Seram! Kisah Legenda Urban Black-Eyed Kids

Kisah misteri yang Atok nak ceritakan kali ni sangat popular dekat Amerika. Tentang kisah sekumpulan kanak-kanak misteri yang memiliki mata berwarna hitam dan kelihatan menyeramkan. Kisah ini merupakan cerita legenda urban popular dalam kalangan masyarakat setempat dan dikenali sebagai Black-Eyed Kids. Cucu semua jangan salah faham sebab kisah legenda ini tak ada kena mengena pun dengan kumpulan muzik popular, The Black Eyed Peas.

Untuk pengetahuan cucu semua, kisah ini telah dialami oleh seorang lelaki bernama Brian Bethel pada tanggal 16 Januari 1998. Semuanya bermula pada pukul 9.30 malam. Ketika itu, Bethel keluar dari apartmen kediamannya di Texas untuk pergi bayar bil internet di suatu tempat.

Dalam perjalanan, kereta yang dipandunya itu berhenti sebentar dan diparkir berhampiran sebuah panggung wayang kerana lelaki itu mahu menulis cek.

Tiba-tiba kedengaran bunyi ketukan pada cermin sisi keretanya. Apabila lelaki itu menoleh, kelihatan dua orang budak lelaki dalam lingkungan usia 10 hingga 14 tahun. Seorang berkulit pucat manakala kulit seorang lagi berwarna seperti buah zaitun.

Bethel mula berasa tidak sedap hati dan takut. Budak lelaki yang kelihatan lebih tua itu tiba-tiba meminta bantuannya. Katanya, mereka mahu menonton movie tapi lupa untuk bawa duit. Jadi, kedua-dua budak lelaki tersebut mahu pulang ke rumah dan minta tolong lelaki tersebut untuk tumpangkan mereka. “Kami cuma nak balik rumah. Lagipun kami cuma budak kecil. Biarkan kami masuk…” kata kanak-kanak tersebut.

Seperti dipukau, tanpa sedar, tangan Bethel  telah unlock pintu seolah-olah mengikut arahan ‘budak-budak’ tersebut. Tapi dengan cepat, lelaki itu tersedar dan segera mencengkam tangannya lalu melihat semula ke arah kanak-kanak itu.

Barulah dia perasan yang mata kedua-dua kanak-kanak tersebut berwarna hitam sepenuhnya. Tanpa lapisan mata putih dan iris. Seorang lagi budak lelaki itu hanya berdiri membatu, menyaksikan dalam diam bagaimana kawannya itu bercakap dengan Bethel. Nadanya mula berbunyi ancaman.

Baca artikel ini: Ketahui 5 Legenda Mistik Menakutkan Di Dunia

“Kami tak akan cederakan kamu. Cuma benarkan kami masuk. Senjata api pun kami tak ada,” kata budak lelaki tersebut sambil tangannya mahu membuka pintu kereta.

Pada fahaman Bethel, kanak-kanak bermata hitam itu tidak perlukan senjata api pun untuk menyakitinya. Dengan sisa semangat yang ada, Bethel mengundur keretanya dan memecut pulang ke rumah meninggalkan kanak-kanak misteri itu.

Beberapa bulan kemudian, iaitu pada 14 November 1998, Bethel mengemas kini blog seram miliknya. Dia menceritakan serba sedikit pengalamannya itu kepada pengguna internet.

Salah seorang rakan mayanya, Jon Northwood tampil berkongsi pengalaman pernah bertembung dengan budak lelaki sama diceritakan olehnya. Berlaku pula pada tahun yang sama. Apa yang menjadi persoalan, adakah budak-budak bermata hitam itu hantu?

Kanak-kanak itu digelar ‘Black-Eyed-Kids’ (BEKs). Makhluk ini dikatakan hanya muncul pada waktu malam, mengganggu orang dewasa yang berseorangan. Rupanya kelihatan seperti kanak-kanak anggaran umur 6-16 tahun. Mereka akan datang secara berkumpulan meminta bantuan seperti minta pinjam telefon, nak guna bilik air atau minta dihantar balik.

Antara teori asal usul BEKs paling popular adalah entiti tersebut mungkin semangat jahat yang berasal dari legenda kaum Red Indian zaman dahulu kala. Ramai yang mendakwa pernah bertemu entiti berkenaan dan cerita itu tersebar luas di internet menjadi sebuah kisah legenda urban.

Sampai sekarang, misteri kanak-kanak bermata hitam itu masih menjadi persoalan dan ramai pengguna jalan raya mendakwa pernah terserempak dengan kumpulan kanak-kanak tersebut, berkeliaran pada waktu tengah malam dalam keadaan bebola mata berwarna hitam.

Baca artikel ini: Gempar Di Johor Tentang Hantu Kum Kum

Admin

Read Previous

Rasa Apa Ek? 8 Perisa Ubat Gigi Pelik Di Dunia

Read Next

Enak! 10 Makanan Sarawak Sedap Sampai Menjilat Jari!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four − 3 =