Siapa di antara kita yang tak suka makanan yang ada keju terutamanya kek! Tapi kalau asyik beli saja memang bankrap lah kita,kan?
Nah, Apa kata kali ini anda cuba buat sendiri di rumah. Resepi ini hanya menggunakan tiga bahan sahaja tau!
Meskipun menggunakan tiga bahan, ia mampu menghasilkan kek yang sedap, lembut dan gebu. Malah ia lebih jimat dan berbaloi, lebih-lebih lagi kalau nak makan ramai-ramai.
Bahan-bahan:
- 120g Tatura cream cheese
- 120g susu pekat manis
- 3 biji telur gred B
*Sukatan ini dapat dalam satu loyang kecil. Sesuai untuk mereka yang baru ingin mencuba.
Cara-cara:
- Mula-mula, pukul cream cheese dan susu pekat sampai berkrim dan tidak berketul. Kalau mahu kurang manis boleh kurangkan susu pekat.
- Kemudian, asingkan telur putih dan telur kuning.
- Ambil telur putih dan pukul sehingga teksturnya berkrim.
- Telur kuning jangan dibuang. Masukkan ke dalam adunan cream cheese yang telah dipukul bersama susu pekat tadi.
- Selepas itu, campurkan kesemua adunan yang di atas tadi sehingga sebati. Kaupkan saja guna senduk.
- Tuangkan adunan ini ke dalam loyang yang sudah dilapik dengan baking paper. Kalau tidak ada boleh guna kertas buku biasa yang kosong.
- Panaskan ketuhar 150 darjah selama 10 minit. Bakar secara ‘water bath’ (isi loyang dalam bekas berisi air).
- Letak air dalam loyang bawah, agak-agak dalam setengah loyang sahaja. Jangan sehingga melimpah apabila letak loyang kek tersebut. Semasa panaskan ketuhar, air tersebut akan mendidih.
- Bakar 160 darjah selama 30 minit pertama api atas bawah. Kemudian, bakar 150 darjah selama 25 kedua atau sampai masak. Ikut ketuhar masing-masing. Jadi jika mahu pastikan sama ada sudah masak atau belum, boleh cucuk dengan lidi dan tengok sama ada teksturnya masih melekat atau tidak.
- Sejukkan dalam 15 minit baru keluarkan dari ketuhar.
- Akhir sekali, bolehlah letak topping ikut kegemaran anda. Makan begitu sahaja pun sudah sedap. Jika mahu cairkan parutan keju pada topping tersebut, boleh masukkan sebentar dalam ketuhar.
Siap! Hasilnya memang gebu dan lembut. Tak susah mana pun nak buat kek keju ni kan? Selamat mencuba!
Artikel berkaitan:
Makanan Tradisi Negeri Sembilan Wajib Korang Try
8 ‘Port’ Sarapan Yang Bukan ‘Kaleng-Kaleng’ di Bangi