Selain juadah seperti lemang, rendang dan ketupat yang dihidangkan di meja utama, biskut raya juga mempunyai tempat yang tersendiri di hati. Rasa tak lengkap jer raya kalau tak ada biskut raya. Biarlah tahun ni raya ala PKP, asalkan ada kuih raya pun dah cukup memadai.
Cakap pasal kuih raya, apa kuih raya feberet korang? Abang Bob kalau bab-bab kuih rasa ni sebenarnya kurang sikit, sebab dari dulu kalau raya mak Abang Bob lagi suka beli pelbagai jenis kerepek atau kacang berbanding kuih raya. Tapi tak bermaksud Abang Bob tak kenal kuih raya tau. Kat sini Abang Bob nak senaraikan 10 jenis kuih raya legend yang sampai bila-bila pun orang akan cari bila hari raya.
1. Tart Nanas
Tanpa dipelawa pun, balang Tart Nanas adalah benda pertama yang dicapai sementara menanti tetamu di meja selesai menikmati hidangan utama. Teksturnya yang rapuh atau gebu membuatkan ia dimasukkan sekali gus ke dalam mulut sebelum merasai kemanisan inti nanas. Siapa giler tart nanas!
2. Mazola
Warnanya yang kekuningan kesan sapuan kuning telur yang disusun cantik seperti memanggil-manggil, itulah dia Mazola. Barangkali ia biskut yang ringkas namun kepadatannya dengan kacang tumbuk, Mazola juga menjadi pilihan sebagai juadah ringan di hari raya.
3. Cornflakes Madu
Pergilah ke rumah siapa pun, Insya-Allah memang akan jumpa Cornflakes Madu di atas meja tuan rumah dan kebiasaannya memang terpaksa tambah berulang kali. Mana cukup makan satu! Biasanya ia disediakan bagi menarik perhatian kanak-kanak tapi tak mustahil orang tua lagi ‘over’.
4. Semperit
Datanglah biskut paling ‘hipster’ pun namun tiada siapa boleh ketepikan Semperit sejak berzaman malah generasi baharu pun tahu biskut berkenaan. Coraknya mungkin berbeza mengikut kreativiti masing-masing namun bentuk bunga dengan ceri sebagai hiasan paling mengimbau kenangan.
5. Batang Buruk
Rupanya mungkin ‘buruk’ tetapi juadah diperbuat daripada tepung gandum dicampur tepung beras dan tepung kelapa ini sebenarnya masih ramai peminat. Cuma apabila makan kena berhati-hati kerana ia rapuh, namun apabila sudah masuk ke mulut dan dapat merasai kacang hijau goreng di dalamnya, tangan cepat je capai satu lagi Batang Buruk.
Baca artikel ini: Mengidam nak makan masakan ala Cina? Nah 5 restoran masakan Cina Muslim tersedap
6. Kuih Ros
Memang menggamit kenangan kuih yang berbentuk bunga ros ini. Rasanya yang manis dan rangup membuatkan sampai tak sedar mulut mengunyah. Mungkin anak-anak muda tidak kenal kuih ini, tapi bagi generasi lama pastinya ia nostalgia yang sukar dilupakan.
7. Kuih Kapit
Kuih Kapit, Sapit, Sepit atau Semprong bukan sahaja menjadi hidangan wajib apabila tiba Aidilfitri malah ia juga popular dalam kalangan masyarakat Tionghua setibanya Tahun Baru Cina. Sejajar dengan peredaran zaman, kuih Kapit kini datang dengan pelbagai perasa seperti coklat, strawberi dan karamel dalam menarik minat golongan muda.
8. Suji
Suji antara biskut raya yang ringkas cara pembuatannya namun ia kekal menjadi juadah kegemaran sepanjang zaman. Mana tidaknya, saat Suji masuk ke dalam mulut ia serta-merta mencair dan membuatkan hari raya korang lengkap.
9. Rempenyek
Kerepek ini disukai ramai tidak kira usia dari kecil hingga ke dewasa malah ia turut dinikmati walaupun bukan hari raya. Keenakannya boleh mencapai tahap lima bintang jika adunannya digoreng nipis dengan taburan kacang goreng dan ikan bilis yang ‘meriah’. Sedapnya!
10. Almond London
“Almond London ada?” Itu antara pertanyaan setiap kali ada tetamu yang menghampiri balang kuih-muih. Biskut ini memang legend dan sangat sinonim dengan sambutan Aidilfitri.
Jadi korang gemar biskut atau kuih yang mana? Makan tu beringat sikit jangan sampai lupa kat orang belakang pula. Nanti kesian orang lain dapat makan serbuk kuih raya jer.
Baca artikel ini: Wajib try! Nasi Lemak Tersedap Kat KL dan Selangor