10 Tempat Makan Menarik di Perlis Indera Kayangan

Foto dari JoyMalaysia.com (http://joymalaysia.com/)

Hari ini Raja Lepak nak kongsikan tempat makan menarik di negeri paling hujung di utara Semenanjung Malaysia. Walaupun saiz Perlis adalah yang paling kecil di Malaysia, percayalah, penduduk di sana sangat berjiwa besar dan yang paling menarik makanan di sana sangat sedap dan murah.


Restoran Sarang Burung

Alamat: 512, Jalan Kaki Bukit, Kampung Batu Dua, 01000 Kangar, Perlis

Dekat sini, antara menu kampung yang anda boleh dapat adalah ikan bakar, ayam bakar, daging bakar dan juga ulam-ulaman yang segar. Kebiasaannya pelanggan memang akan rambang mata dengan pilihan makanan yang ada di sini. Tambahan, lauk yang dihidangkan untuk  makan tengah hari biasanya masih panas dan segar. Kata orang yang pernah datang, pemilik kedai ini sangat peramah. Kalau ada rezeki boleh dapat diskaun.  


Restoran Anjung Keli

Alamat: Medan Sri Pulai, Jalan Behor Pulai, 01000 Kangar, Perlis

Kalau datang ke Perlis wajib singgah sini. Restoran Anjung Keli sentiasa menjadi pilihan pengunjung dan juga penduduk tempatan kerana keistimewaannya menawarkan lauk ikan darat. Berkonsepkan makanan melayu kampung, Anjung Keli ada pelbagai jenis masakan ikan darat, ayam, ulaman ulaman dan sambal yang luar biasa sedap. Selain tu, ada juga perut dan paru bakar. Meleleh air liur bila dengar semua makanan yang ada. Paling penting restoran ini sentiasa bersih dan selesa.


Restoran Pokok Sawa

Alamat: Kampung Kersik, Mata Ayer, 02500 Kangar, Perlis

Satu lagi restoran makanan kampung yang sentiasa menjadi pilihan di Perlis adalah Restoran Pokok Sawa. Antara yang paling menarik adalah ikan keli bakar. Selain itu, anda juga boleh mencuba pelbagai pilihan masak lemak. Kualiti makanan yang sangat bagus, restoran ini sering dipenuhi pelanggan pada waktu tengah hari. Jadi, lebih selamat untuk anda datang awal sebelum makanan habis. Paling penting, harga sangat berpatutan!


Mai Café Herbal Kopitiam

Alamat: No. 9 & 10, Kompleks Perniagaan Masjid, Persiaran Tuanku Syed Putra, Jalan Kaki Bukit, 01000 Kangar, Perlis

Seterusnya, Mai Café iaitu kopitiam yang menyediakan pelbagai jenis hidangan Barat (Western Food). Oleh sebab itu, menu istimewa yang menjadi pilihan pelanggan di sini termasuk Chicken Chop, Cheezy Chicken, Grilled Beef Steak, Chicken Grilled, Mixed Grilled, Mushroom Soup, dan Fried Fish. Kebanyakkan pelanggan suka order minum Pegaga Tonic di sini. Susah nak cari air yang macam ni. Selain itu, ada juga Nasi Arab. Kalau hangpa oqhang perlih tapi hangpa tak penah sampai sini memang rugi la. Kalau tengok dekorasi kedai boleh tahan juga untuk sesiapa yang suka bergambar dan yang paling penting, tempat ini sangat selesa dan bersih. Seperti biasa, makan dekat Perlis tidak perlu risau pasal harga kerana sangat berpatutan.


Restoran Kuali Hangat

Alamat: 69, jalan, Kampung Padang Behor, 01000 Kangar

Anda pernah terdengar tentang Restoran Kuali Hangat? Restoran yang terletak di Jalan Padang Behor di Kangar ini cukup terkenal dengan masakan kampung dan lauk yang beraneka jenis. Rata-rata pelanggan mengakui keenakan lauk-pauk di sini! Pilihannya juga banyak. Paling istimewa adalah menu gulai yang dimasak menggunakan kuali besar dan dihidangkan panas-panas. Kiranya kalau anda nak ambil lauk gulai, anda kena ambil terus daripada kuali. Pastinya daging empuk dan sedap di makan.


Restoran Api-Api Ikan Bakar

Alamat: Jalan Dato Ali, Bukit Tok Po, 02000 Kuala Perlis, Perlis

Kalau anda datang sini, anda boleh lihat ruang makan yang terbuka memberikan rasa santai kepada para pelanggan. Bertambah seronok makan sebab lokasi kedai ini berhampiran dengan jeti Kuala Perlis. Kalau ada rezeki singgah kat sini, nda harus cuba Butter Prawn dan pelbagai jenis ikan bakar. Memang puas hati. Lagi padu bila makan nasi putih bersama petai bakar. Jika anda adalah penggemar seafood, bekalan makanan laut seperti ikan, ketam dan sotong adalah sangat segar dan diambil terus dari bot yang baru mendarat. Harga sangat berpatutan.


Hannah’s Cookies

Alamat: Jalan Kaki Bukit, 01000 Kangar, Perlis

Selesai pusing satu Perlis, jemput singgah Hannah’s Cookies. Di sini anda boleh nikmati kek dan biskut. Tapi, bukan itu menu utama mereka. Biasanya pelanggan datang ke sini untuk menikmati makanan barat seperti chicken chop, burger dan pasta. Anda boleh pilih sama ada mahu duduk di ruangan berhawa dingin atau di luar dan nikmati angin segar. Kalau pelanggan ramai, anda terpaksa tunggu sekejap lah untuk dapatkan tempat duduk atau hidangan yang dipesan.


Ana Burger D’ Café

Alamat: Jalan Raja Syed Saffi, Kampung Jarak, 01000 Kangar, Perlis

Gambar burger yang dijual di sini sudah tersebar ke seluruh pelosok dunia. Viral sangat. Gambarnya buat orang terliur dan rasa mahu mencuba. Pada yang dah makan mesti puas hati dengan isi dan sosnya yang melimpah.

Jika tidak mahu burger (yang saya pasti merupakan kerugian untuk anda), cuba makanan barat yang lain seperti Chicken Chop, Cheese Meatball, dan Spaghetti.

Mereka juga tidak melupakan hidangan tempatan yang paling terkenal iaitu nasi lemak. Hiasan dalaman gaya hipster restoran cukup sesuai untuk bersantai bersama rakan dan ahli keluarga. Harga juga amat berpatutan.


Restoran Suri Masakan Melayu Asli

Alamat: Jalan Kampung Pondok, Kampung Pondok, 01000 Kangar, Perlis

Kalau anda yang jenis suka makan nasi campur, Restoran Suri adalah pilihan paling baik. Ada pelbagai jenis masakan kampung atau lauk-pauk Melayu dan ulam-ulaman segar yang disediakan. Rambang mata hendak memilih. Semua ini pada harga yang berpatutan. Anda juga boleh menjimatkan kos minuman kerana air di sini diberikan secara percuma. Orang selalu datang sini untuk makan tengah hari. Kalau anda sampai lewat, habis lauk nanti.


Dunia Yong Tau Foo Jalana

Alamat: Kampung Padang Behor, 01000 Kangar, Perlis

Lokasinya berhampiran dengan Restoran Anjung Keli. Ia menyediakan hidangan tempatan dan barat. Namun, menu istimewa yang sentiasa menjadi pilihan pelanggan adalah yong tau foo. Apa yang menarik adalah kuahnya, resepi rahsia ciptaan mereka sendiri. Turut ada di sini adalah pencuci mulut seperti Air Batu Campur dan Laicikang. Selain itu, anda juga boleh mencuba sate. Suasana santai pula menjadikan restoran ini amat sesuai untuk lepak atau berehat bersama ahli keluarga.

admin

Read Previous

Hati Manusia Mudah Berubah

Read Next

Laluan Jeniang – Sik Selepas 12 Malam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 − 13 =