Jom Kenali 13 Makanan Tradisi Bajau Yang Unik

Umumnya, makanan tradisional masyarakat Bajau berasaskan makanan laut dan makanan berasaskan ubi, serta tanaman huma yang lain. Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu makanan yang dimasak dan makanan yang dimakan secara mentah (inta’an).

Makanan yang dimasak pula disediakan sama ada digoreng, direbus, dibakar dan dipanggang.  Antara makanan tradisional masyarakat Bajau di Sabah adalah seperti:

1.   Putu

Piutu
Kredit: salamisimon1

Putu merupakan makanan tradisional masyarakat Bajau di daerah Semporna. Makanan ini berasaskan ubi kayu yang diparut dan kemudiannya airnya diperah dan dikukus atau stim sehingga masak.

Masyarakat Bajau menjadikan putu ini sebagai pengganti nasi. Ia biasanya dimakan bersama kima, tayum, tehe-tehe, sagol, ikan bakar serta beberapa makanan laut yang lain. Hidangan ini dikatakan mampu membuka selera makan bagi yang menghadapi masalah kurang selera makan.

Rasa putu seakan ubi yang dicampurkan dengan tepung. Teksturnya sedikit kenyal dan melekit. Semasa makan putu ini adalah tidak digalakkan untuk minum air jenis berkarbonat kerana akan berlaku tindak balas selepas makan putu. Perut mungkin terasa kembung dan tidak selesa.

2.   Tompek Atau Tinompek

Tompek
Kredit: tebetbarat

Tompek atau pun dikenali juga sebagai tinompek merupakan makanan yang juga berasaskan ubi kayu walau bagaimana pun, cara penyediannya pula adalah berbeza.

Ubi kayu yang telah siap diparut juga akan dibuang airnya terlebih dahulu. Kemudian, ia akan digoreng tanpa minyak sehingga warna kekuning-kuningan.

Ia juga selalu dijadikan sebagai makanan pengganti nasi dan boleh dimakan bersama lauk-pauk seperti ikan dan sayur-sayuran. Sesetengah masyarakat Bajau di daerah lain turut menggelar hidangan ini sebagai anggang.

3.   Sagol Atau Senagol

Sagol
Kredit: groupsempornamari

Hidangan bernama sagol atau senagol ini merupakan masakan berasaskan isi ikan yang dimasak dengan kunyit. Biasanya untuk menyediakan hidangan ini, ikan yang digunakan adalah terdiri dari ikan yu, buntal, tombad, pari, kat, peteg, ulapai, banggak-banggak atau tabullung.

Ikan yang digunakan perlu dicelur atau direbus separuh masak bagi memudahkan untuk membersih lapisan kasar pada kulit ikan yu, atau duri pada ikan buntal. Ia juga memudahkan isi ikan hancur supaya mudah dicampur dengan kunyit yang telah dihiris.

Hati ikan pula akan dicincang bagi mengeluarkan minyak yang terdapat pada hati ikan. Minyak ini akan memberi rasa kepada sagol.

4.   Kilau atau Kinilau

Kredit: hidup berdikari

Sushi versi Borneo adalah antara makanan tradisional Bajau yang dikenali sebagai kilau atau kinilau. Ia digelar sebagai sushi kerana hidangan ini menggunakan ikan mentah sebagai bahan utama.

Biarpun isi ikan yang digunakan adalah mentah, namun ianya selamat dan bersih dimakan kerana turut dicampurkan dengan perahan limau serta cuka. Selain isi ikan, ia juga boleh dicampurkan dengan hirisan cili, bawang, tomato, halia dan mangga.

5.   Lato’

Latok
Kredit: salamisimon1

Lato’ merupakan sejenis tumbuhan laut di Sabah dan ianya kelihatan seperti buah anggur hijau kerana bentuknya yang bulat. Namun, saiznya agak kecil berbanding buah anggur. Ia merupakan makanan wajib suku kaum Bajau Pantai Timur untuk hidangan makan tengahari ataupun malam.

Ia turut dikenali sebagai Caulerpa lentillifera atau juga dikenali sebagai kaviar hijau. Lato’ sangat terkenal di Filipina dan banyak diternak di kawasan pesisiran pantai Filipina dan juga di Kepulauan Okinawa, Jepun.

Rasa lato’ ini sedikit masin dan boleh dimakan bersama sambal, ikan bakar serta nasi putih. Ia tidak perlu dimasak, hanya dengan mencampurkan perahan jus limau serta cili dan garam sahaja. Keunikan lato’ ini dapat dirasai sewaktu ia memasuki mulut anda dan setiap kunyahan anda memberi sedikit letupan yang mengasyikkan.

6.   Tehe-Tehe

Nasi Tehe Tehe
Kredit: akuman999

Tehe-tehe merupakan sejenis makanan laut yang terkenal di kalangan masyarakat Bajau Pantai Timur Sabah. Ia merupakan landak laut yang boleh dijadikan sebagai hidangan dan nama saintifiknya adalah Echinoidea atau buluh babi. Selain rasanya yang sedap, ia juga amat berkhasiat dan juga baik untuk kesihatan.

Untuk menyediakan hidangan ini juga cukup mudah. Anda terlebih dahulu perlu mencuci tehe-tehe tersebut, kemudian masukkan beras ke dalamnya dan rebus sehingga masak. Beras tersebut perlu dicampurkan dengan halia, garam serta makanan laut lain seperti udang, sotong dan lain-lain.

Setelah siap dimasak, tehe-tehe dipotong dan boleh dihidangkan. Ia juga digelar sebagai Nasi Himpit Tehe’-Tehe’. Rasanya pula seakan-akan telur telur ikan dan memang enak. Ia antara salah satu hidangan wajib bagi suku kaum Bajau Sempoerna.

7.   Bamban atau Bianbam

Bianbam
Kredit: istaringridz

Bamban merupakan makanan yang dimasak menggunakan tepung panggih. Tepung ubi yang diparut lalu diperah airnya sehingga menjadi seakan-akan tepung ini dipanggil tepung panggih.

Untuk menyediakan bamban, tepung panggih perlu dimasukkan ke dalam daun samada daun pisang atau daun pokok kelapa. Ia kemudiannya di kukus sehingga masak. Hidangan ini boleh dimakan bersama lauk pauk lain seperti ikan, sayuran dan sebagainya.

8.   Tayum (Landak Laut)

Tayum
Kredit: foodrepublic

Tayum yang juga merupakan makanan tradisi kegemaran masyarakat Bajau turut dikenali sebagai landak laut. Ia mudah ditangkap kerana pergerakannya yang agak perlahan.

Namun, ia perlu berhati-hati kerana durinya yang tajam. Isi tayum boleh dikeluarkan dengan pelbagai cara dan berwarna sedikit kuning seakan warna kunyit. Ia boleh dimakan begitu sahaja dan juga boleh dimakan bersama nasi. Rasanya juga sedap dan tidak mengecewakan.

9.   Kahanga

Kahanga
Kredit: watiefatin2707

Kahanga merupakan makanan tradisional yang berasaskan makanan laut. Malah, hidangan ini boleh didapati di hampir ke semua restoran makanan laut sekitar negeri Sabah.

Cara untuk makan kahanga ini adalah dengan menggunakan lidi pencungkil gigi bagi mengeluarkan sesungutnya. Ia enak dimakan bersama sambal pencicah atau kuah, malah enak dimakan bersama nasi putih.

10.   Kuih Penjaram

Penjaram
Kredit: fooddetik

Kuih penjaram ini sering disediakan semasa meraikan majlis-majlis kesyukuran atau kenduri di kalangan masyarakat Bajau. Rasa kuih ini sedikit manis dan lemak.

Penjaram juga turut dikenali dengan nama penyaram atau kuih UFO. Selain masyarakat Bajau, ia juga begitu popular di kalangan orang Melayu Brunei di negara Brunei.

11.   Loho

Loho
Kredit: salamisimon1

Hidangan ini merupakan makanan masyarakat Bajau yang begitu mudah untuk disediakan. Loho kelihatan seakan asam pedas mahupun singgang jika di semenanjung Malaysia. Biasanya loho ini dimakan bersama tompek atau putu. Namun, ianya juga boleh dimakan bersama nasi putih.

Bahan-bahan yang digunakan terdiri dari ikan segar, halia, serai, bawang besar, tomato serta kunyit, limau serta cili hijau.  Kesemuanya dicampur dan direbus sehingga masak. Namun, ianya juga boleh ditumis terlebih dahulu.

Ikan segar yang sering digunakan untuk memasak hidangan ini adalah ikan batu yang dikatakan isinya agak sukar hancur jika dimasak lama. Nama lain bagi ikan batu ini adalah ikan kutambak / ikan temparing atau ikan nek da’im.

Biarpun hidangan ini mudah disediakan namun ianya tetap memiliki rasa yang enak dan menyelerakan.

12.   Kerabu Kampung atau Pisuk Ubi Kayu

Kredit: myresepi

Kerabu kampung atau juga dikenali sebagai pisuk ubi kayu merupakan hidangan makan tengahari yang sangat terkenal di kalangan masyarakat Bajau. Cara menyediakannya begitu mudah serta menggunakan bahan-bahan yang ringkas.

Bagi menyediakan kerabu kampung ini, ianya memerlukan pucuk ubi kayu yang direbus serta ditos sehingga kering. Ia kemudiannya dicampurkan dengan hirisan bawang kecil, halia serta kelapa parut lalu digaul mesra sehingga sebati.

Kerabu kampung yang begitu mudah disediakan ini memberi rasa dan aroma yang cukup mengliurkan.

13.   Kabau Kukus

Kabau Kukus

Kabau ini dikenali sebagai ketam oleh masyarakat Bajau. Hidangan ini begitu ringkas dan amat mudah untuk disediakan.

Memandangkan negeri Sabah begitu terkenal dengan makanan laut, maka tidak hairanlah masyarakat Bajau di Sabah banyak menjadikan hidangan makanan laut sebagai makanan tradisi mereka. 

Malah, kebanyakan masyarakat Bajau pula terdiri daripada nelayan yang menjadikan lautan sebagai sumber makanan mereka.

Kabau kukus hanya menggunakan air untuk mengukus ketam tanpa sebarang perisa tambahan mahupun secubit garam. Ia supaya kabau yang dikukus masih memiliki rasa manis asli dan begitu enak dinikmati secara segar.

Macamana, menarik, bukan? Kebanyakan makanan tradisi mereka berasaskan makanan laut disebabkan mereka menetap di kawasan pesisiran pantai selain turut dipengaruhi oleh orang Filipina kerana kedudukan Filipina yang begitu hampir dengan negeri Sabah. 

Walaubagaimanapun, mungkin makanan tradisi kaum Bajau telah mengalami sedikit olahan berbanding makanan dari negara tersebut namun, masyarakat Bajau masih tetap meneruskan legasi makanan tradisi mereka sehingga ke hari ni.

Artikel berkaitan:
10 Port Makan ‘Bukan Kaleng-Kaleng’ Di Kuantan
Makanan Tradisi Negeri Sembilan Wajib Korang Try

Raja Lepak

Read Previous

10 Lokasi Semula Jadi Yang Tak Boleh Diterima Dek Akal

Read Next

Dilarang Merokok Dalam Pesawat Tetapi Mengapa Ada Tempat Abu Rokok?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *