Negeri Sarawak yang juga dikenali dengan nama Bumi Kenyalang ini mempunyai pelbagai jenis makanan yang agak sukar didapati di Semenanjung Malaysia. Namun, di sekitar Semenanjung Malaysia hari ini pun sudah terdapat banyak restoran yang menyajikan hidangan dari negeri Sarawak. Mungkin nama hidangan di Sarawak adakalanya kedengaran agak pelik, namun rasa setiap hidangan yang terdapat di Sarawak memberi 1001 rasa yang begitu mempesonakan. Mesti korang pernah makan makanan khas dari Sarawakan? Yang Abang Bob tahu Cuma Mee Kolok dengan Laksa Sarawak jer. Sempena Hari Gawai yang disambut hari ini, Abang Bob nak senaraikan 10 makanan istimewa yang terdapat di negeri Sarawak.
1. Laksa Sarawak
Laksa Sarawak merupakan hidangan yang begitu popular dan boleh didapati di setiap pelosok negeri Bumi Kenyalang ini. Ia menggunakan pes khas yang mengandungi pelbagai bahan-bahan yang tersendiri. Bagi menghasilkan laksa Sarawak, penggunaan santan diperlukan bagi menghasilkan kuah laksa. Kuah yang terhasil agak pekat berwarna kemerahan dan ia terhasil dari penggunaan pes laksa tersebut. Laksa Sarawak menggunakan bihun yang dicelur dan dimakan bersama hirisan telur dadar, udang, hirisan ayam yang telah direbus, taugeh, perahan limau nipis dan juga sambal belacan.
2. Mee Kolok
Mee Kolok pada amnya bukanlah makanan asal masyarakat bumiputera Sarawak. Ia merupakan makanan yang telah dibawa oleh masyarakat Cina yang telah berhijrah ke Sarawak. Namun, ia telah menjadi makanan tradisi masyarakat tempatan biarpun dibawa masuk oleh masyarakat Cina suatu tika dahulu. Mee Kolok menggunakan mee sanggul dan dihidangkan bersama sup serta kicap. Ia juga dihidangkan bersama hirisan daging ataupun ayam yang telah direbus terlebih dahulu. Antara nama lain bagi mee kolok adalah mee kampua (Cina), mee rangkai dan mee kering (Iban). Mee kolok bukan sahaja popular di Sarawak, namun semakin popular di Semenanjung Malaysia. Mee kolok terdapat dalam dua jenis iaitu mee kolok putih dan mee kolok kicap. Keistimewaannya adalah rasa mee kolok berbeza dengan rasa mee goreng yang lain dan tekstur mee kolok juga kecil dan lembut serta kenyal.
3. Mee Tomato Rangup
Mee Tomato rangup sangat jarang didengari, malah ia tidak sepopular seperti laksa Sarawak dan juga mee kolok. Namun, ia memiliki tempat yang tersendiri di hati masyarakat Sarawak. Hidangan ini boleh didapati restoran dan medan selera yang terdapat di pusat membeli belah di Sarawak. Selain itu, ia turut dikenali sebagai mee dawai kerana mee ini masih keras dan rangup semasa dihidangkan. Kuahnya berwarna kemerahan mirip kuah mee bandung. Namun, rasa kuahnya tidak sama dengan mee bandung.
4. Mee Belacan
Mee belacan ini agak unik hidangannya. Kuahnya diperbuat dari petis otak udang yang dicampurkan dengan sedikit belacan, gula apong dan juga tepung jagung. Kuah mee belacan ni agak pekat kerana penggunaan tepung jagung sebagai salah satu ramuan. Mee belacan ini merupakan bihun yang telah dicelur, dimakan bersama sotong kembang, telur padi, taugeh mentah serta hirisan timun. Ia juga dimakan bersama sambal cili bagi menaikkan rasa.
Baca artikel ini: Meleleh Air Liur! Cepatlah Pulih Tak Sabar Makan Kat Sabah
5. Bubur Pedas
Bubur pedas merupakan hidangan tradisional masyarakat Melayu di Sarawak. Ia sering dihidangkan pada bulan Ramadhan dan sangat digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat. Bubur pedas ini menggunakan banyak ramuan seperti beras, kelapa parut, tauhu kering, cendawan kering, kulat hitam, sayur midin, putik jagung, kacang panjang dan juga terung. Untuk menjadikan ia lebih enak, ia ditambahkan dengan daging ayam dan lembu, tendon dan udang. Hidangan ini turut menggunakan bahan-bahan lain seperti bawang merah, bawang putih, cili merah, serai, lada hitam, daun salam, lobak merah dan banyak lagi. Sebelum dihidangkan, sebaiknya ditaburkan dengan kicap manis, sambal cili sebagai penambah perisa.
6. Sayur Midin
Sayur midin atau nama panjangnya Kemidin merupakan sayur yang sangat popular di Sarawak. Ia biasanya dimasak secara goreng belacan. Sayur ini mirip sayur pucuk paku yang banyak dijual di pasar sekitar Semenanjung Malaysia. Namun, ia memiliki sedikit perbezaan berbanding pucuk paku. Midin goreng belacan merupakan hidangan makanan yang juga tidak kurang popularnya di kalangan kaum Iban, yang berbeza hanya cara penyediaan. Begitu juga dengan kedai makan di Sarawak yang menyediakan menu makanan sayur midin dengan pelbagai cara masakan.
7. Manuk Pansuh
Manuk merupakan nama lain bagi ayam. Manuk pansuh merupakan hidangan ayam yang dimasak di dalam buluh bersama ramuan khas. Hidangan ini merupakan antara makanan tradisional masyarakat Iban yang menjadi kegemaran ramai. Cara memasak hidangan ini agak mirip seperti memasak lemang. Kesemua bahan-bahan akan dimasukkan ke dalam sebatang buluh dan ia akan dibakar seperti proses membakar lemang. Ianya sangat enak dimakan bersama nasi panas semasa makan tengahari.
8. Umai
Jika di Jepun kita ada hidangan sushi, Sarawak juga tidak kurang hebatnya. Ia juga memiliki sushi tradisi yang tersendiri yang dikenali dengan nama umai. Umai ini merupakan makanan tradisi masyarakat Melanau, namun hampir seluruh masyarakat Sarawak menikmatinya serta menggemarinya. Umai menggunakan makanan laut mentah seperti isi ikan, udang, mahupun sotong. Makanan laut ini akan diperap bersama air perahan limau, hirisan bawang merah serta cili padi bagi menaikkan rasa. Penggunaan air perahan limau ini akan menjadikan makanan laut tersebut ‘masak’ secara semulajadi. Ia enak dimakan bersama nasi putih sebagai salah satu hidangan utama semasa menjamu selera.
9. Kelupis
Kelupis merupakan pulut yang dibungkus menggunakan daun palas. Ia antara hidangan wajib setiap kali perayaan di sambut. Hidangan ini boleh dimakan bersama rendang ayam, daging, mahupun itik, malah boleh dimakan bersama lauk pauk yang lain. Uniknya, kelupis ini juga begitu enak dimakan bersama susu pekat. Bagi menghasilkan hidangan ini, beras pulut akan dimasak bersama santan terlebih dahulu. Ia kemudiannya dibungkus dengan daun palas dan akan direbus supaya lebih tahan lama. Kelupis yang telah siap direbus boleh bertahan selama tiga hingga empat hari jika disimpan dengan baik. Setiap tempat di Sarawak memiliki bungkusan yang berbeza bagi kelupis yang terhasil namun bahan asas tetap sama.
10. Udang Cincang Pais
Udang cincang pais sangat jarang ditemui. Di Sarawak, ia merupakan makanan tradisional masyarakat Kampung Tanjung Asam. Hidangan ini sering dibuat semasa musim udang dan adakalanya ia turut dibuat pada hari-hari biasa. Udang yang digunakan akan dicincang bersama nasi sehingga sebati. Ia kemudiannya dibaluti dengan pucuk nipah muda. Hidangan ini boleh dimakan tanpa nasi tambahan kerana sudah terdapat campuran nasi di dalam bungkusan tersebut. Istimewanya udang pais ini menggunakan udang segar dari sungai dan tidak menggunakan sebarang perisa tambahan mahupun garam. Korang akan dapat menikmati kemanisan yang terhasil dari udang segar tersebut.
Kedengaran macam sedapkan? Rasa lapar betul bila teringatkan makanan-makanan Sarawak yang enak-enak ini. Apa antara hidangan negeri Sarawak lain yang korang pernah cuba? Jangan lupa kongsikan bersama Abang Bob ok.
Baca artikel ini: Memang Terangkat Habis! 7 Masakan Istimewa Orang Jawi Peranakan Penang!