Cucu-cucu semua pernah ke tengok buaya? Jangan ada yang cakap tak pernah, Atok ketuk kepala cucu nanti. Lain laa macam Atok, jangan kata pernah tengok, bertarung dengan buaya pun Atok pernah ok. Hahaha! Cucu pernah dengar tak pasal buaya putih? Buaya putih kalau dalam pandangan orang Barat, ia tak lebih dari sekadar seekor buaya yang lapar.
Manakala warnanya yang putih dilihat sebagai jenis buaya unik yang mengalami hypomelanism.
Setakat ni, yang dapat liputan umum pun ada dua ekor buaya putih iaitu Michael Jackson dan Pearl di Australia. Amacam? Pandai tak Atok? Kat negara Nusantara macam Malaysia ni, memang ada kita dengar kisah pasal buaya putih.
Legenda buaya putih selalu diceritakan oleh orang tua untuk gambarkan kehebatan ilmu pahlawan dulu-dulu. Ada juga yang disampaikan sebagai pengajaran buat masyarakat. Kami senaraikan beberapa kisah buaya putih yang popular seluruh Malaysia.
Baca juga artikel ini: Seram, bangunan ini dibina daripada tulang manusia
Yang pertama Atok nak ceritakan ialah kisah buaya penyayang kat Kelantan. Kalau cucu semua nak tahu, buaya putih ni terkenal sebagai sesuatu yang ditugaskan untuk jaga masyarakat kampung. Macam di Kampung Seri Kemudi, Bachok, ada seekor buaya putih yang dipercayai buaya sakti.
Buaya putih ni juga biasanya dilihat bersama dengan kemudi emas tiap kali dia timbul di permukaan air. Ikut cerita orang dulu-dulu macam Atok, buaya putih sakti tu dah ambil seorang budak perempuan sebagai ‘anak angkat’ sampailah budak tersebut dewasa. Buaya tu dah sayang sangat kat anak angkatnya tu jadi selalulah diberikannya barang-barang emas.
Lain pula kisah di Kampung Kok Pasir & Kampung Kok Keli di Kota Bahru. Kat sini, buaya tak datang sendiri kat orang. Sebaliknya, buaya putih dijinakkan oleh seorang ulama bernama Tuan Guru Selehor. Tujuannya? Haaaa..Sebab nak buaya putih tu jaga keselamatan sungai tu.
Sebelum ni, dah ramai penduduk kampung yang tak dapat jalankan kehidupan mereka di sungai. Tak boleh mandi, tak boleh memancing dan menjala hanya sebab banyak buaya lain duduk sana. Lepas tu, buaya-buaya sungai tu dah lari sebab takutkan buaya putih ni.
Baca juga artikel ini: Siri Kisah Seram di Alas Roban, Jawa Tengah, Indonesia
Kisah kedua pasal buaya putih yang Atok nak cerita ialah buaya kerabat kayangan kat Langkawi. Selain dari kisah air tasiknya yang mampu menyuburkan wanita, Tasik Dayang Bunting juga turut mempunyai buaya putihnya sendiri. Cucu semua mesti tak tahukan?
Diceritakan, dulu ada seorang puteri kayangan yang bernama Puteri Dayang Sari (ada yang sebut Mambang Sari) yang ingin mandi manda di kawasan tasik tu. Kecantikan puteri kayangan ni menawan hati seorang putera dinamakan Putera Teja. Putera Teja ni minta tolong pada seorang tua untuk pikat hati puteri cantik dari kayangan. Orang tua tu suruhlah Putera Teja sapu air mata duyung pada wajahnya.
Menjadilah ajaib air mata duyung apabila puteri tu pun terpikat juga pada putera tu. Mereka mendirikan keluarga, dan lahirlah anak sulung mereka. Tapi apa yang menyedihkan, anak tersebut diserang sakit dan meninggal dunia. Selepas dikuburkan, dia dikatakan bertukar menjadi buaya putih yang dikatakan penjaga setia tasik tersebut sampai sekarang.
Maka cucu-cucu kesayangan Atok sekalian, itulah kisah buaya putih yang ada kat negara kita ni. Sama ada ia benar atau dongengan, Atok sendiri pun tak pasti. Tapi yang Atok tahu cerita ni memang dah diberitahu sejak turun temurun lalu.