Dari Dunia Game Ke Dunia Realiti, Sony Pictures Entertainment Kongsi Acah Treler Jumanji: Open World

Selepas memperkenalkan konsep baharu menerusi dua filem pembikinan semula sebelum ini, francais Jumanji sekali lagi tampil dengan idea yang lebih besar menerusi Jumanji: Open World. Trailer pertama yang baru sahaja diperlihatkan memberi gambaran bahawa filem kali ini bakal membawa pengalaman yang sangat berbeza berbanding filem-filem mereka sebelum ini.

Jika mengimbas kembali, Jumanji bermula sebagai sebuah permainan papan misteri dalam filem 1995 yang membawa pelbagai ancaman ke dunia nyata. Konsep itu kemudian berubah menjadi permainan video dalam Jumanji: Welcome to the Jungle (2017) dan diteruskan menerusi Jumanji: The Next Level (2019), di mana Spencer dan rakan-rakannya memasuki dunia Jumanji sebagai avatar mereka.


Namun, Jumanji: Open World mengambil pendekatan yang bertentangan. Kali ini, bukan manusia yang memasuki permainan, sebaliknya watak-watak serta ancaman dari dunia Jumanji pula keluar ke dunia nyata. Daripada haiwan liar hinggalah kepada pelbagai elemen ikonik dari permainan itu, semuanya mula menguasai kehidupan manusia dan mencetuskan kekacauan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Antara yang paling menarik perhatian ialah kemunculan avatar kegemaran ramai seperti Dr. Smolder Bravestone, Ruby Roundhouse, Professor Shelly Oberon dan Mouse Finbar yang kini berada di dunia sebenar. Perubahan ini membuka ruang kepada pelbagai aksi komedi, pengembaraan dan situasi yang jauh lebih besar kerana mereka kini perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar permainan. 


Dalam masa yang sama, Spencer berusaha mencari jalan untuk menghantar semua watak Jumanji kembali ke dunia asal mereka. Namun, percubaannya tidak berjalan seperti yang dirancang apabila dia sendiri terperangkap semula di dalam permainan. Keadaan itu menyebabkan kedua-dua dunia berada dalam keadaan huru-hara, sekali gus memaksa mereka mencari jalan untuk mengembalikan semuanya seperti sediakala.

Jumanji: Open World dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula 24 Disember 2026. Dengan konsep yang membalikkan formula siri ini, filem tersebut dilihat bakal menawarkan pengalaman yang lebih besar, penuh aksi dan komedi, sekali gus menjadi antara filem yang paling dinantikan pada penghujung tahun ini.

Trailer Jumanji: Open World

Raja Lepak

Read Previous

Hanya Dengan Satu Gambar, Mengubah Segalanya – I Will Find You (Netflix)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *