Atok memang tak nafikan, selain Kawasan perkuburan, rumah-rumah kosong dan lokasi kemalangan, hospital sering kali dikaitkan dengan kisah-kisah seram berkaitan hantu. Memang banyak kisah seram berkaitan hospital yang pernah Atok dengar. Kali ini, Atok nak kongsi kat cucu 4 buah hospital yang paling menyeramkan kat dunia.
1. Hospital Whittingham, Lancashire, England
Salah sebuah hospital yang disenaraikan sebagai hospital yang paling berhantu di dunia adalah Hospital Whittingham.
Hospital Whittingham merupakan sebuah hospital psikiatri yang terletak berhampiran Preston, Lancashire, England. Hospital ini dibuka pada tahun 1873 dan berkembang menjadi hospital mental yang terbesar di England pada ketika itu.
Banyak kejadian aneh berlaku di sini. Dikatakan banyak kali berlaku pesakit yang tiba-tiba terkunci di dalam sebuah bilik kecil di bawah tangga dan di dalam bilik air. Paling menakutkan adalah rambut pesakit ditarik oleh ‘sesuatu’ dan leher mereka dijerut dengan tuala basah hingga tidak sedarkan diri.
Ada pihak mengaitkan kejadian-kejadian misteri ini dengan peristiwa seorang pesakit tua yang mati disembelih oleh seorang jururawat. Hospital Whittingham ditutup pada tahun 1995. Tapak hospital ini kemudiannya dikenali sebagai “Guild Park”.
2. Waverly Hills Sanatorium, Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat
Waverly Hills Sanatorium merupakan sebuah hospital yang terletak di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat. Hospital ini dikatakan sebagai tempat yang paling berhantu di Amerika Syarikat. Waverly Hills dibina pada tahun 1910 sebagai sebuah pusat rawatan pesakit batuk kering yang merebak ketika itu. Ramai yang meninggal dunia ketika dirawat di situ.
Antara kisah misteri paling terkenal berlaku di pintu masuknya. Dikatakan ramai pengunjung mendakwa terserempak dengan jelmaan seorang wanita tua berlari di situ dalam keadaan badannya diikat rantai dan dipenuhi luka serta darah. Sambil berlari wanita tua itu meraung meminta tolong sebelum hilang begitu saja bagaikan kabus.
Di tingkat tiga bangunan itu pula popular tentang kelibat seorang gadis. Ada yang mendakwa gadis ini muncul seperti manusia biasa dan berbual dengan pengunjung yang hadir di hospital. Pada waktu yang lain dia dilihat berdiri di tepi tingkap dan memandang ke luar dengan wajah yang sayu. Mereka menamakannya sebagai Mary.
Diceritakan bahawa kejadian-kejadian misteri yang berlaku di sini ada kaitan dengan peristiwa seorang ketua jururawat membunuh diri pada 1928 kerana ditinggalkan kekasih dalam keadaan hamil. Ia berlaku di bilik 502. Turut berlaku kejadian seorang jururawat membunuh diri dengan terjun daripada tingkap bangunan itu pada 1932. Sejak itu kelibat seorang jururawat muda sering dilihat berlegar-legar di hospital berkenaan.
Baca artikel ini: Gantung Boneka Di Bumper Kereta Untuk Roh Mangsa Kemalangan?
Ada juga yang mendakwa ternampak jelmaan seorang kanak-kanak di bumbung hospital. Kononnya suatu ketika dahulu budak itu ditempatkan di atas bumbung sebagai satu proses terapi bagi mendapatkan pancaran cahaya matahari secara optimum. Tempat paling berhantu adalah di tingkat empat kerana didakwa sering terdapat kelibat-kelibat aneh suara bisikan dan tangisan misteri.
3. Hospital Jiwa Sai Ying Pun, Hong Kong
Dibina pada 1892, hospital ini pernah digunakan sebagai kuarters jururawat. Ia kemudian ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang menggunakannya sebagai tempat seksaan para tawanan perang. Banyak nyawa terkorban di sini.
Hospital Sai Ying Pun dijadikan hospital mental pada 1947 hingga 1961 dan seterusnya menjadi pusat rawatan psikiatri sehingga 1971. Selepas ditutup, masyarakat setempat sering terdengar suara wanita menangis serta bunyi dentuman yang menakutkan dari dalam bangunan tersebut. Mereka juga sering terdengar bunyi tapak kaki orang berjalan, jelmaan seorang lelaki di tingkat dua yang kemudiannya tiba-tiba terbakar serta kelibat-kelibat aneh berkeliaran pada waktu malam.
4. Hospital Nocton Hall, England
Hospital Nocton Hall asalnya merupakan kediaman mewah pembesar negeri. Ia kemudian digunakan oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai hospital tenteranya semasa Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, hospital lama itu dibiarkan terbengkalai mulai 1995 ekoran berlaku kebakaran yang menyebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.
Pelbagai kejadian misteri berlaku di sini. Antara yang paling kerap dilihat adalah kelibat seorang gadis berkeliaran di dalam bangunan itu sambil menangis teresak-esak dengan suara yang amat sayu. Ramai yang mengadu mereka akan terjaga pada pukul 4.30 pagi dan melihat si gadis menangis di hujung katil. Dikatakan gadis itu adalah bekas seorang pekerja di hospital berkenaan yang telah dirogol dan kemudian dibunuh oleh anak lelaki pemilik Nocton Hall sebelum ia dijadikan hospital tentera.
Setiap tempat pastinya menyimpan seribu satu sejarah tersendiri. Lagi lama sesuatu tempat tu, lagi banyak kisah misteri yang terkumpul. Mana tahu, mungkin tapak rumah yang cucu duduk sekarang ada kisahnya suatu ketika dahulu. Cuma cucu sendiri yang tak tahu.
Baca artikel ini: Vampire: Hantu Penghisap Darah Yang Digeruni