Siapa ingat lagi iklan yellow man dengan tagline, I will follow you? Atau pun iklan yang Usain Bolt lari sekitar KL sampai keluar blue streak tu? Itu lah modal iklan Digi dan Celcom satu waktu dulu.
Tapi sekarang Celcom ngan Digi dah bergabung jadi satu. CelcomDigi namanya. Dan baru-baru ni diorang dah keluar dengan logo korporat baharu yang melambangkan penyatuan antara dua syarikat telco terbesar kat Malaysia ni.
Menurut CelcomDigi, logo korporat baharunya ini adalah sebuah manifestasi terhadap aspirasi syarikat untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai oleh pelanggan serta rakyat Malaysia dalam inovasi serta pendigitalan. Ia juga merupakan langkah signifikan dalam misi syarikat selepas penggabungan, untuk mencari cara yang inovatif bagi memajukan rakyat Malaysia dalam mencapai semua yang mereka impikan dan ilhamkan.
Semasa pelancaran logo baharu ini kepada media, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, “Kami berhasrat untuk mengangkat CelcomDigi sebagai ikon inovasi baharu negara – sebuah institusi yang mempunyai skala serta sumber untuk menjadi penggerak kepada pertumbuhan digital negara, mengembangkan bakat tempatan, membangunkan ekosistem digital tempatan, dan menyediakan penyelesaian, tawaran, serta pengalaman terbaik buat pelanggan. Di samping menjadi jenama yang boleh dipercayai oleh pelanggan dalam era ‘segalanya digital’.”
Pencapaian 323 hari
Sejak penggabungan Celcom dan Digi pada Disember 2022, kedua-dua jenama – kini di bawah satu entiti korporat tunggal CelcomDigi Berhad – terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan perniagaan dengan lancar, menyepadukan perkhidmatan serta produk, memperkenalkan tawaran baharu dan membina rangkaian digital masa depan negara.
Mereka juga melancarkan program berskala penuh untuk membina rangkaian digital masa depan Malaysia dengan mengintegrasi dan memodenkan rangkaian 4G terbesar dan terpantas di Malaysia menerusi teknologi LTE dan sedia-5G yang terkini.
Bukan itu sahaja, syarikat ini juga memperkenalkan tawaran segmen baharu untuk perkhidmatan rumah dan fiber, serta peranti di bawah CelcomDigi Fibre dengan gentian satu gigabait sesaat (Gbps) yang pertama di Malaysia di setiap bilik, dan untuk segmen perniagaan melalui CelcomDigi Business.
CelcomDigi komited untuk menjadi penyedia digital buat rakyat Malaysia dengan menawarkan produk yang komprehensif, inovasi dan penyelesaian Internet Pelbagai Benda (IoT), melangkaui perkhidmatan telekomunikasi untuk menghubungkan masyarakat di mana sahaja serta meningkatkan gaya hidup digital rakyat Malaysia.