipun pendakian berkenaan tidak bermalam dan hanyalah perjalanan seharian, kami masih perlu menitikberatkan aspek keselamatan dalam mengelak risiko kecederaan ketika mendaki.
Tambahan pula trek ini bercerun tinggi disebabkan keadaan mencanak, semestinya kami peserta perlu mempersiapkan keperluan iaitu mengenakan kasut dan pakaian sesuai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Sudah menjadi satu keperluan bagi peserta melakukan aktiviti senaman ringan bagi memastikan tiada masalah membabitkan regangan yang akan berlaku kepada peserta ketika mula mendaki.
Malah ketika taklimat daripada Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mengingatkan para peserta supaya mematuhi semua arahan jurupandu bagi memastikan perjalanan lancar dan mengikut tempoh ditetapkan.
Seawal pendakian, cabaran sedia menanti apabila peserta memulakan pendakian laluan ‘pacak’ iaitu trek mendaki yang mencanak selain laluan berakar.
Bagi melengkapkan gunung pertama itu, peserta mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam untuk tiba di puncak Gunung Gap dengan ketinggian 1183 meter. Selepas setengah jam pendakian, cuaca semakin sejuk dengan angin gunung yang kerap bertiup.
Selepas berehat, kami meneruskan pendakian untuk ke puncak Gunung Ulu Semangkuk. Perjalanan dijangka mengambil masa antara satu jam 45 minit hingga dua jam dengan menempuh laluan pendakian hampir 80 darjah.
Pendaki terpaksa berpaut pada akar pokok kayu yang besar dalam mengharung laluan diibaratkan ‘dada berlaga lutut.’
Setibanya di puncak Gunung Ulu Semangkuk, kami gembira akhirnya berjaya di tempat yang dituju dan kami juga menikmati makanan tengah hari yang dibawa.
Selepas dua jam di puncak kami meneruskan perjalanan untuk menuruni puncak Gunung Semangkuk dan seterusnya kembali ke Gunung Gap.
Bagi peminat sukan gunung dan pendaki, korang wajib mendaki dua gunung ini jika korang inginkan kelainan selain memiliki panorama yang sangat indah.
Dalam menamatkan pusingan kedua-dua gunung berkenaan, masa diambil ialah tujuh jam pada jarak tidak kurang lapan kilometer. Jadi, bagi mereka yang belum lagi mencuba, korang mesti cuba lepas PKP nanti.
Artikel berkaitan
Cabaran Redah Air Terjun Lata Hammer
Slim River Miliki ‘Water Rafting’ Terbaik di Malaysia?