‘Penyewa dari neraka’.
Itulah istilah yang kita gunakan bila jumpa penyewa yang perangainya nauzubillah! Aneh-aneh belaka. Ada yang pengotor tahap tak boleh beza ini kandang haiwan ke tempat tinggal manusia, ada juga yang tak bayar sewa malah sampai satu tahap yang jenis psiko rakan serumah.
Tapi pernah tak korang dengar tak kisah penyewa dari neraka yang mana dorang terlibat dengan aktiviti kultus gelap?
Diinspirasikan daripada kisah benar, ‘Home for Rent’ merupakan filem thriller seram Thailand yang boleh buatkan korang terus paranoid dengan rakan serumah korang.
Plot dimulakan dengan watak Ning dan Kwin merupakan pasangan yang memiliki anak perempuan berusia 7 tahun. Mereka membuat keputusan untuk berpindah ke bilik kondo dan menyewakan rumah lama mereka.
Namun selepas penyewa baru berpindah, Ning mula perasan suaminya mula berkelakuan luar daripada kebiasaan iaitu dengan menjadi lebih perahsia dan sering menghilangkan diri dari kondo pada jam 4 pagi.
Malah, Kwin juga mula memakai tatu berbentuk segi tiga yang sama seperti tatu milik salah seorang penyewa rumah mereka iaitu Nuch. Lama-kelamaan kelakuan suaminya semakin teruk malah ditambah dengan keadaan anak perempuan mereka, Ing yang sering diganggu makhluk yang tak kelihatan oleh mata kasar.
Apabila anaknya mula dilibatkan dalam kegiatan kultus gelap ini, Ning merasakan bahawa beliau perlu lakukan sesuatu untuk menyelamatkan Ing. Termasuklah menyesal dengan keputusannya membenarkan rumah lama mereka untuk disewa.
Kalau korang nak tahu, ramai gila puji bagaimana plot filem ini dikupas satu persatu. Plot twist after plot twist tapi dalam masa yang sama tak membuatkan cerita jadi lambat. Malah genre seram yang selalu ditawarkan kepada peminat filem seram Thai juga berbeza vibenya!
Nak tahu kenalah tonton sendiri. Tambah seronok kalau korang bawa kawan yang suka tengok cerita seram tapi kuat menjerit. Terbaiklah!