Pernah tak cucu alami pengalaman bersendirian di rumah dan kemudian terdengar sesuatu bunyi yang begitu aneh dan menyeramkan? Kadang-kadang cucu akan terdengar bunyi guli bergolek secara tiba-tiba, bunyi seperti tapak kaki orang sedang berjalan dan suara seakan-akan orang sedang berbisik sedangkan cucu sendirian di rumah!
Itu tandanya kat dalam rumah cucu tu ada ‘penghuni’ yang tidak dijemput. Memang banyak rumah yang didiami bukan sahaja manusia semata-mata. Tapi ada makhluk lain yang juga ingin menumpang.
Hari ini Atok akan ceritakan 6 buah rumah yang dikatakan paling berhantu di seluruh dunia. Cucu dengar yer.
Dr. H.H. Holmes’s House, Amerika Syarikat
Pada tahun 1885, seorang doktor yang bernama H.H. Holmes telah berpindah ke Englewood di Chicago, AS. Di sana, Holmes membina rumahnya sendiri. Di dalam bahagian rumahnya itu, Holmes menjadikan laluan seperti ‘maze’ yang dipenuhi dengan ruangan bilik dan setiap bilik dibuat dengan tujuan yang berbeza.
Holmes juga dikenali sebagai salah seorang pembunuh bersiri yang terkenal di Amerika. Di rumah ini, Holmes telah menculik mangsa dan kemudiannya membunuh mereka dengan begitu kejam.
Mangsa Holmes ketika itu telah mencapai sehingga 200 orang. Pada 7 Mei 1896, dia telah dijatuhkan hukuman mati akibat perbuatannya itu.
Begitu banyak mangsa yang terkorban di dalam rumahnya. Sehinggakan rumah yang dijadikan lokasi pembunuhan itu telah dihantui oleh roh-roh yang telah menjadi mangsa kekejamannya. Akhirnya rumah tersebut dirobohkan pada tahun 1938.
Charleville Mansion, India
Terdapat sebuah bandar kecil di India iaitu Shimla. Di bandar itu terdapat sebuah rumah yang menakutkan iaitu Charleville Mansion. Ia merupakan sebuah rumah yang paling berhantu di India. Tiada siapa yang mahu hidup atau tinggal di dalam rumah tersebut.
Rumah agam itu telah dibina ketika zaman British pada tahun 1913. Setelah selesai, rumah itu telah disewakan kepada pegawai British iaitu Victor Bayley dan isterinya.
Victor Bayley dan isterinya dikhabarkan telah menderita akibat diganggu oleh makhluk halus di rumah itu. Beberapa barangan di dalam rumah itu telah bergerak secara sendiri walaupun tiada seorang yang berada di dalamnya. Rumah tersebut akhirnya dibiarkan terbengkalai sehingga kini.
Myrtles Plantation, Amerika Syarikat
Rumah yang dikelilingi oleh rumput hijau dan pokok-pokok rendang itu kelihatan cantik dan sejuk. Namun, imej yang cantik ini tidak berlaku di sebuah rumah di Louisiana, AS. Ia juga dikatakan salah satu rumah yang berhantu.
Myrtles Plantation merupakan sebuah rumah besar yang dibina pada tahun 1796. Rumah itu dibina untuk budak-budak dari Afrika yang terpaksa bekerja di sebuah kebun.
Mereka juga telah diganggu oleh roh yang menjaga rumah tersebut. Malah, mereka juga sering terdengar piano yang berbunyi secara sendiri tanpa ada sesiapa yang bermain dan ternampak kelibat hantu di dalam rumah itu.
Baca artikel ini: Peringatan! 4 Benda Jadi Tempat Tinggal Hantu
The Haunted Vicarage, Sweden
Sweden sebuah negara yang terkenal dengan keindahan dan damai juga turut mempunyai sebuah rumah yang menyeramkan buat orang ramai. Rumah yang menyeramkan ini terletak di Borgvattnet iaitu sebuah perkampungan yang sangat kecil.
Penduduk setempat itu menamakan rumah hantu tersebut sebagai Vicarage Haunted House. Rumah itu dijadikan rumah nombor satu paling seram di Sweden.
Penduduk setempat juga mengatakan bahawa mereka sering terlihat beberapa kelibat hantu. Bermula daripada seorang wanita yang dilihat berpakaian coklat dan mempunyai suara yang menyeramkan serta objek yang dilihat bergerak secara sendirinya.
Mary Cerruti, Amerika Syarikat
Pada tahun 2017, terdapat pasangan suami isteri yang telah membeli sebuah rumah di Houston, AS. Rumah itu kosong selama dua tahun kerana orang yang tinggal di situ sebelum ini iaitu Mary Cerruti tidak pernah dilihat dan membayar sewa pada tahun 2015.
Selepas disiasat, didapati banyak perkara aneh yang berlaku di dalam rumah itu.
Terdapat banyak bangkai yang berada di dalam rumah itu walaupun ia tidak berpenghuni. Justeru, penyewa juga menemukan tulang manusia di belakang dinding rumah.
Rupa-rupanya tulang itu merupakan milik seorang wanita yang ternyata ialah Mary Cerruti. Sehingga kini, masih lagi tidak diketahui bagaimana Mary Cerruti boleh mati dan terperangkap di dalam rumah tersebut.
Raynham Hall, England
Di England, terdapat satu kisah hantu Lady Dorothy Townshend yang merupakan salah seorang bangsawan British. Dia dilahirkan pada 18 September 1686 dan meninggal dunia pada 29 Mac 1726. Kelibat Lady Dorothy Townshend ini telah dilihat di dalam sebuah gambar rumah Raynham Hall di Norfolk, England.
Di dalam gambar itu kelihatan dia memakai pakaian berwarna coklat dengan wajah yang cerah dan tidak mempunyai mata.
Kalau cucu nak tahu, hantu atau makhluk halus ini memang suka menjadikan rumah-rumah kosong yang dibiarkan terlalu lama sebagai tempat tinggal mereka.
Sebab itu kalau cucu tinggal bersendirian dalam suasana sunyi, cucu akan terdengar pelbagai bunyi aneh. Mungkin ‘benda’ tu berada hanya di belakang cucu sahaja.
Baca artikel ini: Saka Pendamping Dari Alam Mistik