Ladang Teh BOH Habu Tea Garden Cameron Highlands Mampu Cipta Kenangan Indah Buat Anda! Bila terperap dekat rumah sebab PKP ni, rindu Hamka nak lepak dekat tempat sejuk. Tiba-tiba Hamka teringat Cameron Higlands dan pastinya ladang Teh BOH amat dirindui kerana kecantikan ladangnya amat memukau mata.
Buat pengetahuan korang, ladang yang dimiliki oleh BOH merupakan ladang paling terbesar dan cantik di Asia Tenggara. Hari ini Hamka cerita sedikit latar belakang dan keunikan yang ada di sini.
Tahukah korang? BOH ini adalah singkatan kepada “Best of Highlands” dan kini salah satu ladangnya yang popular di Sungai Palas namun hari ini Hamka nak bawa korang ke Ladang Teh BOH di Habu. Walaupun tak sepopular di Sungai Palas namun ada keunikannya tau.
Keunikan Ladang Teh BOH Habu Tea Garden Cameron Highlands
1. Memiliki Pemandangan Ladang Yang Cantik
Bagi Hamka, ia merupakan sebuah ladang teh yang memukau mata dek kerana panoramanya di atas bukit menghijau yang sangat cantik. Keluasan ladang teh ini dan kehijauan bukit bukau yang dipenuhi pokok teh di sekeliling cukup mengkagumkan terutama semasa keadaan berkabus.
2. Trek Hiking Tersedia
Bagi korang yang suka hiking, ladang ini sangat sesuai untuk anda. Trek bertangga telah tersedia bagi memudahkan pengunjung untuk mendaki. Keistimewaan di sini juga ia mempunyai satu view point yang terletak di atas bukit setinggi 174 meter. Landmark korang dah sampai view point apabila korang dah ternampak satu pencawang komunikasi.
Anda boleh mendaki sehingga ke puncak view point sambil merakam gambar dan video dengan latar belakang bukit dipenuhi daun the hijau sebagai kenangan.
Panorama di atas bukit sangat cantik dan sejuk mata memandang. Semasa pendakian, ia paling syok, korang akan diiringi dengan aroma bau teh menghijau yang menyegarkan dari kilang yang memproses teh yang ada dibawah bukit.
3. BOH Heritage Tea Centre and Factory (1929)
Ladang Teh BOH Habu merupakan ladang teh BOH yang asal dan pertama di Cameron Highlands. Di sini, terdapat sebuah bangunan kilang dan pusat warisan teh BOH lama yang wujud sejak tahun 1929 tau. Korang akan dapat merasai kelainan suasa yang tidak ada di ladang teh lain di Cameron Highlands.
Korang bebas untuk melihat dewan pameran dan bilik audio visual, membeli belah di kedai produk teh dan cenderahati serta paling best korang boleh menikmati secawan teh bersama sandwich sambil menikmati pemandangan indah ladang teh di sini.
4. Lawatan Ke Kilang Teh Secara Percuma
Ini keistimewaan di sini, korang boleh saje walk in untuk menyertai lawatan masuk ke dalam kilang teh secara berkumpulan. Lawatan kilang teh ini diadakan setiap 30 minit sekali untuk masa selama 10 minit.
Di sinilah korang akan belajar cara-cara memproses teh dan melihat sendiri peralatan dan mesin memproses teh dengan lebih dekat.
5. Landasan Kapal Terbang Di Cameron Highlands
Terkejut tak? Betul… memang ada landasan kapal terbang dan merupakan sebuah landasan kapal terbang tertinggi di Malaysia.
Tetapi jangan pula korang nak pergi naik flight pula nak ke Cameron Highlands kerana landasan ini hanya digunakan oleh pesawat ringan yang digunakan untuk menabur baja di ladang teh.
Aktiviti membaja dari udara ini adalah teknik pembajaan yang dibuat setahun sekali sahaja selama 10 hari di ladang teh kepunyaan BOH Plantations.
Landasan Kapal Terbang Cameron Highlands ini terletak di puncak bukit Ladang Teh BOH di Habu Ringlet tetapi orang awam tidak dibenarkan untuk masuk ke sini dan hanya boleh diperhati dari jauh sahaja. Kalau korang berpeluang, jangan lupa ambil gambar atau video sebagai kenangan tau.
Lokasi Ladang Teh BOH Habu Tea Garden Cameron Highlands
Ladang ini hanya terletak 10km dari Ringlet dan 14km dari Tanah Rata. Ia akan melalui jalan yang sama untuk pergi ke Ladang Lebah Highlands Apiary Farm & Bee Farm.
Lokasinya yang jauh tersorok jauh dari kawasan tarikan pelancong utama di Cameron Highlands menyebabkan ramai yang tidak tahu kewujudannya disamping jalannya yang berliku-liku dan hanya muat satu kereta sahaja dalam satu masa.
Tetapi sebenarnya perjalanan ke sini adalah lebih mudah dan selesa berbanding dengan jalan menuju ke Ladang Teh BOH Sungai Palas yang sempit dan sesak. Ni ada share sikit tips jika korang nak ke sana.
Tips 1 : Anda mesti membunyikan hon setiap kali menghampiri selekoh tajam untuk mengelakkan bertembung dengan kereta yang datang dari depan.
Tips 2 : Hamka syorkan datang sini awal pagi sebaiknya setengah jam sebelum ianya dibuka pada pukul 9 pagi supaya korang dapat melalui jalan menuju ke ladang sambil menikmati pemandangan lembah yang menghijau dengan selesa.
Bayaran masuk : Percuma
Waktu Operasi : 9 pagi sehingga 4.30 petang (Hanya ditutup pada hari Isnin sahaja). Kalau cuti sekolah akan dibuka setiap hari
Artikel berkaitan
Respect! Warga emas ‘abadikan’ MH370 atas bumbung rumah
Saloma Link tempat baru ‘OOTD’ terbaik di Kuala Lumpur