Semua hidupan pasti akan diakhiri dengan kematian. Itulah putaran hidup yang perlu dilalui oleh setiap yang hidup di muka bumi ini.
Tiada siapa yang pernah terfikir bagaimana cara kematian seseorang. Kali ni min nak cerita tentang 10 kisah kematian (siri 1) yang dianggap pelik berlaku di seluruh dunia.
- Meninggal sebab nak capai bulan dalam air
Seorang penyair dari China bernama Li Po (abad VII-VIII Masihi) merupakan penyair terkenal yang suka meminum arak. Pada satu hari semasa dia sedang menaiki sebuah perahu di sungai Yangtze dalam keadaan mabuk, dia melihat bayang-bayang bulan di dalam air. Disebabkan terlalu mabuk, dia berusaha menggapai bayangan bulan itu untuk memeluknya, namun gagal. Akhirnya dia jatuh ke air lalu meninggal dunia kerana lemas.
- Meninggal kerana janggut
Hans Steininger merupakan orang Austria yang terkenal kerana memiliki janggut yang terpanjang di dunia. Panjang janggutnya mencecah sekitar 140 cm. Pada suatu hari pada tahun 1567, terjadi kebakaran yang memaksa semua orang berlari keluar. Waktu itu, Beliau terlupa mengikat janggutnya yang panjang. Akibat terburu-buru dia terpijak janggutnya sendiri dan terjatuh menyebabkan lehernya patah mati di tempat kejadian.
- Meninggal sebab tahan membuang air kecil
Tycho Brahe (1546-1601) adalah seorang ahli astronomi. Pada tahun 1601, dia menghadiri satu jamuan makan besar yang memakan masa berjam-jam lama, di Praha (sekarang Czechoslovakia). Pada masa itu terdapat satu adat yang menyatakan bahawa seseorang yang datang ke majlis dan membuang air di sana dianggap tidak sopan. Akibatnya dia terpaksa menahan untuk buang air kecil sepanjang majlis itu berlangsung. Pundi kencingnya menggelembung sehingga terjadilah infeksi (sistitis) yang parah. Dia akhirnya meninggal dunia 11 hari kemudian.
- Meninggal kerana tongkat konduktor
Jean Baptiste Lully merupakan seorang konduktor yang memimpin orkestra pada perayaan sempena sembuhnya Louis XIV daripada sakit pada tahun 1687. Ketika memimpin kumpulan orkestra membuat persembahan, secara tidak sengaja dia menjatuhkan tongkat konduktor tepat pada ibu jari kakinya. Terjadi abses (infeksi dengan nanah) dan diikuti gangren (pembusukan) pada ibu jari kaki tersebut. Lully menolak ibu jari kakinya dipotong, dan akhirnya dia pun mati kerana infeksi yang merebak ke seluruh tubuh.
- Meninggal Kerana Tergigit Lidah
Allan Pinkerton (1819-1884) adalah seorang agen detektif yang terkenal dan memiliki sebuah syarikat yang diberi nama sebagai ‘Agency Pinkerton Detective’. Pada suatu hari ketika dia sedang berjalan di kaki lima, dia jatuh akibat tergelincir. Sewaktu terjatuh, dengan tidak sengaja dia tergigit lidahnya sendiri dan terjadilah infeksi yang kemudian membunuhnya.
- Meninggal kerana menendang peti
Seorang pengusaha whiskey terkenal dari Tennessee, Amerika Syarikat bernama Jack Daniel. Apa yang berlaku kepada Daniel lebih kurang sama dengan peristiwa yang menimpa Lully. Pada suatu pagi, Daniel ingin membuka salah satu peti whiskey namun dia terlupa nombor kombinasinya. Berasa marah, dia mengamuk dan menendang peti tersebut lantas menyebabkan salah satu jari kakinya terluka. Luka itu kemudiannya meradang akibat jangkitan kuman dan akhirnya membunuhnya.
- Meninggal Kerana Kulit Pisang
Bobby Leach (1858-1926) adalah seorang pelagak ngeri (stuntman) yang berani dan tidak takut mati. Pada tahun 1911 dia mencatat sejarah apabila menjadi orang kedua di dunia yang berjaya menakluki air terjun Niagara dengan hanya menggunakan barrel. Namun stuntman yang berani ini mengalami kematian yang ironi pada tahun 1926. Pada suatu hari Leach yang sedang berjalan terpijak kulit pisang lalu terjatuh sehingga kakinya patah teruk dan harus dipotong. Dua bulan selepas itu, Leach meninggal dunia kerana komplikasi yang menyerangnya dan terjadinya jangkitan kuman pada bahagian yang dipotong tersebut. Malang sekali ketika itu antibiotik belum tercipta.
- Meninggal kerana payung terjun gagal mengembang
Pada tahun 1912, Franz Reichelt mendakwa dirinya berjaya mencipta jaket yang digabungkan dengan payung terjun. Ia adalah suatu penemuan baru pada ketika itu. Dia ingin menguji jaket ciptaannya dengan melompat dari puncak menara Eiffel. Pada awalnya dia merancang untuk membuat ujikaji tersebut dengan menggunakan patung, namun dia mengubah fikiran pada saat-saat terakhir. Dia memutuskan untuk menguji sendiri jaket tersebut. Apa yang berlaku seterusnya adalah seperti yang dirisaukan oleh orang ramai, iaitu jaket itu tidak berfungsi dan dia pun jatuh tersungkur daripada puncak menara Eiffel. Beliau meninggal dunia akibat kecederaan yang parah.
- Meninggal kerana bola besbol
Ray Chapman (1891-1920) merupakan satu-satunya pemain besbol yang meninggal dunia ketika pertandingan besbol sedang berlangsung. Dia meninggal dunia kerana kepalanya terkena balingan bola yang laju dari Carl Mays. Pada ketika itu, bola besbol biasanya dilumuri dengan tanah oleh pembaling bola sebelum membalingnya, untuk menyukarkan pihak lawan melihat bola tersebut.
- Meninggal kerana selendang
Isadora Duncan (1877-1927) terkenal sebagai seorang penari tarian moden. Dia gemar memakai selendang ketika keluar ke mana-mana. Pada September tahun 1927, seperti biasanya dia memakai selendang yang berukuran besar dan menaiki sebuah kereta. Sewaktu kereta itu sedang bergerak laju, selendangnya terbang melalui tingkap kereta yang terbuka dan tersangkut pada tayar kereta menyebabkan beliau tercekik dan meninggal dunia.
Ikuti siri sambungan kedua….