Pada pengguna kereta elektrik, ini berita baik untuk anda! the Curve dengan Kerjasama ChargeEV, ChargeSini dan Carput telah mengumumkan satu lagi langkah penting ke arah masa hadapan yang lebih hijau dengan pelancaran rasmi 16 stesen pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) di Aras B1 tempat letak kereta pusat membeli-belah tersebut.
Pelaksanaan inisiatif ini oleh the Curve mengukuhkan komitmen the Curve terhadap kelestarian alam sekitar dan kemudahan untuk pelanggannya.
Sebagai pelopor dalam amalan mobiliti hijau, the Curve telah memulakan inisiatif pengangkutan yang mengutamakan alam sekitar. Pusat beli-belah itu adalah yang pertama menyediakan kemudahan Pengecasan EV dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (GreenTech Malaysia) pada tahun 2015.
Satu lagi pencapaian yang besar bagi the Curve ialah kedudukannya sebagai salah satu daripada pusat membeli-belah utama di Lembah Klang yang mempunyai bilangan stesen Pengecasan EV terbanyak, selepas Suria KLCC.
“Ini merupakan satu pencapaian yang besar bagi the Curve dan komitmen kami terhadap kelestarian. Kami faham bahawa masa depan pengangkutan adalah elektrik, dan kami berbangga untuk menerajui usaha bagi memudahkan dan meningkatkan kebolehcapaian untuk pemilik EV. The Curve bukan sekadar sebuah destinasi membeli-belah, malahan ia adalah titik pertemuan di antara kelestarian dan kemudahan,” kata Encik Jazmi Kamarudin, Ketua Pegawai Operasi Boustead Properties Berhad.
Penambahan stesen pengecas EV ini adalah sebahagian daripada agenda Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (ESG) Boustead Properties iaitu BIJAU untuk mewujudkan infrastruktur yang lebih hijau dan di samping menerapkan nilai-nilai ESG ke dalam setiap aspek strategi perniagaannya.
Pelancaran stesen EV di the Curve inu juga adalah Langkah untuk menjadikan the Curve sebagai destinasi membeli-belah utama untuk para pengguna EV di Damansara dan kawasan persekitarannya.
Pusat beli-belah tersebut telah mencapai kemajuan yang besar dalam melaksanakan beberapa inisiatif kemampanan seperti lampu LED di tempat awam dan berjaya mengurangkan penggunaan tenaga dan emisi dengan ketara. Sebuah ruang khusus untuk program kitar semula telah diwujudkan, menggalakkan kesedaran alam sekitar di kalangan para pengunjung. Tambahan pula, pusat beli-belah tersebut turut beralih kepada sistem letak kereta digital dan tanpa tunai 100%, menawarkan kemudahan yang sejajar dengan amalan mesra alam. Sebagai sebahagian daripada usaha kelestarian berterusan the Curve, pemasangan panel solar pada bangunan telah dirancang untuk masa hadapan yang lebih hijau.