Lama rasanya Atok tak menyembang dengan cucu semua. Maklumlah bulan puasa baru jer berlalu. Nak bercerita pasal hantu pun tak ada mood sebabnya hantu semua kena ikat waktu bulan puasa. Ada yang rindukan cerita hantu Atok ke? Kalau ada yang rindu, ,meh sini Atok nak imbas balik kisah hantu kum kum yang cukup popular kat negara kita ni suatu masa dulu.
Hantu, siapa yang tidak gerun akan kewujudannya yang dikatakan mempunyai paras rupa yang hodoh, bau yang busuk dan pelbagai lagi gambaran ngeri mengenai hantu ini. Begitu juga dengan hantu yang digelar sebagai hantu kum-kum.
Pada satu ketika dahulu, hantu ini merupakan salah satu hantu yang paling digeruni, terutama bagi masyarakat Melayu. Hantu ini juga dikatakan pernah mengamuk dan menghantui kawasan perkampungan di negeri-negeri tertentu terutama di Johor.
Asal usul hantu kum-kum ini dikatakan merupakan seorang wanita yang terlalu taksub akan kejelitaan sehingga sanggup melanggar hukum Allah. Sebab terlalu taksub nak jadi cantik, wanita tersebut bertekad untuk menanam susuk ke dalam bahagian tertentu badannya. Sudah menjadi lumrah, orang yang melakukan perbuatan tersebut perlu membuat perjanjian dengan syaitan yang menetapkan pantang larang tertentu.
Antara pantang larang tersebut adalah seperti tidak boleh melihat cermin dalam satu tempoh masa tertentu. Sebagai manusia biasa sudah pasti kita akan berasa teruja lebih-lebih lagi perkara yang kita idam-idamkan sudah berada di dalam gengaman. Atas rasa keterujaan inilah yang mendorong wanita tersebut untuk melanggar pantang larang untuk melihat kecantikannya di cermin. Akibatnya, muka yang diharapkan berubah menjadi semakin cantik sebaliknya menjadi bertambah buruk.
Di sinilah bermulanya detik-detik hitam bagi wanita tersebut. Wanita itu bertukar menjadi wanita yang teramat hodoh, dikatakan mukanya penuh dengan nanah dan berdarah, bau yang hanyir menjadi sebati dengan diri wanita tersebut. Bagi mengembalikan kejelitaannya, terdapat satu syarat yang perlu beliau penuhi iaitu beliau harus menghisap darah gadis sunti. Maka terjadilah aktiviti mencari mangsa.
Baca artikel ini: Ketahui 5 Legenda Mistik Menakutkan Di Dunia
Kum-kum sebenarnya hanyalah merupakan sebuah singkatan bagi salam yang diberikan oleh orang Islam ketika melangkah masuk ke dalam rumah. Wanita ini dikatakan hanya mampu mengucapkan salam cukup sekadar ‘kum-kum’ yang berulang sebanyak tiga kali. Gangguan ini pernah dialami oleh beberapa kampung di sekitar negeri Johor pada satu ketika dahulu dan telah memberi impak kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut.
Dikatakan apabila malam menjelang tiba, terdapat lembaga yang menyerupai susuk tubuh wanita dengan pemakaian yang tertutup daripada kepala hingga ke kaki akan berlegar-legar di sekitar rumah-rumah yang mempunyai anak gadis. Lembaga ini akan bertindak mengetuk pintu rumah disertai dengan ungkapan kum-kum sebanyak tiga kali, dan sekiranya pintu dibuka pada ketukan kedua atau ketiga, individu yang membuka pintu akan diserang dan lembaga tersebut akan mencari mangsanya di dalam rumah tersebut.
Namun begitu, ada juga yang mengatakan bahawa hantu kum-kum merupakan jelmaan iblis yang hanya bertindak untuk menyesatkan manusia semata-mata. Mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membunuh seperti mana yang telah digembar-gemburkan.
Atok nak pesan kat cucu semua, jangan buat benda-benda yang dilarang kalau tak nak terkena akibatnya. Sampai sekarang, kisah hantu kum-kum ni masih lagi diperkatakan. Malah, ada pengarah filem yang pernah menghasilkan filem tentang kisah hantu kum-kum ini.
Baca artikel ini: Luk Thep: Patung Pukau Yang Memberi Tuah Di Thailand