“Mengapa saya sangat letih walaupun saya cukup tidur malam tadi?”
“Semua orang fikir saya malas, tetapi saya sentiasa kepenatan.”
“Sebanyak mana kopi pun tidak membantu; bagaimana saya hendak bekerja?”
Pemikiran begini sentiasa menjadi peneman setia orang yang menghidap Sindrom Kelesuan Kronik atau Chronic Fatigue Syndrome (CFS). Ia satu keadaan yang mencabar usaha diagnostik konvensional, dengan tiada ujian atau gejala tertentu untuk mengenal pasti secara muktamad.
Akibatnya, CFS masih diselubungi misteri dan mereka yang terjejas sering dibiarkan mencari penyelesaian sendiri. Bagi membantu meningkatkan kesedaran tentang keadaan ini, Hari Kesedaran Antarabangsa Sindrom Ensefalomielitis Mialgik/Kelesuan Kronik disambut setiap tahun untuk memberi penekanan kepada kesannya terhadap kehidupan seharian dan memperkasakan individu untuk mendapatkan bantuan.
“Data mengenai CFS di Malaysia sangat sedikit, bukan kerana ia tidak wujud di sini tetapi kerana kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat umum. Disebabkan itu, tidak ramai orang yang tahu bagaimana untuk mendapatkan rawatan. Ini menyebabkan ia kurang dilaporkan dan kurang difahami,” kata Dr Serena In, Ahli Psikologi Klinikal dan Ketua Jabatan Psikologi & Kaunseling di Pusat Pengajian Psikologi dan Sains Sosial di IMU University.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali menderita kelesuan berpanjangan yang tidak dapat dijelaskan dan tidak bertambah baik dengan berehat, berikut apa yang anda perlu tahu.
Kemungkinan tanda-tanda CFS
Secara perubatan ia dikenali sebagai Ensefalomielitis Mialgik (ME) dan pakar tidak dapat mengenal pasti apakah punca CFS. Ia kadangkala boleh berlaku selepas jangkitan virus seperti COVID-19. Faktor-faktor lain yang berkaitan – walaupun tidak semestinya bersifat penyebab – termasuklah penyakit keradangan seperti arthritis, keadaan psikologi seperti kemurungan, dan perubahan hormon seperti menopaus.
Gejala boleh datang dan pergi dan sangat berbeza kepada setiap individu. Kebanyakan pesakit melaporkan gejala-gejala seperti berikut:
● kelesuan yang tidak hilang selepas berehat atau tidur
● kesukaran untuk memberi tumpuan
● kelemahan otot
● sensitif melampau kepada bau-bauan, bahan kimia, cahaya atau bunyi-bunyian
● masalah penghadaman seperti sindrom usus merengsa
● kesakitan sendi dan otot tanpa melakukan senaman, bengkak atau kemerahan
Dapatkan diagnosis
CFS hanya boleh didiagnosis berdasarkan gabungan gelaja-gejala yang dihidapi, diikuti beberapa siri ujian untuk menolak kemungkinan punca-punca yang lain.
Walau bagaimanapun, sebelum tergesa-gesa menjadikan CFS sebagai jawapannya, Dr Serena memberi amaran, “Fahami tubuh badan anda dan apa yang cuba diberitahu kepada anda. Atasi keperluan asas terlebih dahulu – dapatkan rehat yang cukup dan makan makanan seimbang. Jika asasnya betul, anda sepatutnya akan berasa lebih baik dalam beberapa minggu. Tetapi, jika anda masih tidak berasa lega selepas mencubanya, anda mungkin memerlukan nasihat perubatan.”
Doktor keluarga boleh membantu mengenal pasti dan menolak kemungkinan adanya masalah kesihatan lain, seperti keadaan autoimun seperti penyakit lupus, keletihan, kemurungan atau isu-isu kesihatan lain. Ia mungkin melibatkan ujian darah, penulisan jurnal untuk mengesan gejala dan pemantauan selama berminggu-minggu, bahkan mungkin berbulan-bulan. Jika berkaitan, doktor anda boleh merujuk anda kepada seorang atau lebih pakar untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Hidup dengan CFS
“CFS berbeza untuk setiap orang. Ia adalah keadaan dengan aspek yang pelbagai. Biarpun keparahannya berbeza-beza bagi setiap orang, namun sentiasa berasa letih lesu, sakit atau tidak sihat setiap hari boleh melemahkan diri. Ada juga yang melaporkan bahawa doktor, majikan atau orang tersayang gagal memahami mereka dengan baik apabila diterangkan mengenai gejala yang dihadapi. Ini boleh menjadi sukar terutamanya bagi mereka yang biasa aktif dan bersosial, yang kini terpaksa mengurangkan tanggungjawab tertentu, aktiviti fizikal, perhimpunan sosial dan banyak lagi,” kata Dr Serena.
Tiada rawatan atau penawar khusus bagi CFS. Namun, pengurusan kesakitan boleh memainkan peranan penting untuk melegakan gejala, di samping menyesuaikan gaya hidup. Selain itu, Dr Serena menyarankan pesakit berjumpa ahli psikologi klinikal atau kaunselor untuk mendapatkan sokongan dalam memproses perubahan besar dalam hidup mereka.
“Untuk sesetengah orang, proses menyesuaikan diri untuk hidup dengan CFS boleh memilukan kerana ia bermakna anda mungkin kehilangan versi diri anda yang lebih sihat. Ahli terapi anda juiga boleh membantu menangani ketakutan anda pada masa hadapan, kerana ramai juga pesakit yang mungkin berasa putus asa. Adalah tidak mustahil untuk berusaha ke arah menerima keadaan diri dan tetap menjalani kehidupan yang bermakna dan memuaskan hati selepas mempelajari bagaimana untuk menguruskan gejala-gejala tersebut dengan berkesan setiap hari,” jelasnya.
Namun begitu, amat penting untuk tidak putus harapan, katanya.
“Mendiagnosis CFS begitu mencabar dan tiada pula rawatan segera. Namun, penting untuk terus berusaha bagi mendapatkan jawapannya. Mendapatkan satu pasukan sokongan pakar perubatan untuk mengurusi gejala-gejala anda, bersama-sama dengan ahli terapi untuk memproses cabaran-cabaran yang tidak terjangkakan, mampu meningkatkan kualiti hidup anda dengan ketara.”