Iftar atau waktu berbuka merupakan masa yang sangat dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang sedang berpuasa. Orang Islam di seluruh dunia juga sebenarnya berbuka dengan pelbagai menu atau ‘signature dish’ yang hanya muncul terutama ketika menjelang bulan Ramadhan. Kalau Abang Bob, paling feberet Air Khatira dengan bubur lambuk yang hanya boleh diperoleh ketika bulan puasa sahaja. Agak-agak apa makanan istimewa Ramadhan masyarakat kat seluruh dunia yer? Jom kita semak.
1. Kazakhstan: Beshbarmak
Hidangan tradisional rakyat Kazakhstan ini disebut Beshbarmak bermaksud “lima jari” sebab ia dimakan menggunakan tangan. Menu ini adalah campuran mi yang diadun sendiri bersama hirisan daging lembu, kambing atau kuda serta ditaburi dengan bawang putih. Ia turut dilengkapi dengan semangkuk sup dan juga roti yang lebih enak dimakan bersama Beshbarmak.
2. Malaysia: Bubur Lambuk
Kalau kat Malaysia sendiri pastinya hidangan Bubur Lambuk menjadi menu wajib setiap kali tibanya bulan Ramadhan. Penyediaan bubur yang biasanya dimasak secara beramai-ramai atau gotong-royong ini begitu istimewa dengan penggunaan pelbagai rempah-ratus dan ramuan herba tradisi. Paling utama tentunya penggunaan tujuh jenis rempah iaitu jintan manis, halba, buah pelaga, bunga cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang dan serbuk lada hitam.
3. Arab Saudi / UAE: Luqaimat
Luqaimat adalah sejenis manisan yang digoreng seakan berbentuk donat dan disirami dengan sirap kurma. Ia merupakan menu yang menjadi identiti di beberapa negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi serta banyak dihidangkan di hotel-hotel terkemuka negara di Timur Tengah tersebut.
4. Maghribi: Harira
Harira merupakan hidangan sup tradisional masyarakat Maghribi. Ia dimasak menggunakan tomato, kacang buncis dan kacang peas. Nama Harira berasal dari bahasa Arab yang bermaksud “Sutera” bagi merujuk kepada tekstur sup tersebut yang sangat lembut dan halus selepas dicampur dengan telur serta gandum yang ditapai selama satu atau dua hari. Harira lebih lazat apabila dimakan bersama ayam, lembu atau kambing. Harira adalah hidangan popular ketika berbuka puasa sama ada di rumah, restoran dan dijual juga di jalanan.
Baca artikel ini: 5 Karenah ‘Biasa’ Semasa Berpuasa
5. Singapura: Nasi Beriyani
Nasi Beriyani merupakan menu kegemaran yang disajikan sebagai makanan berbuka puasa di Singapura. Nasi yang dicampur dengan pelbagai jenis rempah-ratus dan dibanjiri kuah kari terasa sangat lazat apabila dimakan bersama ayam atau daging.
6. India: Hyderabadi Haleem
Di India, banyak makanan yang akan dipilih sebagai menu buka puasa tetapi salah satu yang popular tentunya Hyderabadi Haleem. Ia merupakan hidangan bubur gandum yang dicampur dengan daging.
7. Brunei Darussalam: Ketam Rebus
Hidangan berbuka di negara yang kaya dengan hasil minyak pastinya berbeza dengan menu negara lain. Di Brunei, hidangan popular saat berbuka puasa rakyatnya adalah ketam rebus.
8. Turki: Pide
Saat bulan Ramadan tiba, di Turki makanan yang bernama Pide akan muncul dan dimakan sebagai hidangan berbuka puasa. Pide diperbuat daripada tepung dan diletakkan topping seperti sos, daging serta sayuran seakan-akan pizza.
9. Mesir: Medames
Warga Mesir akan memasak medames sebagai makanan buka puasa. Medames merupakan makanan khas Mesir yang dimasak daripada campuran kacang, minyak sayur, bawang merah dan bawang putih.
10. Iran: Fesenjan
Fesenjan merupakan menu tradisional masyarakat Iran yang dimasak daripada ayam atau itik sebagai bahan utamanya. Fesenjan ini disajikan bersama nasi putih atau kuning sebagai makanan berbuka puasa.
Nampak cam sedap jer setiap hidangan istimewa masyarakat Islam kat seluruh dunia waktu sambut bulan puasa. Kalau ada resepi boleh cuba buat sendiri kat rumah. Lambat lagi ke nak pukul 7 malam? Hahah!
Baca artikel ini: Jangan Buang Minyak Lebihan Menggoreng, Boleh Dijadikan Sabun Basuh Pinggan!