Sakit Kepala Lagi? Migrain Ker?

Aduh, sakitnya kepala! Makan ubat pun tak jalan. Nak keluar bilik pun tak larat ni, apa lagi kena cahaya matahari atau dengar bunyi bising-bising, rasa macam nak pecah kepala. 

Hanya yang pernah kena migrain sahaja faham perasaannya. Semuanya serba tak kena. Untuk pengetahuan kita semua, migrain merupakan satu penyakit kronik yang tidak diketahui penawarnya dan menjejaskan ramai orang di Malaysia, terutamanya wanita. Kajian menunjukkan lebih kurang satu daripada empat wanita dan satu daripada 12 lelaki akan mengalami migrain dalam hidup mereka .

Memahami Migrain

“Migrain bukan sekadar sakit kepala. Ia selalunya disertai dengan simptom lain seperti pening, loya, muntah, keletihan, fotofobia (sensitif terhadap cahaya) dan fonofobia (sensitif kepada bunyi yang kuat). Dalam sesetengah keadaan, ia juga mungkin mempengaruhi emosi penghidapnya. Sebagai salah satu masalah neurologi biasa, migrain juga dikenali sebagai keadaan sakit kepala teruk yang berulang,” jelas Dr Hiew Fu Liong, Pakar Perunding Neurologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway. 

Terdapat fasa-fasa berbeza pada satu episod migrain iaitu prodrome, aura, serangan, dan selepas serangan atau pasca drome. “Peringkat prodrome berlaku dengan gejala amaran yang tidak ketara seperti dedar atau rasa tidak sedap badan, lesu, dan mengidam makanan. Peringkat aura melibatkan gangguan deria seperti kilatan visual atau sensitiviti yang meningkat terhadap bunyi. Selepas itu, terjadilah serangan migrain iaitu rasa sakit kepala pada sebelah bahagian kepala sahaja dan rasa tidak selesa apabila terdedah kepada rangsangan cahaya dan bunyi yang boleh berlarutan dari empat hingga 72 jam. Akhir sekali, pada peringkat selepas serangan, badan mengalami kelesuan yang boleh berlanjutan sehingga beberapa hari,” jelas Dr Hiew.

Jenis, Punca dan Risiko Migrain

Dr Hiew menjelaskan jenis-jenis migrain yang berbeza :

  • Migrain tanpa aura adalah jenis yang paling lazim, yang ditandai dengan kesakitan tiba-tiba dan teruk yang biasanya terhad pada sebelah bahagian kepala.
  • Migrain dengan aura melibatkan penglihatan yang kabur atau halusinasi bunyi yang selalunya menjadi tanda amaran sebelum datangnya rasa sakit.
  • Migrain basilar berbeza daripada jenis yang lain, dengan gejala utamanya melibatkan rasa pening, muntah, dan halusinasi bunyi, tetapi tanpa rasa sakit kepala yang biasa.
  • Migrain okular iaitu sakit mata atau kehilangan penglihatan sementara pada sebelah mata.
  • Migrain katamenial (semasa haid) terjadi terutamanya kepada wanita semasa tempoh haid, yang menunjukkan kesan perubahan hormon terhadap pencetus migrain.
  • Migrain hemiplegia adalah satu keadaan migrain paling teruk yang tidak hanya melibatkan sakit kepala, tetapi juga lumpuh pada sebelah badan.

Memahami punca dan faktor risiko yang berkait dengan migrain adalah penting bagi pesakit yang berusaha meringankan kesakitan atau mengurangkan kekerapan serangannya. Faktor risiko ini mungkin berbeza dengan ketara mengikut individu. Ia mungkin disebabkan perubahan cuaca yang mendadak, dehidrasi atau kekurangan air, sensitif terhadap bau yang kuat, pengambilan kafein, terdedah kepada bunyi yang terlalu kuat dan nyaring, serta banyak lagi . 

Membetulkan Mitos dan Salah Tanggap 

Dr Hiew turut menyentuh beberapa tanggapan yang salah mengenai migrain. “Antara salah tanggapan yang paling biasa ialah orang keliru antara migrain dan sakit kepala disebabkan tekanan. Ini menyukarkan proses diagnosis kerana kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa, sehingga beranggapan migrain bersifat psikologi dan boleh diubati dengan pengambilan suplemen. Disebabkan itu, adalah penting untuk memahami bahawa biarpun kesakitan migrain boleh diatasi dengan berkesan, namun pada masa ini belum ada ubat yang boleh menyembuhkannya. Ia juga mempunyai faktor pencetus yang berbeza. Tambahan pula, suplemen sahaja tidak mampu mengubati dan mengatasi migrain.”

Rawatan dan Pengurusan Migrain

Memandangkan terdapat persamaan antara gejala migrain dengan jenis sakit kepala yang lain, Dr Hiew menjelaskan risiko kesilapan diagnosis boleh menyebabkan pengambilan ubat yang salah dan potensi berlaku komplikasi lain seperti gastrik dan kerosakan buah pinggang. Walaupun tiada ubat untuk migrain, tujuan rawatan adalah untuk mengatasi gejalanya dengan berkesan. Ubat-ubatan akan diberikan untuk mengurangkan rasa sakit dan ketidakselesaan akibat serangan migrain. Setelah mendapatkan nasihat pakar neurologi, pesakit boleh menyusun strategi khusus untuk mencegah migrain atau mengatasi gejalanya dengan lebih baik apabila ia menyerang.  

“Terdapat dua pilihan rawatan  yang boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu rawatan untuk menghentikan kesakitan dan rawatan untuk mencegah serangan migrain. Rawatan melegakan kesakitan melibatkan ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit, manakala rawatan pencegahan migrain termasuk pengambilan ubat antiepilepsi, antihipertensi dan antidepresan. Ada juga rawatan lanjut seperti penghalang reseptor peptida berkaitan gen Calcitonin (CGRP) yang mampu menyekat reseptor CGRP pada saraf trigeminal yang berperanan menyampaikan rasa sakit dan sensitiviti terhadap sentuhan dan suhu, sekali gus menghalang serangan migrain,” kongsi Dr Hiew.

Raja Lepak

Read Previous

Demam UEFA EURO 2024™ Di Lazada!

Read Next

Ketiak Bau Hangit! Jangan Salahkan Deodoran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *