Pernahkah tak terfikir apa maksud di sebalik nama Negeri Sembilan ini? Kalau nak tahu sebenarnya ia dinamakan bersempena dengan persekutuan negeri-negeri yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu ketika abad ke-16,
Selain budaya, Negeri Sembilan juga kaya dengan aneka jenis makanan tradisional. Mereka bukan sahaja ada masak lemak cili api, malah hidangan lain seperti pencuci mulut juga turut ada. Bagi yang tertanya-tanya, hari ini Hamka senaraikan buat anda.
1. Masak Lemak Cili Api
Kalau dah namanya senarai makanan tradisional Negeri Sembilan, tidak sahlah jika hidangan ini tidak termasuk dalam senarai. Boleh bikin orang Nogori tak senang duduk!
Menu ini jika dimakan bersama nasi putih panas-panas, memang boleh bikin terangkat! Aromanya yang cukup memikat sahaja sudah cukup untuk membangkitkan selera sesiapa sahaja yang terhidunya.
Hidangan ini selalunya dibuat dengan lauk seperti udang, ikan daging dan ayam. Yang paling wajib ada ialah kepedasannya yang merupakan kunci utama menu ini. Jika tak pedas, itu bukan masak lemak cili api resepi asli Negeri Sembilan.
2. Rendang Cili Padi
Tidak tahu mahu masak apa untuk tetamu dan saudara-mara pada hari raya yang bakal menjelang tiba? Apa kata anda hidangkan Rendang Cili Padi, pasti tetamu anda akan menggemarinya!
Hidangan ini selalunya dihidangkan semasa hari raya, namun apa salahnya jika korang menikmatinya semasa hari biasa, bukan? Rendang sememangnya sudah enak, jika digandakan kepedasannya memang berganda jugalah keenakannya.
Lauk yang selalunya digunakan untuk hidangan ini ialah ayam dan daging. Jika dimakan bersama lemang atau ketupat semasa hari raya, boleh makan berpinggan-pinggan tanpa sedar!
3. Tempoyak Daun Kayu
Hidangan ini mungkin kedengaran biasa sahaja, namun jika korang pernah menjamahnya bersama nasi berlauk, pasti anda masih terbayang-bayangkan keenakan tempoyak daun kayu ini, bukan?
Tambahan pula apabila bulan puasa semakin dekat, menu ini pasti termasuk dalam senarai makanan ruji untuk sesi iftar. Dimakan pula bersama lauk-pauk yang lain, memang menyelerakan!
Rasa pedas, manis dan masam untuk hidangan ini sememangnya seimbang. Jadi, tidak hairanlah orang yang kurang menggemari sayur pun menggemari tempoyak daun kayu ini.
4. Wajik
Siapa tak pernah terdengar lagu raya ‘Suasana Hari Raya’ dendangan Anuar Zain dan Elina, bait lirik ‘Wajik dan dodol jangan lupakan’ pasti terngiang-ngiang di telinga anda, bukan?
Wajik juga merupakan salah satu makanan tradisional Negeri Sembilan yang selalunya dihidangkan kepada tetamu pada musim perayaan. Ianya merupakan sejenis pulut manis yang dimasak dengan santan dan nisan kelapa.
Ada beberapa versi wajik yang boleh didapati, ada wajik biasa dan wajik durian. Wajik durian ini sememangnya laku keras terjual, selalunya boleh didapati semasa musim durian.
5. Kuih Sopang
Nama asalnya Kuih Sepang, namun biasalah jika ianya hidangan tradisional Negeri Sembilan, sudah tentulah namanya diolah mengikut dialek Negeri Sembilan… itu yang jadilah Kuih Sopang.
Kuih tradisional ini diperbuat daripada tepung pulut, pisang dan gula melaka dan diisi dengan inti yang dibuat menggunakan kelapa parut muda. Tengok bahan sahaja sudah tahu yang kuih ini memang manis dan boleh bikin ketagih.
Cara pembuatan kuih ini ada berbagai. Ianya boleh dikukus dan digoreng, bergantung kepada selera masing-masing. Jika dikukus, ianya selalu dikukus bersama santan. Rasa lemak-lemak manisnya memang teramatlah sedap!
6. Kuih Apam Johol
Ada penggemar apam di sini? Selalunya dinikmati pada waktu sarapan dan minum petang, kuih ini sememangnya terkenal di negara kita. Ianya juga mempunyai pelbagai versi dan di Negeri Sembilan, kuih apam johol merupakan antara kuih tradisional di sini.
Selain apam johol, nama lain untuk kuih ini ialah apam daun rambai. Kuih ini dibungkus dengan daun rambai yang membangkitkan aromanya sendiri. Dari aromanya yang cukup harum sahaja sudah boleh bikin sesiapa sahaja terpikat untuk mencubanya.
7. Cendol Sagu Rumbia
Biasanya kita mencuba cendol, namun pernahkah anda terdengar atau pernah mencuba cendol sagu rumbia? Hidangan ini merupakan pencuci mulut tradisional Negeri Sembilan namun ia amat sukar didapati pada masa kini.
Apa yang membezakan cendol sagu rumbia ini dengan cendol biasa? Cendol sagu rumbia ini lebih kenyal sagunya berbanding cendol biasa. Rasa lemak-lemak manisnya lebih kurang dengan cendol biasa, namun kehadiran sagu rumbia menggandakan keenakannya.
Jika korang teringin untuk mencubanya, restoran Cendol Sagu Rumbia di Kampung Labu di Negeri Sembilan ada menjualnya. Wajib cuba!
8. Air Janda Pulang
Apabila cuaca panas terik, pasti tekak anda mengidamkan pencuci mulut atau minuman yang mampu menghilangkan dahaga sekaligus menyegarkan tekak, bukan? Cubalah rasa minuman tradisional Negeri Sembilan ini – Air Janda Pulang atau Air Jando Pulang.
Namanya cukup unik, namun jangan ragui pula keenakannya. Bahan utama untuk minuman ini ialah air kelapa muda dan gula melaka. Bukan sahaja manis, malah menyegarkan tekak. Bagi yg dh kawin, terangkan kt bini betul2. Karang hang cakap nak singgah minum air janda ekau pula kone lompang nanti.
Jadi, ada yang teruja ke tu? Boleh dikatakan makanan di Negeri Sembilan ini sememangnya pedas-pedas. Bagi penggemar makanan pedas, tidak keterlaluan jika Hamka katakan yang hidangan Negeri Sembilan ini pasti ibarat syurga makanan buat anda, bukan?
Hidangan yang kami senaraikan ini tidak terlalu susah untuk dibuat. Korang bolehlah praktis untuk menyediakan makanan yang kami senaraikan ini. Tetamu, saudara-mara dan ibu mertua korang pasti suka!
Artikel berkaitan
11 Makanan Tradisi Perak Hampir Pupus
Kecur Air Liur! 12 Durian Ini Wajib Anda Cuba